Saturday 8 March 2014

Skyhawk TUDM pun pernah hilang,7 tahun kemudian pilot diisytihar meninggal dunia.

Rupanya TUDM juga ada hilang jet pejuang.Kajian kes ,pejuang Hawk 108 hilang,kemudian A-4 Skyhawk TUDM hilang.Malaysia boleh menggunakan kes itu untuk mencari  kapalterbang MAS hilang itu.

KUANTAN 31 Mei - Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hilang di selatan kawasan perairan Mersing, hari ini ketika dalam misi latihan penerbangan biasa.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM, Kapten Zulkiflee Abdul Latiff berkata, pesawat satu tempat duduk itu yang berpangkalan di TUDM Kuantan hilang dari radar dan terputus perhubungan dengan menara kawalan pada pukul 4.37 petang di ruang udara berhampiran Rompin.

Setakat ini, nasib juruterbang masih belum diketahui.

``TUDM telah menubuhkan satu pasukan mencari dan menyelamat dari 21 Skuadron dan 16 Skuadron, tetapi setakat ini pesawat itu masih belum dijumpai,'' katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, satu sumber memberitahu, pesawat berkenaan yang sepatutnya pulang ke pangkalan TUDM Kuantan pada pukul 5 petang dipercayai hilang di kawasan Nenasi, Rompin.

``Gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan sebaik sahaja pesawat tersebut disahkan hilang, ia disertai oleh dua buah helikopter Nuri dan sebuah beachcraft.
``Bagaimanapun helikopter Nuri itu menghentikan gerakannya kira-kira pukul 7 malam,'' kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu, gerakan mencari dan menyelamat juga melibatkan polis Johor dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Kuantan.

Difahamkan, pesawat tersebut hilang di kawasan yang pernah menyaksikan seorang juruterbang pesawat A-4 Skyhawk TUDM, Leftenan Wahi Annuar Mat Amin hilang sewaktu menjalani latihan penerbangan dari Pangkalan Udara Kuantan ke Labuan pada 23 Jun 1988.

Selepas tujuh tahun, iaitu pada 8 April 1996, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat pengisytiharan bahawa beliau dianggap telah meninggal dunia.

Kali terakhir pesawat Hawk terhempas ialah pada 23 Jun 2005 di Pangkalan Udara TUDM Labuan yang mengorbankan juruterbangnya, Kapten Mohd. Yusari Kliwon dari Skuadron 15, Butterworth.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm#ixzz2vNr9eKkC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment