Saturday 31 July 2010

Nizar lalu jalan berlumpur ke tempat ceramah

PASIR SALAK, 1 Ogos: Seperti suasana pada awal negara menyambut kemerdekaan dahulu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin terpaksa melalui jalan semak dan berlumpur untuk sampai ke pentas ceramah.

Bukannya jalan yang sedia ada tidak baik, namun setelah negara begitu aman selepas lebih 50 tahun merdeka, beliau terpaksa menghadapinya untuk berceramah di majlis Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Changkat Lada, dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, terpaksa berbuat demikian demi keselamatan dan menjayakan program malam tadi setelah polis dan anggota unit simpanan persekutuan (FRU) menyekat laluan masuk ke tempat program.

Akibat melalui jalan tersebut, kasut dan pakaian Nizar basah dan berlumuran lumpur.

"Alhamdulillah, Datuk Seri Nizar dapat bersama kita walaupun terpaksa lalu jalan berselut dan berlumpur," umum pengerusi majlis disambut laungan takbir para hadirin.

Semasa Nizar sedang berucap pula, FRU yang pada asalnya membuat sekatan di jalan masuk, mula bergerak ke pintu depan tapak program untuk masuk ke kawasan ceramah yang dibuat atas tanah persendirian.

Ekoran itu, palang untuk masuk ke tapak program ditutup dan dikunci oleh tuan tanah dan penyokong.

Anngota FRU, bagaimanapun mahu masuk ke kawasan ceramah walaupun tuan tanah meletakkan poster "Hak Milik Persendirian, Dilarang Menceroboh", namun dibenteng lebih 100 penyokong.

Mereka berada di situ sehingga ceramah Nizar selesai kira-kira sejam setengah kemudian.

Terdahulu, Nizar sewaktu memulakan ucapan turut secara sinis membidas tindakan anggota keselamatan itu.

"Malam ini 847 anggota polis, special branch (SB) dan FRU ada bersama kita.

"Selamat datang untuk dengar ceramah dan menjaga keselamatan kami," katanya disambut tepukan oleh lebih 500 hadirin yang hadir.

Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di sini akan berlangsung sehingga lewat malam ini.

Pagi ini, majlis pelancaran akan disempurnakan Nizar, kemudian beberapa kertas kerja akan dibentang sebelun majlis penutup akan disempurnakan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Kemuncak program adalah pada malam ini apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berceramah di sini.sumber harakahdaily.net

Friday 30 July 2010

Menteri penipu, kabinet ditipu?Perdana Menteri UMNO pun ditipu?.

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Jika benar Tun Dr Ling Liong Sik menipu kerajaan Malaysia seperti tuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam, bagaimanakah mereka yang ditipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang.


Ketika mempersoalkan perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika benar penipuan itu berlaku, mereka yang ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan hilang kelayakan sebagai anggota jemaah menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan menghadapi tuduhan menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.


Perdana Menteri, timbalannya dan sebahagian anggota kabinet kini adalah anggota kabinet pada masa penipuan itu didakwa berlaku.


"Persoalannya ialah bagaimana sebahagian yang kena tipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang dan menjawat jawatan yang lebih besar iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi anggota jemaah menteri pada 2002 yang turut kena tipu masih kekal dalam kabinet kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.


Jika tuduhan ke atas Ling benar, Mahfuz menyifatkan perkara itu sangat memalukan kerana perkara itu menunjukkan dalam kabinet kerajaan BN ada penipu dan ada yang kena tipu sehingga mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada negara dan rakyat.


"Yang menipu sudah tentu jahat dan bijak. Yang kena tipu pula sudah tentu lemah dan bangang.


“Yang tipu tak beramanah sementara yang kena tipu pun sama tak beramanah dan pak angguk dalam mesyuarat jemaah menteri.


"Apalah malang rakyat Malaysia diperintah oleh kerajaan Umno BN yang anggota jemaah menterinya orang yang bodoh bangang dan mudah ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan," kata Mahfuz.


Malaysia, katanya, tidak akan maju jika jemaah menteri dari kalangan penipu dan menteri yang mudah ditipu terus berkuasa.


Sambil menyatakan BN boleh dibaca sebagai "Bohong Negara," Mahfuz menyeru rakyat supaya "menyelamatkan Malaysia daripada penipu negara".


Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap semua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu oleh Liong Sik turut sama dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku itu.


Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, anggota kabinet bukan anggota pasukan bola sepak amatur.

Jika pasukan bola sepak amatur ditipu, katanya, ia masih boleh dimaafkan.


Tetapi, kata Salahuddin, anggota kabinet memegang jawatan berprofil tinggi yang memberikan kesan amat besar kepada kepentingan dan harta negara.


"Apabila mereka ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan, ia merupakan condict unbecoming kerana mereka sebenarnya melakukan act of negligence yang didefinisikan sebagai the failure to use ordinary care.


"Sebab itulah kesemua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu itu mesti bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan kerana kerugian yang telah ditanggung oleh negara berhubung perkara itu ternyata amat besar," katanya.


