Thursday 14 October 2010

Syarikat ‘mati’ kontraktor utama bina Istana Negara

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan skandal pembinaan Istana Negara yang baru apabila projek bernilai RM950 juta itu diserahkan kepada Syarikat Maya Maju (M) Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat misteri itu dilantik sebagai kontraktor utama pada 26 Oktober tiga tahun lalu.

Walhal, katanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) mengesahkan syarikat misteri itu telah mati atau tidak aktif ketika proses penyerahan tender dibuat oleh kerajaan Pusat.

"Syarikat kontraktor utama itu didaftarkan semula (di SSM) pada Ogos 2008 sedangkan kontraktor diserahkan kepada syarikat itu pada Oktober 2007.

"Mengapa status kontrak sedemikian, apakah cara begini yang Umno ambil," ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu petang tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR turut mendesak Najib menjelaskan sebab mengapa tarikh siap projek mega tersebut ditangguhkan sehingga Februari tahun depan.

Sedangkan katanya, tarikh siap yang dipersetujui antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor utama adalah pada 29 November tahun ini.

Pentadbiran Najib turut dipersoal kerana kos pembinaan asalnya hanya RM395 juta sahaja.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa amalan kronisme berlaku dalam proses pemberian projek yang membabitkan Kementerian Kewangan yang juga di bawah Najib.

Katanya, syarikat misteri tersebut dikuasai oleh bekas Bendahari Umno Bahagian Merbok.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Mohd Azan Ismail turut menyertai sidang media tersebut. harakahdaily.net

Tuesday 5 October 2010

Bicara Mat Sabu Tangguh lagi- Saksi pendakwa terima arahan ketua bukan berdasarkan undang-undang.

SEBERANG PRAI, 5 Okt: Perbicaraan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan sembilan yang lain setelah ditangguhkan untuk beberapa kali sebelum ini sekali lagi telah ditangguhkan selepas perbicaraan yang berjalan bermula pada jam 10.00 pagi tadi di Mahkamah Majistret Jawi, Seberang Perai Selatan.

Majistret Mohd Izham Ali yang mendengar kes perbicaraan tersebut telah menangguhkan kes tersebut pada 29 dan 30 November yang akan datang.

Perbicaraan yang melibatkan ramai dari pendokong PAS itu telah tiba sejak awal pagi bersama-sama dengan Mohamad Sabu.

Namun begitu selepas perbicaraan berjalan selama hampir dua jam, ia telah ditangguhkan kepada tarikh tersebut.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka telah dituduh menghalang anggota polis berpangkat Superitenden Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap Mohamad Sabu.

Kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, lebuhraya PLUS berhadapan susur keluar lebuhraya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007.

Kesemua mereka juga dituduh menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana membawa humuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10 ribu atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit akan kesalahan.

Dalam perbicaraan yang diadakan tadi, kesemua yang dituduh terdiri dari Mohamad Sabu, Fauzi Saharat, Abd Rahim Md Ariff, Zairun Azrul Zainal Abidin, Zamarul Aini Abdul Malek, Mohd Bunyamin Ishak, Md Lazim Osman, Abd Razak Ramli, Mohd Sabri Said dan Mohamed Salleh hadir.

Mohamad Hanipa Maidin bersama-sama dengan Aminuddin Zulikifli dan Yusnita Yusoff mewakili kesemua tertuduh.

Apa yang menariknya semasa sesi perbicaraan tersebut, apabila Hanipa menyoal balas saksi pendakwa dalam perbicaraan tadi telah beberapa kali memohon kepastian sama ada ada atau tidak waran tangkap diterima secara bertulis dan diserahkan kepada Mohamad Sabu semasa tangkapan hendak dilakukan.

Saksi pendakwa yang berpangkat ASP itu beberapa kali menyatakan bahawa beliau hanya menurut arahan pihak atasan secara lisan dan tidak ada waran tangkap secara bertulis yang diserahkan kepada tertuduh.

Hanipa untuk beberapa kali mengulangi soalan yang sama kepada saksi pendakwa apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana kuasa sekalipun sedangkan tertuduh tidak dibekalkan secara hitam putih waran tangkap untuk diserahkan kepadanya.

Namun begitu saksi pendakwa tetap menyatakan beliau hanya menurut arahan pihak atasan walaupun bertindak tanpa waran tangkap yang perlu diserahkan kepada tertuduh.

Antara beberapa soalan menarik yang ditanya oleh Hanipa.

Hanipa: Tertuduh (Mohamad Sabu) tidak ditunjukkan surat waran tangkap, apakah beliau boleh ditangkap begitu sahaja.

Saksi pendakwa: Saya hanya mengikut arahan pihak atasan.

Hanipa: Apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana pihak sekalipun.

Saksi pendakwa: Saya hanya menerima arahan.

Hanipa: Jika terima arahan apakah tangkapan ini tidak bercanggah dengan undang-undang. Kenapa tidak minta waran tangkap.

Saksi pendakwa: Saya terima arahan ketua sahaja.

Hanipa: Antara arahan ketua dan undang-undang mana yang perlu dipatuhi?

Saksi pendakwa: Undang-undang.

sumber harakahdaily.net.