Tuesday 29 June 2010

1: 40 daftar baru pengundi bersifat perkauman.

KUALA LUMPUR, 29 Jun: PAS menyifatkan kenyataan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno yang dikeluarkan akhbar Berita Harian bahawa nisbah 1 orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pemilih sebagai bersifat perkauman bagi mewujudkan rasa tidak senang di antara kaum.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu hanyalah agenda politik Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

"Kenyataan ini merupakan agenda politik menakut-nakutkan masyarakat Melayu seolah-olah meletakkan kaum Cina ini sebagai ancaman terhadap kelangsungan kuasa politik orang-orang Melayu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ujarnya, angka yang dinyatakan itu tidak tepat dan dikeluarkan kerana menyedari sokongan rakyat terhadap parti itu semakin berkurangan.

"Angka pun tidak tepat. Ini agenda politik perkauman untuk menarik orang-orang Melayu kembali menyokong mereka sebab mereka sedar semua kaum sedang menolak mereka," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar disalahkan kerana gagal menjalankan kempen bagi menggerakkan daftar pemilih di kalangan semua kaum.

"Dari segi SPR harus menyalahkan diri mereka sendiri bahawa masalah kekurangan dalam daftar pemilih ini ialah lemahnya gerak kerja SPR dalam menggerakkan kempen kesedaran untuk masyarakat Malaysia membuat pendaftaran pemilih termasuk pengundi Melayu," katanya.

Baginya juga, SPR wajar dilabelkan sebagai ‘Suruhanjaya Perkauman Rakyat’, bukan lagi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mahfuz turut menggesa kerajaan melaksanakan pendaftaran automatik bagi remaja yang berumur 21 tahun bagi mengatasi masalah pengundi tidak berdaftar.

"Sepatutnya kerajaan termasuk Umno sudah boleh membuat pindaan sama ada kepada perlembagaan atau kepada apa-apa perundangan berkaitan pilihan raya iaitu untuk mengadakan pendaftaran automatik bagi remaja berumur 21 tahun," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) pada sidang media yang berasingan.

Ketuanya, Anthony Loke berkata, pemuda Umno tidak wajar menyalahkan DAP kononnya mendaftarkan pemilih muda Cina sahaja sebaliknya harus lebih giat menjalankan kempen untuk mendaftarkan pengundi Melayu.

"Nisbah pengundi Melayu kepada bukan melayu ialah 1:40 selepas 2008, ini satu kenyataan palsu kerana ini tidak mungkin berlaku. Pada 2009 daftar pemilih terbanyak ialah Umno.Takkan Umno daftar pemilih bukan Melayu.

"Kalau Pemuda Umno, Khairy Jamaludin kata beliau berwibawa, sepatutnya beliau memikirkan untuk menggerakkan kempen untuk mendaftar pemilih," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah. harakahdaily.net

Sunday 27 June 2010

Berpolitik: Gamis mahu pensyarah diambil tindakan

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mahu pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil tindakan tatatertib kepada seorang pensyarah universiti itu yang menyertai Umno Jumaat lalu.

Presidennya, Mohd Idris Mohd Yusoff dalam satu kenyataan berkata, UKM perlu adil dan konsisten apabila sebelum ini turut mengambil tindakan tatertib terhadap empat pelajar Sains Politik yang terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor lalu kerana di dakwa melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Gamis mendesak pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan pendirian kepada seorang pensyarahnya Fadlan Mohd Othman yang secara jelas dan terang menyatakan kepada umum menyertai parti Umno," katanya.

Empat pelajar UKM yang dikenakan tindakan tatatertib sebelum ini ialah Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin, dan Azlin Shafina Mohamad Adza.

Mereka kini berjaya mendapat perintah injunksi sementara dari Mahkamah Tinggi bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

"Bagaimana pula dengan seorang pensyarah yang terlibat dengan parti politik? Adakah ia dilepaskan oleh kerana menyertai parti politik kerajaan? Ataupun dia dilepaskan kerana dia adalah seorang pensyarah, dan bukan pelajar?" soalnya lagi.

Jumaat lalu, pensyarah UKM, Fadlan Mohd Othman bersama 39 orang lagi yang didakwa berlatarbelakang agama dilaporkan telah menyertai Umno.

Laporan sebelum itu mendakwa 100 orang ulama akan menyertai Umno termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Dr Asri bagaimanapun semalam menafikan penyertaannya ke dalam Umno seperti yang dispekulasikan banyak pihak sejak awal minggu lalu.

Thursday 24 June 2010

Najib Takut Dengan Kartun Zunar-Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kasihan melihat Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang ketakutan melihat penerbitan kartun-kartun karya kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan dan merampas buku kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun. Syarikat Penerbitan Kinibooks yang juga anak syarikat Malaysiakini yang menerbitkan buku berkenaan berhadapan dengan ancaman hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini Zunar juga dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan permit penerbitan Gedung kartun, tetapi pihak KDN menolak.

Pemimpin Umno-BN yang menguasai Kerajaan tidak dapat menerima secara terbuka kritikan, sindiran dan satira yang dikemukakan dalam edisi kartun-kartun ini. Mereka terdesak untuk menafikan pandangan rakyat terhadap kezaliman, penyelewengan dan keangkuhan mereka.

PAS menyokong usaha Zunar dan Malaysiakini dalam memberikan gambaran alternatif kepada rakyat tentang Kerajaan yang selalunya digambarnya dengan imej positif sahaja melalui rangkaian media mereka.

Rakyat perlu tahu apa yang Kerajaan sembunyikan dari mereka. Zunar yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan diakui ramai pihak sebagai pengkartun yang mempunyai daya kreativiti satira yang luar biasa dan mampu mengoyahkan kedudukan dan imej Najib.

Kes Kapal Selam, Dasar-dasar Najib, Pergaduhan Pemimpin Umno-BN, Kezaliman mereka, rasuah dan sebagainya adalah antara perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh Najib tetapi mudah diterjemahkan dalam bentuk kartun oleh Zunar.

Beliau juga antara pengkartun yang berjaya menelanjangkan kebobrokan Mahathir dan Pak Lah serta Menteri-menteri mereka seperti Rafidah, Samy Vellu dan sebagainya sebelum ini dalam bentuk kartun.

Kartun adalah antara karya seni yang menarik, mudah diterima dan difahami oleh pelbagai lapisan rakyat, khususnya golongan muda. Di negara-negara luar, kartun-kartun satira sebegini bebas di diterbit dan disiarkan sama ada dipihak Kerajaan atau pembangkang.

PAS melihat tindakan KDN ini membuktikan bahawa Najib, dan pemimpin Umno-BN cukup terasa dengan penangan kartun Zunar dan kawan-kawannya.

Ruangan kartun Senyum Kambing dalam Utusan serta kartun-kartun lain diakhbar milik Umno-BN pun tak mampu menyaingi apa yang dihasilkan oleh Zunar. Dan jelas, KDN dipergunakan bagi menyekat pengaruh kartun-kartun satira demi untuk menyelamatkan Imej Najib dan Umno-BN yang kini dianggap sebagai pelawak sahaja.

PAS akan terus menyokong usaha Zunar dan rakan-rakan pengkartunnya. PAS berharap agar KDN bersikap terbuka dan realitik serta tidak tunduk pada tekanan pemimpin politik dalam BN dalam bertindak.

Ibrahim Ali ‘serang’ KJ bela Wee

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali pagi ini membidas Khairy Jamaluddin dengan menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat atas alasan kepimpinannya telah “menggadaikan maruah bangsa” dengan mempertahankan Ketua Pemuda MCA semalam.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas mendakwa Ketua Pemuda Umno itu buat tidak faham maksud yang tersirat dalam kenyataan Datuk Dr Wee Ka Siong minggu lalu ketika mempersoalkan “adakah biasiswa Mara akan dilakukan sepertimana biasiswa JPA.”

“Pasal itu Perkasa marah. Mana mungkin Mara hendak disamakan dengan JPA. Mara khas untuk Melayu.

“JPA untuk semua kaum. Kalau hendak disamakan keduanya, ke mana akan pergi keistimewaan orang Melayu.

“Apalah Ahli Parlimen macam Khairy tak faham bila Ka Siong cakap berlapik. Mana dia faham makna yang tersurat dan tersirat’. Kalau macam itu baik berhenti jadi Ahli Parlimen, sama macam Ka Siong,” katanya.

Ibrahim persoal tindakan Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) sanggup menggadaikan bangsa sendiri dalam isu tersebut.

Katanya lagi ini kali pertama Pergerakan Pemuda Umno menggadaikan maruah orang Melayu dan parti.

“Saya ada bukti kenyataan Wee... Pemuda Umno pertama kali dalam sejarah jual bangsa bawah Kkhairy,” kata Ibrahim yang menubuhkan Perkasa selepas pilihan raya umum 2008 dan lantang bersuara dalam isu-isu menyentuh kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Semalam Khairy berkata, kenyataan Ketua Pemuda MCA berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam tidak berunusr perkauman, sebaliknya bertujuan mempertahankan pemberian biasiswa itu.

Khairy berkata, dakwaan Ibrahim kononnya Wee mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati perlembagaan persekutuan adalah tidak berasas.

Ketua Pemuda Umno itu memberitahu beliau mempertahankan kenyataan Wee kerana telah mendengar sendiri rakaman asal kenyataan itu dan daripada penjelasan yang diberikan juga beliau mendapati tiadanya unsur perkauman dalam kenyataan itu.

“Apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan perkauman yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, hak serta kedudukan Bumiputera.

“Wee buat contoh, biasiswa JPA ini adalah satu-satunya peluang untuk pelajar-pelajar bukan Bumiputera dapat biasiswa dari kerajaan. Jadi dia kata, apakah perasaan masyarakat Bumiputera sekiranya biasiswa dan pinjaman Mara itu ditarik balik,” katanya.

Khairy berkata, Ibrahim mungkin tidak sedar bahawa tindakan Wee mempertahankan biasiswa JPA itu sebenarnya turut mempertahankan biasiswa untuk kaum Melayu kerana majoriti mereka yang memperoleh biasiswa adalah kalangan orang Melayu.

“Jadi saya tak faham mengapa ini dipersoalkan. Mungkin cara kenyataan itu dilaporkan boleh menimbulkan persoalan tapi apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan berunsurkan perkauman,” katanya.

Wee pula berkata kenyataan beliau tidak sekali-kali mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan perlu memansuhkan biasiswa Mara.

Semalam, Ibrahim juga menafikan bahawa kecaman yang dibuatnya bertujuan mendapatkan publisiti murahan tetapi apa yang dinyatakan adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Perkasa yang bertanggungjawab memantau semua laporan yang dikeluarkan dalam akhbar termasuk yang berbahasa Mandarin dan Tamil serta blog.

“Sebenarnya, ini bukan kali pertama beliau mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan mempertikaikan aktiviti Perkasa.

“Sebelum ini beliau juga mendakwa resolusi yang dicapai ketika Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu yang turut dianggotai Perkasa pada 29 Mei lalu sebagai primitif,” katanya.sumber the malaysian insider.

Wednesday 23 June 2010

Mansuh UPSR dan PMR jimat duit kerajaan.

KUALA LUMPUR: Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin akan digunakan untuk menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

"Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.

"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, pokoknya ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama, tetapi bagaimana kita hendak nilai, sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.

Beliau berkata kerajaan juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

"Banyak pakar kata sepatutnya dah lama buat, tetapi kenapa kita buat sekarang, kita dah lama buat kajian iaitu sejak 2007 lagi kementerian ada pasukan yang meneliti isu yang berbangkit," katanya.

Beliau berkata langkah mengurangkan peperiksaan awam ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurang beban tugas guru untuk mengendalikan proses peperiksaan.mstar

Tuesday 22 June 2010

JI: PAS cabar kerajaan dedah bukti di Parlimen

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat dalam masa terdekat berhubung kewujudan semula gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI) di beberapa universiti tempatan.