Beliau juga tidak mahu menolak spekulasi yang mendakwa tuduhan terhadap Ling itu sebenarnya adalah sindiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dr Mahathir Perdana Menteri ketika penipuan itu didakwa berlaku.


"Beberapa pihak telah mula mendakwa dan membuat spekulasi bahawa apa yang berlaku itu sebenarnya ialah 'dakwa Ling, sindir Mahathir'.


"Susah juga untuk terus menolak spekulasi itu," katanya.

Friday 23 July 2010

Syabas Pemuda Lancar Kempen Sekampit Beras,Sekilo GUla.



BUKIT GANTANG-
Bersedeqah adalah 1 ibadah. kemiskinan dan kesusahan adalah fitrah dalam kehidupan didunia ini, kerana golongan ini adalah antara golongan yang disebut oleh Allah didalam Al-quran. Oleh itu Pas Kawasan mengucapkan syabas kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Gantang yang telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan kempen "SEKAMPIT BERAS, SEKILO GULA".

Tujuan utama Kempen ini diadakan adalah untuk mendidik masyarakat agar wujud dalam diri setiap ummah sifat mahabbah, ihsan terhadap sesama insan. Di samping itu juga ianya dapat mengajar masyarakat supaya prihatin terhadap golongan Fuqarak wal Masakin yang masih lagi terdapat di Malaysia.



Oleh yang demikian pihak PAS Kawasan mengajak masyarakat bersama-sama menghulurkan bantuan untuk meringankan beban golongan tersebut disamping bersama menjayakan kempen ini.
AKAUN DEWAN PEMUDA PAS BUKIT GANTANG : 080-400-100-2599-0 (BIMB) / 158051407777 ( MAYBANK )


Firman Allah SWT didalam Al Quran : Perumpaan orang-orang yang bersedekah harta mereka pada jalan Allah, seperti sebijik benih yang tumbuh padanya 7 tangkai pada setiap tangkai itu tumbuh 100 biji benih. sumber blog ydp.

Monday 19 July 2010

Boleh Percayakah Kesatuan Guru Setuju Mansuh UPSR dan PMR?

PUTRAJAYA, 19 Julai — Rata-rata kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Loke Yim Pheng berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.

Langkah itu penting bagi mengukur serta menilai tahap pelajaran yang diterima oleh pelajar dan mengelak mereka dan guru hilang tumpuan, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat itu yang dihadiri hampir 140 wakil golongan pendidik dan kesatuan guru termasuk dari Sabah dan Sarawak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Mohd Sabri Mohd Arshad juga bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.

Katanya ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata.

“Penilaian berdasarkan pensil dan kertas semata-mata. Jika kita lihat di negara lain, seperti New Zealand, tidak ada peperiksaan berpusat.

“Langkah ini (mansuh) baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu,” katanya.

Beliau berkata beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan.

“Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya.

“Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga yang mahu para pelajar serba boleh turut akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insane bertaraf dunia,” katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah Sarawak William Ghani Bina turut bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat tidak membebankan tugas guru.

“Kalau boleh, guru-guru sekarang digantikan dengan guru-guru terlatih. Tidak ada lagi guru sandaran atau guru sandaran tidak terlatih.

“Langkah ini akan mengawal mutu pendidikan dengan lebih baik berikutan kapasiti sesebuah kelas akan menjadi kecil. Sekarang, kelas terlalu besar, dan tidak ada hubungan antara pelajar dan guru,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya P. Pharmal Lingam pula tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu kerana mendakwa tidak ada kayu pengukur untuk membuat penilaian terhadap guru dan murid.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pelbagai pandangan diterima daripada perbincangan yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada keputusan dibuat pada mesyuarat itu kerana ia bertujuan mendapatkan pandangan untuk dianalisis.

“Kita menggunakan empat jenis input untuk mendapatkan pandangan iaitu melalui pengumpulan berita daripada media, pandangan orang ramai melalui e-mel dan surat.

“Selain itu, melakukan kajian di sekolah dengan mengedar soalan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan guru, dan input daripada dua perbincangan meja bulat ini,” katanya.

Beliau berkata laporan akhir akan siap pada akhir bulan Ogos ini selepas semua input diteliti sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin. — Bernama

Saturday 17 July 2010

Terima Kasih BN Naikkan Harga Minyak

KUALA LUMPUR, 16 Julai: PAS menyeru semua jentera penerangannya menaikkan kain rentang di pelusuk kampung sebagai tanda protes kenaikan harga barangan mengejut tengah malam tadi.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, tindakan itu juga bagi menyedarkan rakyat betapa 'prihatinya' pemimpin Umno kepada rakyat.

" Slogan “Terima kasih kepada kerajaan BN yang menaikkan harga minyak dan gula, “Bahagianya Rakyat Tanpamu BN” hendaklah dinaikkan untuk menanamkan kesedaran sivik dan politik di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu beliau turut menyeru kerajaan Umno BN agar menyerahkan kuasa secara terhormat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

Pakatan Rakayat di beberapa negeri yang dikuasai katanya, telah menunjukkan kebolehan menjaga rakyat dengan lebih baik berbanding kerajaan Umno.

