Wednesday 18 April 2012

Bas UiTM terbakar, empat kakitangan selamat

Bas UiTM terbakar, empat kakitangan selamat

JASIN - Empat kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Segamat terselamat selepas bas dinaiki mereka terbakar dekat Hentian Sebelah Kampung Bemban, di KM184 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 petang itu disedari pemandu bas universiti, Shamsuri Sentol, 46, yang terbau hangit dari arah belakang.

Menurutnya, dia bersama tiga rakannya dalam perjalanan dari Simpang Ampat, Alor Gajah ke UiTM Segamat dan terbau hangit kira-kira dua kilometer sebelum memasuki kawasan hentian sebelah Kampung Bemban.

“Saya kemudiannya memberhentikan bas. Selepas diperiksa, ada asap pada tayar di belakang bas dan cuba memadamkannya menggunakan air.

“Namun api mula keluar dan berlaku letupan kecil sebelum marak menyebabkan saya terus menghubungi bomba,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Rozali Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.13 petang dan tiba di lokasi 13 minit kemudian.

“Bagaimanapun dalam perjalanan, kami meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Bukit Katil untuk ke lokasi berikutan lokasi kami lebih jauh.

"Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, bas berkenaan terbakar hampir 100 peratus dan api dapat dikawal dalam tempoh lima minit sebelum padam sepenuhnya,” katanya kepada pemberita.

Thursday 12 April 2012

Nurul Hairin ibu muda pengsan kena bola futsal.

Wanita pengsan kena bola futsal

BENTONG – Seorang bapa terkilan terhadap pengurusan sebuah karnival yang berlangsung di Dataran Bentong pada bar-baru ini yang didakwa mengabaikan soal keselamatan pengunjung.

Bapa terbabit, Helmi Mohamed Hanafiah, 47, berkata, antara jam 9 pagi hingga 11 pagi Ahad lalu, anaknya yang sedang mengandung tiga bulan, Nur Hairin Anisa Abdul Razak, 25, mengunjungi tapak karnival itu.

Namun ketika melalui kawasan pertandingan futsal dan bola jaring, anaknya terkena bola futsal ditendang pemain dari dalam gelanggang.

“Ia berikutan gelanggang futsal itu tidak dilengkapi ciri keselamatan kerana kawasan sekelilingnya tidak mempunyai pagar atau jaring untuk menghalang bola terkena pengunjung.

“Susulan kejadian itu, anak saya pengsan. Namun penganjur tidak mengambil sebarang tindakan, malah tiada sebarang bantuan kecemasan disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Helmi berkata, anaknya dibawa ke Hospital Bentong dengan bantuan orang awam dan diberi rawatan di Unit Kecemasan.

Menurutnya, anaknya dibenarkan pulang dan dinasihati datang segera ke hospital sekiranya berlaku pendarahan atau komplikasi.

“Selepas kejadian itu, anak saya ada mengadu sakit di bahagian perut. Berikutan bimbang terhadap keselamatannya, saya membuat laporan polis untuk mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Helmi berkata, selain menyediakan kawasan pertandingan dilengkapi jaring, penganjur juga perlu menyediakan pasukan kecemasan untuk mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Menurutnya, kejadian itu perlu dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang lagi pada masa akan datang memandangkan karnival tersebut akan diteruskan ke semua daerah.

“Saya kesal kerana penganjur gagal menyediakan persekitaran selamat kepada pengunjung. Sehubungan itu, saya amat berharap penganjur peka mengenai permasalahan itu dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Polis cari suspek satu kejadian langgar lari yang berlaku di kilometer 199 jalan Ipoh-Butterworth

Suspek langgar lari dicari

PARIT BUNTAR – Polis kini mencari suspek satu kejadian langgar lari yang berlaku di kilometer 199 jalan Ipoh-Butterworth, berdekatan Kampung Melaka, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian itu berlaku pada kam 6.30 pagi dan menyebabkan kehilangan nyawa seorang pengawal keselamatan di Mahkamah Majistret Parit Buntar, Omar Basrim, 63.

Menurut beliau, kejadian turut menyebabkan dua penunggang motosikal yang dikenali sebagai Wan Man, 29 dan Mohd Shahidan dari Kuala Kurau mengalami kecederaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dalam perjalanan dengan menaiki basikal dari rumahnya di Parit Haji Amin, Batu 5 Jalan Baru Parit Buntar ke tempat kerjanya.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang belum dapat dipastikan jenis serta pemandunya,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mat Fauzi memaklumkan, keadaan masih gelap semasa kejadian dan kenderaan terbabit telah lari meninggalkan tempat kejadian sebaik sahaja melanggar mangsa.

