Monday 30 May 2011

Budak 10 tahun tangkap buaya


SEEKOR alligator yang ditangkap oleh budak lelaki berusia 10 tahun, Michael Dasher.


ROCKLEDGE - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terkejut melihat seekor buaya jenis alligator sepanjang lebih 1 meter menyambar jorannya ketika dia memancing di sebuah terusan di sini, negeri Florida, Amerika Syarikat.

Jauh sekali melarikan diri, budak lelaki berkenaan, Michael Dasher sebaliknya bergelut dengan buaya tersebut selepas ia naik ke darat.

Dengan bantuan dua rakannya, Dasher mengikat mulut reptilia tersebut sebelum menyeret haiwan itu ke rumahnya yang terletak berdekatan kerana tidak mahu dituduh hanya mereka-reka cerita.

Dia hanya mengalami beberapa kesan calar dan luka kecil pada badannya dalam pergelutan tersebut.

"Cucu saya tidak takut pada apa-apa pun," kata datuknya yang berusia 57 tahun, Benji Cox.

Reptilia itu kemudian dibebaskan pihak berkuasa hidupan liar kerana ia tergolong dalam spesies yang dilindungi di AS dengan mereka yang menangkapnya berdepan denda AS$500 (RM1,512) dan hukuman penjara hingga 60 hari. - Agensi

Suami didakwa punca utama cerai

KUALA LUMPUR – Kegagalan lelaki menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga dikatakan menjadi punca utama peningkatan kes jumlah pasangan Islam yang bercerai berbanding pasangan bukan Islam di negara ini.

Pakar Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, penemuan itu adalah hasil kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Apabila suami gagal melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga, kewujudannya tidak lagi dianggap penting, malah ada isteri yang menganggap ketiadaan suami bukan lagi satu beban tetapi rahmat,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie kelmarin mengenai kes pasangan Islam yang bercerai meningkat daripada 22,289 kes sepanjang tahun 2008 kepada 27,116 kes pada tahun lalu.

Pada masa yang sama, jumlah kes perceraian pasangan bukan Islam menurun kepada hanya 3,633 kes pada 2008 berbanding 2,938 kes tahun 2009.

Menurut Suzana, kekurangan ilmu rumah tangga dan perkahwinan selain kecenderungan niat tidak tepat untuk berkahwin turut menyumbang kepada perceraian

Thursday 26 May 2011

Nizar tanding Naib Presiden

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin hari ini mengesahkan penyertaannya bagi pertandingan Naib Presiden PAS namun Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli hanya bertanding AJK sahaja.

Nizar (gambar) ketika bercakap kepada Harakahdaily berkata, pihaknya telah menghantar surat pengesahan untuk bertanding jawatan itu ke Pejabat Agung PAS sekejap tadi dan memaklumkan hanya akan bertanding naib presiden sahaja.

Sementara itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu Harakahdaily, beliau mengambil keputusan bertanding AJK PAS Pusat sahaja.

Langkah ini diambil beliau selepas bekas naib presiden sebelum ini, Datuk Husam Musa membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu kali ini.

"Saya rasa oleh kerana PAS melaksanakan keputusan secara konsensus, saya rasa cukup kalau saya menumpu pertandingan AJK sahaja dan tidak perlu di naib presiden," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily sambil mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan beliau.

Semalam Dr Hatta berkata, beliau masih belum menarik diri lagi untuk bertanding jawatan naib presiden tetapi belum menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Pemilih.

Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, yang turut mendapat pencalonan untuk AJK PAS Pusat tapi menolaknya kerana mahu memberikan tumpuan kepada naib presiden sahaja.

Jawatankuasa Pemilihan PAS akan mengumumkan calon-calon yang bertanding dalam muktamar PAS kali ini dalam satu sidang media esok. Hari ini adalah hari terakhir untuk calon-calon yang layak membuat pengesahan pertandingan.

Selain Nizar, yang dijangka bertanding untuk naib presiden adalah Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar yang menyandang jawatan itu sekarang di samping Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Exco kerajaan Kelantan Datuk Nik Mohd Amar.

Naib presiden sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau akan bertanding timbalan presiden dalam muktamar kali ini.

Nizar datang ke pejabat Harakahdaily untuk rakaman program 'Persepsion' bersama TVPAS yang akan disiarkan dalam Harakahdaily Jumaat ini.

Nizar berbicara soal 'Perak dalam pilihan raya umum ke 13'.

Semalam, Mohamad Hata Wahiri, Presiden NUJ membuat rakaman untuk rancangan 'Persepsi' terbitan TVPAS untuk Harakdaily.

Hata, wartawan Utusan Malaysia yang baru sahaja dipecat berbicara soal Utusan Malaysia dan Umno dalam siaran kali. Rancangan ini juga akan disiarkan mulai petang Jumaat ini di Harakahdaily.