"Contohnya Kedah yang terpaksa memikul bebanan hutang dan pembaziran di zaman Umno 52 tahun hampir RM3 bilion, masih mampu urus tadbir dengan baik, begitu juga dengan Kelantan yang berjaya mentadbir selama 20 tahun.

"Ketika Kerajaan BN yang hampir lumpuh dari segi kewangan untuk mentadbir negara, tiba-tiba kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mencari berbagai idea untuk mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat seperti percuma, tusyen percuma, skim Kifalah, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), manaka BN pula merancang bagaimana hendak naik tarif air, tol, eletrik," katanya lagi.

Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 5 sen menjadikan harga petrol Ron 95 RM1.85 sen dan gula sebanyak 25 sen menjadi RM 1.90 sen.

Menurut Idris lagi, Pas merasa pelik dengan pengumuman dibuat Najib, sedangkan beliau dengan rasa bangga sebelum ini menyatakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 10.1 peratus dalam suku pertama 2010, pencapain terbaik dalam dekad ini.

"Sepatutnya sebagai kerajaan, ia perlu memikirkan bagaimana hendak menyenangkan rakyat di bawah jagaan mereka, sebaliknya kerajaan hari ini membebankan rakyat.

"Nampaknya kerajaan BN kontang idea untuk membaiki taraf hidup rakyat, yang mereka fikir naik harga barang dan sama ekor," katanya.

Tambahnya perkara ini dapat dielak jika kerajaan pada hari ini mengatasi masalah rasuah dan kroni.

Thursday 15 July 2010

PRU 13: Warga asing dapat status penduduk tetap

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengesyaki terdapat sindiket haram pemberian kad pengenalan kepada warga asing berstatus penduduk tetap melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

Mahfuz pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, keraguan itu timbul apabila ianya didedahkan kepada beliau dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar oleh individu yang ditawarkan untuk membuat permohonan taraf warganegara tersebut.

Mahfuz menjelaskan, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, terdapat beberapa 'program' yang diadakan khusus untuk warga asing ini yang kebanyakannnya warga Indonesia dan Kemboja bagi membolehkan mereka memperolehi kad pengenalan.

Menurutnya, pada 3 Julai lalu,bertempat di Dewan Zentrum, Setiawangsa, warga asing yang telah membuat permohonan ini dipanggil untuk diserahkan 'kad pengenalan' mereka.

Manakala pada 10, 15 dan 17 Julai, bertempat di Kompleks Integrasi Warisan, Salak Tinggi diadakan operasi dan diberikan taklimat kepada warga Indonesia dan Kemboja ini, mereka boleh memohon dan mengisi borang untuk permohonan warganegara.

"Mereka ini tidak pernah memohon tetapi dipanggil melalui agen yang telah pun dikenal pasti oleh pihak yang menganjur itu. Mereka diberitahu ini merupakan peluang untuk mereka menjadi warganegara. Mereka diberitahu apabila mereka memperolehi kad pengenalan nanti mereka hendaklah menyokong kerajaan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambah Mahfuz lagi, sewaktu operasi 'permohonan kad pengenalan' itu berlaku, aktivis Pakatan Rakyat sempat mengambil gambar semasa operasi tersebut berlangsung dan mereka telah membuat laporan polis kerana mengesyaki seolah-olah terdapat sindiket mengeluarkan kewarganegaraan kepada pendatang asing.

"Saya mengesyaki mereka yang terlibat itu akan memenuhi senarai daftar pemilih bagi Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang. Ia juga mungkin memenuhi senarai dua juta daripada orang Melayu yang mendaftar sebagaimana diuarkan kerajaan memandangkan mereka mempunyai nama Islam yang mempunyai persamaan dengan nama-nama orang Melayu di sini. Jadi, kes ini mengulangi kes di Sabah yang membabitkan projek M dalam salah satu kawasan pilihan raya," katanya.

Kes yang berlaku di Sabah, katanya dibawa ke mahkamah dan dibuktikan oleh hakim memang berlaku pendatang asing yang diberikan kad pengenalan untuk mendaftar sebagai pemilih.

"Saya mengesyaki jika mereka tidak memberi keuntungan, kad pengenalan akan ditarik balik. Jadi saya menganggap isu ini sebagai pemerdagangan orang untuk kelangsungan politik Umno dan BN. Isu ini amat besar kerana melibatkan keselamatan negara," tegasnya.

Turut bersama pada siang media itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud, dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

harakahdaily.net

Tuesday 13 July 2010

FBI bersidang di Kuala Lumpur,Apakah hal?

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membantah keras persidangan agensi perisik Amerika yang akan diadakan di Garden and Residences, Mid Malley, dekat sini pada 18 hingga 23 Julai ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) memberitahu, maklumat itu diperoleh daripada laman web FBI National Academy Associatites untuk Asia Pasifik yang diketuai oleh presidennya, SAC 1 Datuk Shahbudin Abdul Wahab.

"Teras membantah dengan keras persidangan ini diadakan di Malaysia yang melibatkan sebuah agensi risikan Amerika yang jelas mempunyai rekod menjadi dalang dalam pelbagai konspirasi untuk menjatuh pemimpin-pemimpin negara yang tidak sebulu dengan Amerika," katanya dalam satu kenyataan media.