Katanya, mangsa dipercayai mengalami pendarahan serius pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

“Pada masa sama, Wan Man yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Mertajam, Pulau Pinang cedera apabila terjatuh kerana tidak sempat mengelak basikal mangsa.

“Manakala, Mohd Shahidan yang juga dalam perjalanan ke tempat kerja di Kulim, Kedah parah apabila terjatuh semasa mengelak mayat mangsa dan telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan,” katanya.

Mat Fauzi memaklumkan, mangsa didapati telah meninggal dunia sewaktu polis tiba di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke HPB untuk bedah siasat.

Tambahnya, mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu Lima, di sini.

“Polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai langgar lari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kenderaan serta suspek kejadian.

“Kita harap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubungi kejadian dapat menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Tuesday 10 April 2012

“Abang dah tak ada! Abang dah tak ada!”-rintihan isteri.

IPOH - “Abang dah tak ada! Abang dah tak ada!” itu sahaja ungkapan yang dapat diluahkan Shaharenah Said, 53, isteri kepada seorang penyelia pengawal keselamatan yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Ipoh-Lumut (berhampiran Taman Rasi) petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Rosli Abni, 53, dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.


Shaharenah bersama anak tunggal perempuannya, Nadhratun Najihah, 11, hanya mengalirkan air mata sebaik tiba di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bersama beberapa ahli keluarga yang lain.


Menurutnya, berita kematian suaminya diterima kira-kira jam 5 petang sebelum segera bergegas ke dari Batu Gajah ke Ipoh.


“Tidak ada sebarang perubahan pelik yang dapat dilihat pada suami saya.


Bagaimanapun, saya redha dengan pemergiannya kerana ALLAH lebih menyayanginya,” katanya.


Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya malam tadi.


Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Batu Gajah.


Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong lori di laluan berkembar lalu masuk ke laluan bertentangan.


“Bagaimanapun, ketika keretanya cuba memotong kenderaan lain di hadapannya, mangsa gagal mengawal kereta Proton Saga FL yang dipandunya terbabas lalu merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.


“Pemandu kereta tersebut yang tersepit di tempat duduknya maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya.


Beliau berkata, pemandu lori yang dipercayai dalam perjalanan ke Ipoh tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Mayat mangsa dihantar ke HRPB untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kemalangan masih diteruskan,” katanya.

Sunday 8 April 2012

"Akak doa dan harap Allah sayangkan akak"-Sri Wani Choo Abdullah

Sri Wani Choo Abdullah

SHAH ALAM - “Terima kasih, akak reda dengan segala ujian. Akak doa dan harap ALLAH sayangkan akak”.


Itulah ucapan ringkas yang diterima Sinar Harian kiriman Sri Wani Choo Abdullah, 37, pengusaha produk kecantikan yang mencuri perhatian umum sejak berita suaminya memfailkan pembatalan perkahwinan di Mahkamah Syariah, tahun lalu, diketahui umum.


Berdasarkan tinjauan dan carian internet yang dilakukan selepas pengakuan eksklusif Sri Wani dipaparkan Sinar Harian kelmarin, orang ramai memberi respons positif.


Rata-rata mereka berdoa sekiranya Sri Wani tidak bersalah, mudah-mudahan perkahwinannya selamat.

Thursday 5 April 2012

Kek Terpanjang....

KEK TERPANJANG... Penuntut Diploma Pengurusan Hotel dan Katering Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang menyusun kek gulung sepanjang 464.48 meter yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Rekod (MBR) sempena Karnival Hospitaliti 2012 di Kompleks Pasir Gudang di Johor Bahru, Khamis. Seramai 150 penuntut jurusan tersebut meluangkan masa selama 84 jam untuk memastikan kek gulung berintikan jem nanas itu berjaya mengatasi rekod kek gulung terpanjang di Malaysia iaitu 300 meter. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk M.Munusamy dan dihadiri oleh Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Azizi Lin dan wakil MBR Zulhairi Md Zin. Kek gulung itu akan dijual kepada orang ramai dan hasil jualan tersebut akan digunakan untuk mengisi Tabung Amanah Politeknik Ibrahim Sultan. Foto BERNAMA