Tuesday 30 March 2010

16 Ahli Majlis Kubang Pasu Lapor Polis-Kes Fitnah

JITRA, 30 Mac -- Seramai 16 orang ahli Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) pada hari Selasa membuat laporan polis kerana mendakwa mereka difitnah seorang pegawai majlis itu melalui sepucuk surat kepada Menteri Besar Kedah bertujuan menjatuhkan maruah mereka.

Mereka turut mendakwa surat bertarikh 11 Mac itu yang seharus menjadi rahsia telah tersebar luas kepada umum.

Jurucakap kumpulan itu, Basir Ismail, yang ditemui pemberita di Ibu Pejabat Daerah Kubang Pasu berkata, surat yang dihantar kepada Menteri Besar menyatakan kakitangan MDKP kecewa kerana kerajaan Kedah tidak membuat tapisan untuk melantik mereka, kononnya ada antara yang dilantik itu mempunyai rekod jenayah, bankrap dan mengganggu pentadbiran majlis.

"Kami membuat laporan ini untuk membersihkan nama kami dan bagi membolehkan polis menyiasat surat tersebut," kata Basir.

Ketua Polis Kubang Pasu, Supt Sawaluddin Hamenuddin, mengesahkan polis menerima aduan itu.

-- BERNAMA

Thursday 25 March 2010

Gejala buang bayi: Perlu pada kaedah pencegahan

Parti Islam Semalaysia (PAS) memandang berat gejala pembuangan bayi di negara ini. Perbuatan durjana yang lebih teruk daripada zaman jahiliah sebelum baginda dibangkitkan menjadi Rasul.

Gejala ini amat memalukan negara, kebetulan majoriti yang terlibat ialah orang melayu Islam. Fenomena yang berlaku menunjukkan gejala yang tidak bermoral ini semakin parah dan menggambarkan kegagalan kerajaan yang ada pada hari ini gagal untuk mendidik rakyat menjadi manusia yang berguna dan tahu tentang nilai hidup mereka.

Peristiwa ini amat memalukan Islam kerana orang Melayu mewakili penduduk yang beragama Islam. Secara tidak langsung akan merosakkan imej Islam di pandangan orang bukan Islam di negara ini.

PAS melihat bahawa kerajaan Umno/BN pada hari ini tidak serius dalam menanggani masalah ini. Ia bukan mencari jalan untuk menutup punca supaya gejala ini tidak berlaku. Ia lebih kepada program yang bersifat menyapu sampah di bawah karpet.

Program yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah akhlak lebih beroreintasikan perniagaan sesama kroni. Sebab itu projek Rakan Muda dan PLKN semuanya oreintasi untuk mengkayakan kroni sahaja.

Akhirnya matlamat tidak tercapai, sebaliknya wang negara lesap begitu sahaja walau terpaksa membelanjakan wang berbilion ringgit.

Sepatutnya dalam menanggani masalah pembuagan bayi ia mesti bertindak sebagai mana kaedah Islam iaitu “Saddu Zara’ik” menutup pintu kerosakan. Kerajaan sepatutnya mengawal pusat hiburan, memperkatatkan peraturan iklan yang menghairahkan, mewajibkan pelajar Islam memakai tudung, mengawal pergaulan bebas, kempen menutup aurat, kempen jauhi zina.

Selain daripada mendidik dan mengawal maka kaedah yang paling berkesan ialah mesti kembali kepada hukum yang Allah kenakan kerana hukum Allah mempunyai roh iaitu “nakala minallah” yang Allah akan melontarkan kegerunan untuk pelaku maksiat menjauhkan perbuatan zina. Sudah banyak cadangan yang kerajaan cadangkan, kita tidak dengar satu pun cadangan untuk kembali kepada apa yang diajar oleh ajaran Islam.

Tuesday 23 March 2010

Dewan Rakyat: Parlimen Mahu Tempoh Seminggu Teliti Dokumen Mengenai Wang Ihsan

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Parlimen meminta tempoh seminggu untuk meneliti segala dokumen dan fakta yang dikemukakan seorang anggota Parlimen pembangkang mengenai wang ihsan yang perlu dibayar kepada rakyat Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau mahu melihat dahulu dokumen tersebut kerana kurang jelas terhadap isu yang dibawa pembangkang.

"Saya tidak mahu memanjangkan cerita ini, saya kurang jelas soal latar belakang, saya belum lihat semua dokumen, saya minta beri peluang saya satu minggu untuk melihat semua dokumen ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Selepas selesai sesi soal jawab di Parlimen, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) telah membawa usul yang mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat penyelewengan di dalam dewan mengenai isu wang ihsan.

Beliau berkata penyelewengan itu berlaku ketika Najib menjawab soalan beliau pada 4 Nov 2009 mengenai bila tuntutan royalti minyak rakyat Kelantan akan dibuat oleh Petronas.

"Pada ketika itu, Perdana Menteri telah menjawab di dalam dewan yang mulia ini dengan mengatakan bahawa Kelantan termasuk Terengganu yang kawasan minyaknya terletak di luar pantai atau offshore tidak layak mendapat bayaran royalti dan dengan itu beliau menyatakan bahawa meskipun peruntukan itu jelas, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan wang ihsan ke Terengganu dengan mengambil kira pengeluaran petroleum yang terletak di luar negeri tersebut," katanya.

Salahuddin berkata jawapan Perdana Menteri itu dilihat bertentangan dengan kandungan sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Petronas pada 16 Sept 1978 yang dialamatkan kepada Datuk Setiawangsa Pegawai Kewangan Negeri, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu mengenai anggaran pembayaran royalti minyak petroleum.

"Adakah jawapan yang diberikan Perdana Menteri dalam dewan yang mulia ini yang mengatakan itu adalah wang ihsan sama sekali bertentangan dengan surat yang dialamatkan dan dihantar Petronas yang jelas menunjukkan fakta wang itu dibayar dengan wang royalti bukannya wang ihsan," katanya.

Justeru, beliau memberi tempoh seminggu untuk Perdana Menteri membuat penjelasan berhubung perkara tersebut.


-- BERNAMA

Monday 22 March 2010

Buat Apa Kita Pikul Biawak Hidup - Haji Hadi


TG Hj Hadi, Ustaz Abu Bakar Husein dalam satu pertemuan dengan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS.Turut kelihatan pemangku ketua pemuda DPPP Sdr Wai Chee Seng dari Bukit Gantang.(baju belang)
TG Hj Hadi,YB Tn Haji Zainudin Yusuf dan Ustaz Mustara Shaari di Pejabat DPPP di pekan Langkap(Dun Sg Manik)
Sebahagian ahli kelan yang hadir.

Johari Jaafar

LANGKAP: Presiden PAS, Datuk Tuan Guru Haji Hadi sekali lagi menegaskan bahawa PAS sama sekali tidak akan bekerjasama dengan perkauman Melayu Umno dan tetap setia dengan Pakatan Rakyat kerana bagi beliau Umno merupakan sebuah parti yang berpenyakit dan penuh dengan masalah, kerana itu apa gunanya bekerjasama dengan parti yang dipenuhi dengan penyakit dan bermasalah.

Tidak ada gunanya PAS bekerjasama dengan sebuah parti yang berpenyakit kerana penyakit yang menimpa Umno akan terkena kepada PAS sekiranya PAS bekerjasama dengan Umno.

Beliau menyifatkan kerjasama dengan Umno akan membawa masalah kepada PAS laksana memikul biawak hidup, betapa susahnya memikul biawak hidup dan pastinya PAS merasa kepayahan lantaran kerjasama tersebut.

"Berkerjasama dengan Umno laksana memikul biawak hidup yang pastinya bahang penyakitnya akan dirasai oleh PAS sendiri, jelasnya.

"Kalau kita memikul biawak hidup, menyakitkan kita akibat cengkaman kukunya, dia gigit kita, lebih baik kita bersendirian , kita lapah biawak , ambil kulit dia tu, boleh tak?,"katanya disambut tepukan bergemuruh para penyokong Dewan himpumnan Penyokong PAS di sini semalam.

Haji Hadi berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukln wartawan selepas beliau menyampaikan amanat kepada penyokong penyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS di sini .

PAS sudah berpengalaman bersama dengan Barisan Nasional pada tahun 1974-1978, apabila PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional dan telah mengalami banyak pengalaman dan ianya telah menjadi pengajaran kepada PAS.

Menurut beliau selagi Umno tidak boleh melakukan perubahan kepada sistem kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya, menghidupkan amalan demokrasi yang sebenarnya, tidak ada guna PAS mengadakan kerjasama dengan mereka.

Umno mesti terbuka untuk mengembalikan badan Kehakiman, amalan demokrasi dan mengamalkan Kebebasan Media, ini semua mesti dibuktikan dahulu dengan menunjuk sikap yang positif terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Beliau yakin kaum India dan Cina akan lebih yakin kepada Pakatan Rakyat apabila mereka melihat perubahan yang berlaku di negeri negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat menghadapi pelbagai kepayahan,

Antara yang hadit pada majlis itu, Pesuruhjajaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Mustafa Shaari, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Perak, Mohd Zainuddin Yusoff, ADUN Changkat Jong, Mohd Anuar Sudin dan pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Perak dan pimpinan PAS kawasan Teluk Intan.

Sunday 21 March 2010

Apa guna 1Malaysia sedangkan BN menuju kehancuran

KEPALA BATAS, 21 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan apa gunanya slogan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sedangkan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sedang menuju kehancuran.

Menurutnya lagi, MCA yang akan memilih kepimpinan baru pada 28 Mac ini hampir terbenam ekoran sikap kepimpinannya sendiri yang rakus serta ego.