Difahamkan, perhubungan FBI National Academy Associates dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 1964 apabila SAC Kassim Ali menghadiri sesi FBI NAA itu buat kali ke-74 .

Sejak itu katanya, 58 pegawai polis kanan dari PDRM telah menghadhiri kursus yang dianggap sangat istimewa, antara yang turut hadir ialah bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar, kecuali 16 orang , yang lain dikatakan sudah bersara.

Mohd Azmi berkata, pihaknya amat kesal apabila mengetahui Malaysia telah menjalinkan hubungan kepolisian dengan FBI yang membuktikan perhubungan seperti ini dilakukan tanpa pengetahuan dan perbahasan di kalangan rakyat mahupun di Parlimen.

Justeru, Teras mendesak kerajaan menjelaskan kepada umum rasional mereka menjalinkan hubungan dengan FBI dan mahu kerajaan segera menghentikan perhubungan dengan FBI.

"Teras mendesak agar pihak kerajaan menjelaskan apakah rasional perhubungan PDRM dengan FBI selama ini, sejauh mana maklumat keselamatan negara diserah kepada FBI dan berapa perbelanjaan yang terlibat dalam latihan pegawai PDRM di FBI.

"Teras juga menuntut agar pihak kerajaan menghentikan perhubungan dengan FBI," katanya.

Menurut Mohd Azmi juga, Shabudin dalam kata-kata aluannya menyatakan bahawa persidangan itu disebut sebagai simbol kuasa dan hubungan rapat yang dapat dijalinkan dengan PDRM melalui FBI NAA Asia pasifik.

Persidangan berkenaan dipercayai ditaja oleh beberapa pihak termasuk Permodalan Nasional Berhad, Tourism Malaysia dan Public Bank Berhad.

Tegasnya juga, kerajaan bersikap hipokrit apabila menyatakan kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan Amerika.

"Tidak ada gunanya kerajaan menyatakan Malaysia mempunyai kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan kuasa perisik Amerika yang mempuyai agenda untuk mengawal pengurusan keselamatan negara.

Sebagai sebuah agensi perisikan Amerika yang utama selain CIA , katanya pelbagai rekod operasi melibatkan penyeludupan agen-agen perisik di seluruh dunia dilaksanakan untuk kepentingan Amerika.

Dua agensi paling berkuasa di Amerika iaitu FBI dan CIA terkenal di Amerika sendiri sebagai agensi yang merosakkan hak individu, hak kebebasan bersuara dan hak memilih pemimpin yang semuanya dilakukan atas nama keselamatan nasional.

Oleh itu, sejarah Amerika sarat dengan skandal yang dikaitkan dengan dua agensi itu termasuk insiden asasinasi Kennedy, kegagalan membunuh Fidel Castro; bom Oklahoma City; pembunuhan beramai-ramai Waco Texas dan 9/11.harakahdaily.net

Melayu : Marilah bersatu dengan tali Allah

1. Secara umumnya , melayu adalah bangsa yang menganut ajaran Islam . Islam pula adalah ajaran yang mengajar supaya seluruh ummatnya bersatu padu dan jangan berpecah belah . Antaranya apa yang difirmankan oleh Allah swt di dalam surah Aali Imran ayat 103 - 105 .

dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah [ Islam ] dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah swt kepada kamu ketika kamu bermusuh - musuhan lalu Allah menyatukan diantara hati kamu [ sehingga kamu bersatu dengan nikmat Islam ] , maka jadilah kamu dengan nikmat Allah swt itu bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu dari neraka itu . Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat - ayat keteranganNya supaya kamu mendapat petunjukNya .

dan hendaklah ada diantara kamu satu golongan yang mengajak ke arah kebaikan , menegakkan yang makruf [ syariat ] dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan .

dan janganlah kamu menjadi seperti orang - orang yang berpecah belah dan berselisih setelah datang kepada mereka keterangan - keterangan yang jelas nyata. mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang besar .

2. Mengambil iktibar dari ayat di atas , kita sewajarnya insaf bahawa Allah menyuruh kita berpegang teguh dan bersatu padu dengan Tali Allah [ Islam ] yang kukuh dan utuh . Tanpanya ummat akan binasa . Justeru itu saya tidak nampak sebab kenapa orang melayu yang rata - ratanya beragama Islam tidak boleh bersatu di atas nama Islam .

3. Orang melayu mesti kembali kepada agama Islam dengan segala syariat dan syiarnya . Tinggallah faham nasionalis [ perkauman ] dan berhijrahlah jasad , pemikiran dan aqidah [ keyakinan ] kepada Islam agama yang dianuti bersama . Islamlah yang menjadikan kita mulia dan hebat . Tanpa Islam maka apalah ertinya melayu . Aslim Taslam [ Islamlah nescaya kamu selamat ]

4. Perpaduan yang dibina diatas premis material , perkauman yang sempit dan pengaruh serta kuasa adalah perpaduan yang rapuh dan tidak mendapat restu Allah swt tuhan yang mencipta kita . Ambillah premis Islam sebagai asas perpaduan yang dicari agar kita kukuh , hebat dan berdaulat serta Allah swt meredhai kita . Harta dan kuasa tidak boleh menyatukan manusia sebaliknya hati manusia hanya boleh diikat dengan Islam . Lihat bagaimana penegasan Allah swt di dalam firmanNya [ surah al Anfaal. Ayat 64 ] :

dan dialah yang menyatupadukan diantara hati - hati mereka . Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di bumi , nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan diantara hati mereka . akan tetapi Allah swt telah menyatukan padukan diantara hati mereka. Sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha bijaksana .