“Kami semua selaku Ahli Parlimen PAS kesal dan kami minta suatu kenyataan rasmi oleh menteri dibuat di Parlimen dalam kadar segera yang kononnya wujud JI ini yang melibatkan pelajar-pelajar IPTA kita,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mewakili Ahli Parlimen PAS pada sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.

Menurut beliau, dari maklum balas yang diberikan oleh universiti, KDN dalam suatu taklimat bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkaitan isu JI, pihak KDN gagal menjelaskan bukti-bukti wujudnya gerakan bawah tanah tersebut di beberapa universiti tempatan.

“Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa akan wujud tangkapan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas ahli politik pembangkang dan tokoh-tokoh agama.

“Mungkin akan ada tokoh-tokoh tertentu, tokoh politik atau tokoh-tokoh agama tertentu yang akan ditangkap disebabkan isu ini (JI) dan itulah yang menjadi kebimbangan kami semua,” ujar beliau.

Senada dengan beliau, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Hishammuddin turut dicabar mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung aktiviti pihak pengganas sebenar yang mahu menyerang berhala Dewi Kuan Yin di Air Itam serta berhala Dewa Murugan di Batu Caves, sebagaimana yang beliau jelaskan kepada media massa sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa, tindakan Hishammuddin bersama-sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan itu semata-mata mencerminkan budaya politik menggila di kalangan orang-orang gila.

“Inilah yang saya panggil amalan politik menggila-gila oleh orang gila, kegilaan mereka semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat,” ujar beliau sebagai menjawab tohmahan Hishammuddin sebelum ini kononnya pembangkang adalah gila kerana menganggap tujuan kerajaan mendedahkan isu JI semata-mata suatu sandiwara untuk mengelirukan rakyat.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta kerajaan menyelesaikan dahulu kes demonstrasi mengarak kepala lembu di Shah Alam beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, mereka yang terbabit dalam aktiviti keganasan itu rata-ratanya didalangi oleh pemuda Umno Shah Alam sendiri.

Bagi beliau, isu JI yang digembar-gemburkan kebelakangan ini sebenarnya bertujuan untuk mewujudkan kondisi Islamphobia serta budaya takut di kalangan rakyat.

Isu tersebut, menurut dakwaan beliau lagi, merupakan persiapan Umno BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Katanya lagi, langkah memetakan lanskap politik negara dengan menimbulkan isu JI dan anti-keganasan tersebut seakan sama dengan kondisi anti-Islam yang pernah dicetuskan di Amerika Syarikat pasca tragedi perlanggaran WTC pada tahun 2001 lalu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa di sebalik isu JI itusebenarnya didalangi oleh syarikat komunikasi penuh lantikan kerajaan, iaitu Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang nyata diketahui umum sebagai proksi pada Amerika Syarikat dan Zionis Israel.

Dari segi yang lain, beliau berkata, tindakan kerajaan mencipta isu JI akhirnya merugikan negara.

Ini kerana, katanya lagi, kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Hishammuddin dan Musa sudah tentu menghalang minat para pelabur asing, khususnya dari Timur Tengah untuk datang melabur di tanah air ini.

“Mereka mungkin tak sedar yang isu ini (JI) sebenarnya mengakibatkan para pelabur dari Timur Tengah tak berminat untuk melabur di dalam negara kita kononnya ada pengganas dan sebagainya,” ujarnya

Sunday 20 June 2010

Kementerian Pelajaran Mungkin Mansuh UPSR, PMR

MUAR: Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Katanya pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.

Muhyiddin berkata secara peribadi beliau berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Namun menurutnya UPSR dan PMR diperlukan untuk membuat penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran tertentu.

Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata keadaan di mana jumlah pelajar perempuan cemerlang di dalam pelajaran meningkat bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.

"Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang memasuki universiti adalah perempuan dan trend ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia," katanya. - BERNAMA

Saturday 19 June 2010

Wanita disaran solat Jumaat

BACHOK, 19 Jun: Kompleks Masjid Daruttarbiyah bakal menyaksikan perubahan baru apabila kaum wanita disaran supaya menunaikan solat Jumaat seperti mana dilakukan kaum lelaki selepas siap pembinaannya kelak.