5. Islam tidak pernah menghalang kita berbangga dengan bangsa dan bahasa kita malah Nabi saw juga sangat menyintai bangsa dan bahasanya , namun apa yang penting ialah bangsa dan bahasa itu ditegakkan di atas nilai Islam yang suci sebagai agama yang diturunkan oleh Allah dan Islam menjadi platform perjuangannya .

6. Negara kita Malaysia hanya mempunyai sebuah platform atau parti [ PAS ] yang berjuang untuk menegakkan Islam dan mendaulatkannya . Objektif perjuangannya adalah untuk menegakkan keadilan , kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana ia menjadi sebahagian dari nilai Islam yang diperjuangkan . Tanpa saya menafikan kebaikan orang lain , saya menyeru kepada seluruh ummat melayu dalam negara ini , marilah kita bersama dan bersatu dengan perjuangan Islam [ Tali Allah ] ini sebagai platform yang kukuh dan diredhai oleh Allah swt . Ingatlah Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah Ayat 258 :

Tiada paksaan untuk menganut agama Islam , kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan . Oleh itu , sesiapa yang mengkufurkan [tidak percayakan] thaghut dan ia beriman pula kepada Allah swt , maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh dengan simpulan tali Allah yang kukuh yang tidak akan putus . dan ingatlah , Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui .

7. Perjuangan ummat melayu yang tidak berasaskan Islam hanya akan menjerumuskan mereka ke lembah maksiat dan mungkar . Melanggar perintah Allah swt lalu terperangkap dalam penyelewengan , penyalahgunaan kuasa serta penindasan ke atas golongan yang lemah . Lantaran mereka tidak mempunyai pertimbangan dosa dan pahala , mereka senantiasa dijurang kemurkaan Allah swt. Tanpa segan silu dan rasa bersalah , mereka melakukan rasuah , berjudi , minum arak , mendedahkan aurat , bergaul bebas , berzina , menggelapkan wang , peras ugut dan 1001 kefasadan .

8. Persoalannya kenapa susah sangat kita orang melayu untuk kembali kepada Islam ? apakah kerena kita meletakkan ideologi yang dicipta oleh manusia itu lebih tinggi dari wahyu Allah swt ? lalu sayang untuk meninggalkan ideologi tersebut ? Jika semua pihak ikhlas dan jujur mahu mencari masa depan yang baik untuk ummat melayu , agar melayu menjadi hebat , mulia dan terpandang maka satu - satu jalan yang ada dihadapan kita hari ini ialah Islam .

9. Hari ini , ada orang pertikaikan kemana hilangnya kuasa politik orang melayu ? bagaimana nasib orang melayu yang kian terpinggir di kampung - kampung dan desa ? kenapa melayu mesti bercakaran sesama sendiri ? apakah selamanya mereka tidak boleh bersatu ? . Menjawab kepada semua persoalan itu , saya gesa kepada seluruh pemimpin - pemimpin melayu khasnya supaya kembali kepada ajaran dan amalan Islam , agama yang dianuti oleh mereka dan agama yang mempunyai Tuhan yang satu , Kitab yang satu , Nabi yang satu , Kiblat yang satu .

10. Apabila ummat melayu bersatu diatas premis yang kukuh ini iaitu Islam , maka perpaduan itu menjadikan mereka kuat dan utuh . Mereka akan miliki kuasa politik . Nasib mereka akan terbela dengan amalan kebajikan dan takaaful yang disyariatkan oleh Islam . Mereka akan menjadi mulia dengan kemulian akhlak Islam yang menghiasi diri mereka . Mereka akan bersatu dan berdamai dengan plan ukhuwwah serta toleransi yang disyariatkan oleh Islam . Ertinya Islam menjadikan melayu hebat dan mulia .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Sunday 11 July 2010

Sesat: Presiden PAS ajak ulama Umno muzakarah

BANGI, 12 Julai: PAS mengajak biro agama dan mufti Umno bermuzakarah bagi menentukan perjuangan parti mana antara keduanya yang sewajarnya dilabel sebagai sesat.

"Dalam PAS ada Majlis Syura, ada Dewan Ulamak, dan dalam Umno ada biro agama dan ada mufti yang dilantik kerajaan, mari kita muzakarah untuk tentukan siapa yang sesat," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau ditemui pada majlis makan malam bagi mengutip dana RM1.7 juta bangunan PAS Kawasan Putrajaya di Dewan Sri Cempaka, Kompleks PKNS di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebagai parti ajaran sesat sewaktu berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, Johor minggu lalu.

Menurut Tuan Guru lagi, yang menentukan sama ada sesebuah parti itu sesat atau tidak bukannya Umno, tetapi dasar dan prinsip parti tersebut.

"Yang menentukan sesat atau tidak, ini Al-Quran dan Hadis, kembali kepada Al-Quran dan Hadis. Kita sentiasa terbuka untuk muzakarah," ujarnya lagi.

Hadir sama pada majlis malam tadi, Yang Dipertua PAS Putrajaya, Mohamad Nazir Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Dalam pada itu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Tuan Guru berkata PAS perlu menyelamatkan rakyat di negara dari ajaran perkauman Umno dengan menyeru mereka kembali kepada ajaran Islam.

Pemimpin Umno, katanya telah menjadikan Islam di negara ini mengikut arahan mereka dan bukannya mereka yang mengikut ajaran Islam.

"Jika Islam ditegakkan Melayu akan selamat dan jika Melayu ditegakkan, Melayu tak selamat, Islam pun tak selamat.

"Orang bukan Islam pula jangan takut, Islam tidak memaksa mereka," katanya.

Menyentuh isu kerjasama PAS dengan bukan Islam khususnya DAP yang sering dimainkan Umno beliau menjelaskan, hubungan tersebut berbentuk kerjasama politik yang tidak menggadai prinsip Islam dan berbeza dengan hubungan Umno dengan komponen BN.

"Kerjasama Umno dengan MCA, MIC, Gerakan adalah secara wala’ (semua parti komponen kena patuh kepada Umno), menggadai konsep dan menggadai Islam.

"Kita bekerjasama dengan DAP secara tahaluf (kerjasama atas perkara yang sependapat) dan tidak gadai perinsip dan konsep kita," jelasnya. sumber harakah.dailynet.

Thursday 8 July 2010

Tembak rambang: BN perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Sebanyak 26 parti politik dan pertubuhan masyarakat negeri Johor hari ini menyeru Kerajaan Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab ke atas tindakan pihak polis melepaskan tembakan sesuka hati sehingga menyebabkan kehilangan beberapa nyawa rakyat negara ini.

Seruan itu dibuat dalam satu petisyen yang diserahkan oleh koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang di lobi parlimen untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ianya berikutan dua kes tembakan rambang secara berasingan yang berlaku di Johor masing-masing melibatkan kematian dua pemuda India dan seorang pemuda Melayu berusia 18 tahun.

Kit Siang selepas menerima petisyen itu, mempersoal keengganan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta maaf secara rasmi kepada keluarga mangsa, termasuk kes yang terbaru melibatkan remaja berusia 14 tahun, Aminulrashid Omar di Shah Alam.

"Saya nak tanya, kenapa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri tidak meminta maaf secara rasmi terhadap keluarga mangsa akibat tembakan polis sewenang-wenangnya ini," katanya.

Beliau juga menyokong penuh tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik membuat tuntutan terhadap kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kes tembakan seperti ini berlarutan dan harus dihentikan dan kita menyokong tuntutan yang dibuat NGO dan parti politik," katanya lagi.

Pada 20 Oktober 2008, tiga pemuda berketuruanan India berusia lingkungan 30 tahun, Agustin A/L Mahamenathan, M. Jagathesan dan Siva diserang oleh polis dengan tembakan di Taman Johor.

Agustin dan Jagathesan terbunuh di tempat kejadian manakala Siva berjaya melarikan diri.

Pada 20 Oktober 2009, seorang remaja Melayu, Mohd Afham Arin, 18 tahun pula ditembak mati.

Allahyarham Mohd Afham menunggang motosikal bersama Mohd Firdaus Marsawai yang juga berusia 18 tahun dikejar dan ditembak mati oleh tiga polis yang berpakaian biasa semasa dalam perjalanan dari Taman Johor Jaya ke Pasir Gudang.

Mohd Afham mati kerana kecederaan yang berpunca daripada tembakan pistol di arteri jantung.

Pihak polis mendakwa dalam sidang media keesokan harinya, bahawa tiga peronda bermotosikal cuba menahan motosikal yang dinaiki oleh Mohd Afham dan Mohd Firdaus kerana mereka disyaki terlibat dalam kes ragut yang berlaku di Taman Johor Jaya.

Pihak polis melepaskan tembakan atas alasan mempertahankan diri kerana pembonceng motosikal iaitu Mohd Firdaus melibas pedang terhadap anggota polis.

Sementara itu, ibu Allahyarham Mohd Afham, Sapiah Md Elah yang tidak dapat menahan kesedihan atas kematian anaknya mendesak siasatan dilakukan dengan seadil-adilnya bagi membersihkan nama anaknya yang tercemar kerana disyaki terlibat dengan jenayah.

"Saya nak minta keadilan bagi anak saya, saya nak nama anak saya dibersihkan, saya minta kes ini diadili berdasarkan undang-undang yang betul," katanya sambil mengesat air mata.

Manakala, abang Mohd Afham, Mohd Afli Arin, juga menuntut perkara yang sama, iaitu keadilan bagi pihak adiknya.