Saranan itu diutarakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebenarnya sudah lama saya hendak tengok keadaan ini boleh dilakukan oleh wanita," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Derma mengisi tabung kompleks masjid tersebut di Kampung Wakaf Zain, dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, keselesaan ruang masjid yang cukup luas mampu membawa kaum wanita untuk turut bersama menunaikan solat Jumaat.

"Saya cadangkan ruang bawah untuk orang perempuan dan di sebelah atas pula bagi orang lelaki masa sembahyang Jumaat," katanya.

Kompleks masjid tersebut mula dibina sejak Ogos tahun lalu di atas tapak seluas satu ekar yang dibeli dengan harga RM180,000 manakala pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta dan dijangka siap pada Ogos 2011.

Kos pembelian tapak serta binaan adalah daripada sumbangan orang ramai.

Masjid dua tingkat yang kini dalam 40 peratus pembinaan itu dibina secara bergotong royong melibatkan seluruh kepimpinan cawangan termasuk penghulu-penghulu mukim dan masyarakat tempatan.

Adun Tawang, Hassan Mahmood ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, pembinaan kompleks masjid berkenaan dilengkapi dengan dewan mesyuarat dan seminar yang mampu menampung 200 peserta dan asrama.

"Kita berharap segala kemudahan yang melengkapi masjid ini seperti dewan dan sebagainya itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam menjana generasi masa depan yang bakal mewarisi perjuangan ulama," katanya.harakahdaily.net

Dasar 50 % pemilikan demi keadilan - Exco Kedah

ALOR SETAR, 18 Jun: Langkah kerajaan negeri Kedah menetapkan 50 peratus pemilikan bumiputra untuk tanah rezab Melayu yang ditukar syarat kepada pegangan bebas adalah demi keadilan kerana ia sememangnya tanah orang Melayu.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, kerajaan negeri perlu memperbetulkan dasar kerajaan negeri Kedah di bawah BN sebelum ini yang hanya memperuntukkan 30 peratus pemilikan kepada Bumiputra kerana ia tidak adil kepada pemilik asal tanah itu.

Phalrolrazi menjelaskan isu yang sedang dimainkan oleh Gerakan dan MCA di Kedah berdasarkan rasa tidak puashati segolongan pemaju hartanah di Kedah sekarang.

Pemaju ini tidak berpuashati dengan dasar kerajaan negeri yang menetapkan 50 peratus pemilikan tanah rezab Melayu yang ditukar syarat kepada pegangan bebas untuk bumiputra.

Mereka berpendapat, tindakan ini tidak memberikan keadilan kepada bukan bumiputra yang mahu membeli rumah dan menyukarkan mereka untuk menjual rumah yang mereka buat.

Untuk menukar syarat tanah dari rezab Melayu kepada pegangan bebas, pihak pemaju perlu mendapatkan kelulusan exco kerajaan negeri. Melalui mekanisma inilah peraturan ini dikuatkuasakan.

"Apa yang berlaku dahulu tidak begitu dan perlu diperbetulkan. Inilah gunanya kerajaan yang adil," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, ketika masa BN, walaupun ditetapkan 30 peratus pemilikan untuk orang Melayu, jumlah itu tidak dicapai kerana sikap sesetengah pemaju yang tamak.

Mereka hanya membina rumah yang bernilai tinggi dan tidak mampu dibeli oleh orang Melayu di negeri itu.

"Apabila tidak boleh dijual, mereka datang lagi kepada kerajaan negeri dan minta di'lepas'kan dari memenuhi syarat itu. Ia di'lepas'kan kerajaan negeri melalui bayaran tertentu.

"Akibatnya, banyak kawasan perumahan di Alor Setar menjadi kawasan elit sesuatu kaum sahaja apabila kaum lain tidak mampu membelinya. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita tidak boleh biarkan perkara ini. Dasar perlu dibuat dan dikuatkuasakan," kata beliau.

Ekoran itu, dasar dibuat, untuk tanah rezab Melayu, ia mestilah dijual kepada bumiputra sekurang-kurangnya 50 peratus selepas ditukar syarat kepada pegangan bebas.

"Dasar ini untuk tanah rezab Melayu sahaja. Ia bukan untuk semua jenis tanah,"kata beliau.

Harakahdaily difahamkan, hanya 12 peratus sahaja tanah di Kedah berstatus rezab Melayu.

Melalui dasar ini, pemaju yang ingin menukarkan tanah rezab Melayu kepada pegangan bebas perlu mematuhi dasar ini.

Untuk membolehkan rumah dibeli oleh orang Melayu pula, pemaju perlu membuat pelbagai jenis rumah dalam kawasan yang dimajukan bukannya jenis berharga mahal sahaja.

"Dengan cara ini kita berharap tidak akan ada lagi kawasan perumahan di Kedah hanya untuk kaum tertentu sahaja. Ia akan menjadi gabungan antara kaum dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sesetengah kawasan perumahan akan menjadi kawasan elit kerana biasanya tanah asal kawasan itu bukannya tanah rezab Melayu tetapi tanah pegangan bebas.

Kerajaan negeri tidak pernah mensyaratkan tanah pegangan bebas untuk memenuhi apa-apa kouta.

Walaupun dasar ini sudah lama ditetapkan, namun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan lagi kerana ramai yang tidak faham dasar ini di samping ada pihak yang cuba mengelirukan orang ramai.

Antaranya kempen yang dibuat oleh sesetengah pemaju perumahan dan disokong oleh parti politik tertentu yang menentang dasar ini kononnya kerajaan negeri bersifat perkauman.

"Apa yang kita buat bukan perkauman, kita memberikan keadilan kepada pemilik asal tanah ini," kata Phahrolrazi.sumber harakahdaily.net

Najib tak harus ‘rahsiakan’ tarikh bubar Parlimen

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Walaupun menjadi hak mutlak perdana menteri membubarkan Parlimen, Pemuda PAS menegaskan, Datuk Seri Najib Razak tidak harus merahsiakan tarikh mahu memanggil pilihan raya sebagaimana pernah dilakukan oleh ketua-ketua kerajaan sebelum ini.

Pemangku Naib Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, tindakan Najib merahsiakan tarikh pilihan raya umum akan memberi kelebihan kepada jentera Umno-BN yang boleh bersiap sedia dalam tempoh tersebut sedangkan pembangkang masih berteka-teki tanpa persediaan cukup.

“Selain itu, dengan merahsiakannya, mereka juga boleh mempersiapkan senarai daftar pemilih di kawasan yang mereka sasarkan untuk menang,” kata beliau.

“Lihatlah tindakan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang cukup berahsia dengan tarikh pilihan raya sehingga sanggup menipu rakyat.

“Sehari sebelum membubarkan Parlimen beliau berkeras menafikan Parlimen akan dibubarkan tetapi esoknya beliau sendiri yang menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Najib mengatakan tarikh pilihan raya umum akan “mengejutkan semua pihak”.

Beliau juga berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokongnya.

Suhaimi berkata tindakan merahsiakan tarikh pilihan raya umum seperti membelakangkan hak rakyat untuk mengetahuinya.

“Seperti mana perdana menteri sebelum ini yang mempunyai hak untuk menjalankan pilihan raya mengikut sukahati mereka, Najib juga begitu.

“Sudah menjadi amalan sejak dulu, tarikh pilihan raya umum menjadi hak mutlak seorang perdana menteri dan tidak boleh dikongsikan dengan rakyat apatah lagi terhadap pembangkang.

“Ternyata sikap perdana menteri Malaysia selama ini bukanlah menunjukkan mereka seorang negarawan yang berjiwa besar,” katanya.


Beliau berkata sepatutnya perdana menteri perlu mengisytiharkan pilihan raya umum lebih awal, sekurang-kurangnya setahun sebelum itu.

“Ini kerana pilihan raya umum adalah perkara besar dan melibatkan banyak pihak termasuk kos yang sangat tinggi. Lagipun ia hanya diadakan setiap lima tahun.