"Saya yang menjaga dia selama dia hidup, semasa dia kleuar pun dia minta izin saya. Kita percaya kepada undang-undang tapi undang-undang tidak bersikap adil.

"Dia baru berusia 18 tahun, kalau dia hidup dan berkhidmat kepada kerajaan, sudah pasti dapat memberi kebaikan kepada negara. Tapi polis bertindak sewenang-wenangnya. Saya nak tanya polis laksanakan undang-undang ke tidak?" katanya.

Turut bersama pada sidang media itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan koordinator Suaram Pusat, S. Arutchelvan.SUMBER harakahdaily.net

Wednesday 7 July 2010

Jentera Pemuda bersedia, pilihan raya makin hampir

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Pemuda PAS Pusat menggesa seluruh jenteranya bersiap sedia berdepan pilihan raya umum yang semakin menampakkan petanda bahawa ianya sudah hampir.

Pengarah Pilihanraya dewan itu, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, jentera pemuda PAS di semua peringkat perlu menggiatkan usaha ketika ini khususnya menarik pengundi muda mendaftar sebagai pemilih.

"Petanda plilihan raya sudah dekat, kita tengok Umno mula memfitnah PAS sebagai ajaran sesat.

"Media pula sudah jadi gila, lapor berat sebelah, burukkan Pakatan Rakyat sehingga melampau-lampau," katanya yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Tambahnya lagi, selepas ini rakyat juga akan disajikan dengan berita ahli keluar parti dari Pakatan Rakyat yang akan dicanang dalam media-media arus perdana.

Media termasuk akhbar pembangkang pula, katanya akan berdepan tekanan bagi menghalang laporan-laporan alternatif disampaikan kepada rakyat.

Isu-isu kemiskinan khususnya di negeri Pakatan Rakyat, tambahnya juga akan diangkat bagi menggambarkan kelemahan pentadbiran PR, seperti suasana sama tidak berlaku di negeri BN lain.

"Tanda lain kita akan tengok Perdana Menteri akan beritahu ekonomi kita makin baik. Tiba-tiba ekonomi kita pulih. Itu tanda PRU memang sudah hampir," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya segala persiapan perlu disusun dengan teliti agar tidak berlaku pembaziran tenaga, wang dan masa dalam waktu yang dianggap memasuki awal fasa genting ini.

"Bawa anak muda daftar undi kerana dengan kuasa undi sahaja kita akan dapat merubah Malaysia ke arah yang lebih sejahtera," katanya.

Monday 5 July 2010

Saya belanja Petra dan Bala makan ais kacang - Zaid

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan beliau akan bertemu dengan bekas pengawal pribadi rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda iaitu P Bala Subramaniam untuk makan dan minum bersama beliau selepas polis dan SPRM enggan bertemu beliau.

Dalam tulisan terbarunya dari Kota London, Zaid berkata, oleh kerana polis dan SPRM enggan dan takut bertemu Raja Petra dan Bala, beliau dan rakannya akan bertemu mereka berdua dan belanja mereka makan ais kacang.

Zaid dipercayai mengulas pelbagai tuduhan termasuk membiayai kedua-duanya (Petra dan Bala) yang kini dikatakan pelarian ekoran diburu polis.

Dalam hal ini, Zaid mendakwa, polis bukan memburu kedua-duanya.

"Mula-mula, kita dengar PM Najib kata beliau penuh yakin polis akan menangkap Raja Petra; tapi dah 12 bulan polis tak buat apa-apa. Dan betul lah saperti kata Khairy, Raja Petra selalu ada di khalayak ramai, di London dan Manchester. Kalau saya dan ratusan rakyat Malaysia tahu dan dah pun bertemu dengan Raja Petra, takkan Polis tak tahu. Mustahil," tulis Zaid dalam blognya.

Menurut Zaid, Bala ada di London. Minggu depan, dia akan ka Paris untuk bertemu dengan pihak penyiasatan Perancis.

"Tapi Polis Malaysia tak berminat bertemu dengn kedua-dua manusia ini. Persoalannya mengapa?" tanya Zaid dalam tulisannya.

Menurut Zaid, yang dihebohkan oleh Menteri Hishammuddin, MP Zahrain dan Utusan Malaysia ialah apa hubungan beliau dengan Raja Petra.

"Soalan yang patut ditanya: mengapa tidak ada tindakan terhadap Raja Petra kalau dia ada membuat kesilapan? Beritahulah kepada rakyat apa dia kesalahan itu. Ada waran yang dikeluarkan untuk menangkapnya? Setahu saya, tidak ada. Jadi kalau Raja Petra tidak membuat apa-apa kesalahan, mengapa pula saya tak boleh tengok bolasepak dengannya?" katanya.

Sebenarnya, bagi Zaid, PM Najib takut kapada kedua-dua manusia ini. Lalu berlakonlah mereka, kononnya Raja Petra dilaporkan berada di Brisbane, Australia dan di mana saja.

"Mereka sebenarnya tahu dimana Raja Petra dan di mana Bala. Malah Polis telah pun bertemu Bala di Bangkok, tetapi setakat ini, membisu sahaja. Inilah yang rakyat mahu tahu, mengapa tidak ada siasatan terbuka terhadap kedua-dua mereka ini," katanya.