“Di negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia sehinggalah kepada negara maju seperti Jepun, China, Britain dan Amerika Syarikat tarikh pilihan raya umum dimaklumkan sekurang-kurangnya setahun lebih awal supaya semua pihak dapat mempersiapkan diri dan jentera mereka.

“Ia lebih adil kepada parti-parti yang bertanding khususnya kepada pembangkang,” katanya.

Selain itu, Suhaimi berkata kerajaan masih tidak sedar bahawa yang memberikan kemenangan kepada pembangkang adalah kuasa rakyat.

“Kuasa rakyat ibarat gelombang yang sukar disekat oleh apa-apa kuasa.

“Malah kuasa rakyat ini nanti akan terjemahkan hak mereka dalam pilihan raya umum nanti dan bakal menenggelamkan bahtera Umno-BN yang semakin reput,” katanya.sumber the malaysian insider.

Tuesday 15 June 2010

Dadah: Tempoh Reman Saiful Apek Tamat Esok

PETALING JAYA: Tempoh reman pelakon komedi terkenal, Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, 41, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek (gambar) bersama lima rakannya yang kini masih dalam tahanan polis kerana disyaki memiliki 40 gram ganja akan tamat esok.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mStar Online berkata, jika ada kes, mereka akan didakwa di mahkamah.

Polis juga turut mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh reman mereka untuk membantu siasatan atau sekiranya tidak ada kes, membebaskan mereka.

Pada 12 Jun lalu, Saiful dan lima rakannya yang lain telah ditahan polis dalam satu serbuan di apartmennya di Jalan PJS7 Subang Jaya dekat sini kira-kira pukul 10 malam ketika mereka sedang seronok menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Dunia di antara Argentina dan Nigeria.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apek terkenal dengan filem-filem lakonannya seperti Senario Lagi (2000), Senario The Movie (1999), Nana Tanjung 2 (2007) dan Cicak Man (2006).

Beliau juga seringkali muncul bersama kumpulan lawak Senario dalam siri komedi Senario di TV3. mstar

"Saya bersih" kata Keshvinder

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pada 25 Februari lalu, Adun Malim Nawar, Perak dari DAP, Keshvinder Singh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beliau ditawarkan wang tunai RM20 juta agar meninggalkan Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataannya kepada media di luar pejabat SPRM itu, Keshvinder mendakwa, agen Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Perhubungan Umno Perak yang membuat tawaran itu.

Hari ini, dalam sidang medianya, Keshvinder mengumumkan beliau keluar dari DAP dan menjadi Adun Bebas dan menyokong Barisan Nasional.

Beliau menafikan menerima sebarang bayaran untuk tindakannya ini dan mencabar mana-mana pihak memeriksa akaun bank beliau.

"Saya bersih," kata Adun Malim Nawar itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, Keshvinder menang dengan majoriti 1,362 mengalahkan calon MCA Dr Chai Song Poh.

Beliau menyalahkan DAP dan mendakwa partinya itu tidak membantu beliau untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan terpaksa menggunakan dana sendiri untuk memberikan khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Katanya, surat keluar dari parti telah dihantar kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pagi tadi.

Bagi beliau, tindakannya ini untuk kepentingan rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Wednesday 9 June 2010

MP Begaduh Hujah- Hujah dengan fakta bukan emosi!


Semasa perbincangan meja bulat, pertengkaran hangat dilaporkan antara Bung dan MP Tangga Batu (Umno) Idris Harun dengan pemimpin pembangkang.

Menurut Idris ketika menjejakkan kakinya di tempat rehat itu, beliau terdengar suara-suara yang memaki hamum Umno dan BN dan beliau cuba menegur mereka kerana tidakan berkenaan tidak berpatutan.

"Mereka memaki BN celaka, Umno celaka, jadi saya cuba menasihatkan mereka. Saya menyapa Kula (DAP Ipoh Barat) dan Kit Siang (DAP Ipoh Timur) dan memberitahu mereka bahawa saya ingin mendengar hujah mereka dan mengambil bahagian dalam perbincangan, tetapi ada di antara mereka mula memaki dan menghalau serta menolak saya,” katanya kepada wartawan.