Tulis Zaid, "PM Najib berkata kita tidak boleh percaya kepada Raja Petra; tetapi kita juga tak boleh percaya buta tuli kepada PM Najib.

"Jadi buatlah satu penyiasatan yang bebas dan terbuka, dan beri jaminan kepada kedua-dua mereka tentang keselamatan diri dan keluarga mereka, dan jaminan mereka tidak akan ditahan dibawah ISA.

"Saya percaya mereka akan pulang ke Malaysia untuk mempertahankan kenyataan mereka yang dibuat tempoh hari," tulisnya lagi.

Menurutnya, jika mereka berdua benar-benar kaki penipu dan memalukan pemimpin negara, maka hukumlah mereka.

"Itu cara pemimpin yang reformis dan baik, bukan berlakon menggunakan Polis dan akhbar menimbulkan buruk sangka setiap hari terhadap orang lain," katanya.

"Saya terpaksa berhenti disini. Nak ke Holiday Villa London dalam masa sejam lagi nak bertemu Bala. Bukan apa. Kerana Polis dan MACC tak mahu dan takut bertemu Bala dan Petra, saya dan kawan kawan akan belanja mereka ais kacang," kata Zaid mengakhiri tulisannya.

Polis dah jadi ketua cawangan Umno - Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Pihak polis sudah menjadi seperti ketua cawangan Umno apabila pantas menyiasat isu tajaan terhadap Raja Petra Kamaruddin berbanding pendedahan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum PKR itu berkata, pihak berkuasa sepatutnya menyiasat terlebih dahulu dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan seperti yang didedahkan Pakatan Rakyat berbanding isu tajaan tersebut.

"Respons polis banyak terhadap kenyataan politik. Pasal politik dia cepat, dia dah jadi macam ketua cawangan Umno,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin Umno bahawa pengendali laman web Malaysia Today itu ke United Kingdom atas tajaan PKR.

Ianya ekoran penyiaran gambar Raja Petra bersama Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

"Raja Petra jawab, dia sedang cari dana untuk Pakatan rakyat.

"Polis patut siasat dana negara yang sudah hilang banyak akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa kerajaan mempunyai bukti Raja Petra dibiayai PKR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam pula memberitahu menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk disiasat.harakahdaily.net

Sunday 4 July 2010

Ada Agenda Tersembunyi -Tok Guru Nik Aziz

KOTA BHARU, 4 Julai: Kajian sarjana mendapati media massa gemar memanipulasikan berita terutamanya membabitkan kenyataan dikeluarkan pemimpin pembangkang.

Situasi itu membelenggui akhbar harian Melayu di negara ini, ketika industri media cetak semakin hilang pembaca.

Dan terbaru keadaan itu berlaku kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila agensi berita milik kerajaan persekutuan melaporkan berita di luar konteks sebenar.

Agensi terbabit semalam menggunakan tajuk ‘Nik Aziz akui wujud perpecahan parti untuk merebut jawatan pada muktamar PAS tahun depan.’

Cara pengolahan berita berita tersebut lebih menjurus kepada spekulasi penulis dan bukan memberi gambaran sebenar terhadap apa yang disebut Menteri Besar Kelantan.

“Saya tegaskan tajuk dan kandungan berita tersebut tidak benar dan di luar konteks yang saya maksudkan.

”Saya dapati keseluruhan laporan itu merupakan tanggapan pihak Bernama sendiri dan bukannnya dari maksud sebenar kenyataan saya,” kata Tuan Guru Nik Abdul.

Dalam kenyataan media hari ini katanya, malang sekali laporan terbabit turut dipetik beberapa akhbar dan media online.

Agensi berita itu dalam laporannya semalam menyebut ’Baru sahaja selesai Muktamar PAS ke-56 bulan lepas, Mursyidul Am PAS mengakui wujudnya perpecahan dalam parti itu bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan Muktamar PAS tahun depan.

”Kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti,” laporan Bernama dipetik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pada sidang media semalam beliau meminta dirujuk terlebih dahulu kepada perlembagaan PAS kerana membenarkan pemilihan dilakukan.

”Kalau boleh tidak perlu bertanding kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan.

”Ini luahan hati orang tua, tidak mahu tengok perpecahan berlaku. Pengalaman saya sendiri tidak pernah bertanding dalam Dewan Ulamak suatu ketika dahulu. Baik kita cari cara yang lebih comel elak perpecahan,” katanya mengulangi kenyataan semalam.

Beliau berkata, elok buat keputusan secara syura dan lantik ketua beramai-ramai. ”Ini sekadar cadangan saya tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti.

”Semoga penjelasan ini mengelakkan salah faham semua pihak. Jangan mudah terpengaruh dengan laporan berkenaan terutamanya media yang ada agenda tersembunyi,” katanya. sumber harakahdaily.net

Thursday 1 July 2010

Kenapa rakyat perlu turun 'Kempen Tak Nak Judi'?

Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).

Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina.

Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara. Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.
Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.

Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya.

GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.

Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.

Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat .

Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi.

Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua.
Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.


Suhaizan Bin Kaiat,
Setiausaha,
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).