Menurut Idris, oleh kerana jumlah mereka lebih ramai, beliau mengambil keputusan untuk berundur.sumber malaysiakini.

Monday 7 June 2010

Anak muda di Palestin dibunuh dengan peluru,di sini dengan hiburan-Ustaz Nasharudin

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa meminta kerajaan Malaysia melakukan serangan ekonomi ke atas rejim zionis Israel.

Malaysia, katanya perlu melakukan usaha kolektif bersama negara antarabangsa bagi melumpuhkan ekonomi Israel.

"Maka usaha kolektif perlu dilakukan bagi menyekat dan melumpuhkan ekonomi negara haram Yahudi," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok semasa membahaskan usul mengecam tindakan rejim zionis Israel terhadap misi kemanusiaan ke Gaza di Dewan Rakyat, petang ini. Usul itu dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.

Kempen boikot juga, katanya perlu diperhalusi dan dijalankan secara sistematik dengan mengambil kira nasib pekerja negara ini di syarikat berkaitan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Malaysia memenuhi kebajikan pelajar Palestin di Malaysia seperti bantuan biasiswa dan kesihatan sebagai sokongan perjuangan rakyat Palestin.

"Bagaimana kita harus membantu rakyat Palestin khasnya golongan muda. Saya ingin mendapatkan penjelasan berapa banyakkah biasiswa atau kemudahan pelajaran yang diberikan kepada rakyat Palestin yang datang belajar di Malaysia," katanya.

Tambahnya, pintu sempadan Rafah yang kini dibuka perlu digunakan sebaik mungkin menyalurkan bantuan perubatan seperti dibuat kepada negara Bosnia.

Beliau juga menggesa agar kerajaan Malaysia menjadikan isu Palestin sebagai agenda kerajaan dan memperhebat program kesedaran kepada rakayat.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengurangkan program hiburan agar anak muda tidak lupa isu Palestin ini.

"Anak muda di sana dibunuh dengan peluru, di sini dengan hiburan," ujarnya.harakahdaily.net

Saturday 5 June 2010

Selamatkan Islam-Tok Guru

MENTERI Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (depan), mengetuai bacaan doa selepas solat hajat menentang kezaliman yang dilakukan Israel di Kota Baharu hari ini. Kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat hajat tersebut di dataran Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di sini. Beliau sebelum itu menyampaikan kuliah khas mengutuk kekejaman Israel menyerang konvoi kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, baru-baru ini. - Foto Bernama

Friday 4 June 2010

.Kisah Tragis Burung Meratapi Pemergian Pasangannya

Saat-saat pasangannya menanggung kesakitan yang cedera akibat kemalangan ketika terbang rendah di jalanan. Ia amat gelisah dan cuba memberi pertolongan.tragis
Ketika ini juga ia sempat membawa makanan kepada pasangannya dengan perasaan cinta dan kasih sayang.kisah tragis
Ia membawa makanan lagi, namun pasanganya telah pun pergi meninggalkannya dan ia cuma mampu mengdakapinya.burung
Ia mencuba lagi menggerakkannya, namun takdir Ilahi pasangannya tetap pergi dan ia mampu menangis dengan alunan suara cintanyakisah burung
Menyedari pasangannya telah pergi untuk selama-lamanya dan tidak kembali lagi, ia hanya mampu meratapinya.mati
Akhirnya ia sedar, yang pergi tak akan kembali lagi, ia ingin dekat dengan pasangannya berada di sisinya seolah-olah tidak merelakannya pergi.kisah teladan
Foto yang menyentuh perasaan ini begitu popular di Amerika dan Eropah. Jurukamera mengaut keuntungan dengan menjual kepada surat khabar terkenal Perancis dan akhbar terbabit habis terjual kerana foto-foto ini. Hargailah keindahan kejadian-Nya.sumber

Serangan rejim Israel buka mata pemimpin umat Islam-Hj Hadi

MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.

“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.

Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.

Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.

Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.

Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.

Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.

“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.

Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.

“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.

“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.

“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.