"Kalau mahu membina Malaysia ke arah yang lebih cemerlang, kita harus ada kekuatan dalaman terutama parti yang menjadi teras BN. MCA, Gerakan, MIC dan Umno telah hilang kewibawaan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu kerana rakyat tidak lagi menaruh harapan terhadap parti itu," tegasnya ketika perjumpaan dengan masyarakat Cina di Dewan Terbuka Hock Teik, Jalan Satu di sini, petang semalam.

Baginya, BN umpama sebuah kapal yang hampir karam di lautan yang bergelora.

“Bila karam semuanya rosak termasuk enjin serta anak kapal," jelasnya dalam program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pulau Pinang dengan kerjasama DAP Kepala Batas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri resah dengan perkembangan politik kerabat BN terutamanya MCA yang dilihat makin kurang sokongan.
Sampai kini, MCA gagal mencari kepimpinan yang boleh menyelamatkan maruah parti tertua Cina itu.

"Rakyat terdiri daripada masyarakat Cina usah lagi bergantung harap pada MCA sebaliknya kena berani membuat perubahan dan memberikan sokongan padu pada Pakatan Rakyat yang memerintah empat buah negeri," kata beliau.

Sementara itu, wakil masyarakat Cina Kepala Batas, Lai Hock Peng berharap iklim politik sekarang masih menyebelahi Pakatan Rakyat, tambahan lagi Parlimen Kepala Batas ditandingi orang baru, bukan lagi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, pasti PAS yang bertanding berpeluang kali ini kerana lazimnya orang baru sebagai calon BN akan menghadapi masalah perebutan.

"Saya yakin bila PAS bertanding kelak pada pilihanraya umum ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan menang kerana dulu ia hanya bergantung pada nama Tun Abdullah yang terkenal dengan cucu tok guru," jelasnya.

Persidangan Dewan Rakyat Dilanjut Sehingga 22 April

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-12 yang sepatutnya berakhir pada 15 April ini dilanjutkan sehingga 22 April kerana masih ada urusan yang belum diselesaikan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee berkata tambahan hari bersidang itu perlu bagi membolehkan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain diselesaikan selaras dengan peruntukan mesyuarat 11(2) peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat.

Kiandee memaklumkan perkara itu sebelum sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Mengikut takwim persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, mesyuarat pertama penggal ketiga itu dijadual berlangsung mulai 15 Mac hingga 15 April.

-- BERNAMA

Wednesday 17 March 2010

Dr Asri kolumnis terbaru Malaysiakini

Selepas menamatkan kolumnya di Mingguan Malaysia, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang berazam menyertai media yang lebih bebas, akan memulakan kolum barunya di Malaysiakini hujung bulan ini.

Beliau akan menulis dalam kolum bertajuk 'Tinta Hujah' di laman bahasa Malaysia Malaysiakini mulai 28 Mac ini.

“Kepada Allah kembalinya segala kurniaan dan kebaikan. Insya-Allah, saya akan memulakannya (kolum itu) apabila saya pulang daripada umrah nanti,” kata Dr Asri yang kini berada di Mekah.

Setelah empat tahun menulis setiap hari Ahad dalam Mingguan Malaysia terbitan kumpulan Utusan, kolum Dr Mohd Asri berakhir pada 28 Februari lalu.

Kekosongan tersebut diisi dengan tulisan mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang sering dilaporkan tidak sependapat dengan dengan Dr Mohd Asri dalam pebagai isu agama.

Difahamkan Dr Asri menamatkan kolumnya di Utusaan selepas akhbar milik Umno itu menolak tulisannya untuk kolumnya pada 21 Februari lalu yang berjudul “Ulama: dimuliakan atau disucikan" yang mengupas kaedah menangani pandangan ulama “yang bukan suci”.

Tindakan akhbar tersebut dikritik beberapa pihak yang rapat dengan Dr Asri, termasuk bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa Utusan menolaknya kerana takut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Shahidan juga mempersoalkan tindakan Jakim yang didakwanya mahu 'gam' tulisan Dr Mohd Asri - yang terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya menyuarakan pendapat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Mohd Asri berkata, beliau berharap pembaca setia dan “penyokong pembaharuan” agama, akan terus menjadikan kolum barunya sebagai medan perbincangan isu-isu agama secara lebih bebas.

Malaysiakini, sesuai dengan pendekatannya, sudah pasti akan menjadi ruang (perkongsian) pendapat yang lebih merdeka dan terbuka daripada segala kongkongan (sikap) fanatik dan kejumudan pemikiran.

“Saya yakin, di sini pena saya tidak akan dihalang oleh sebarang kepentingan sempit, sebaliknya akan membuka ufuk baru pemikiran dan perbincangan,” katanya.

Dr Mohd Asri adalah lulusan sarjana mudanya di di Universiti Jordan dalam bidang bahasa Arab dan syariah, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengajian Islam.

Beliau seterusnya mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan tesisnya berhubung sebab wurud (terbitnya) hadis.

Dr Mohd Asri sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi ekoran banyak pandangannya dilihat terlalu ke depan dan tidak selari dengan pandangan tradisional agama di Malaysia sehingga dituduh berfahaman Wahabi.

Tindakan tersebut, antaranya, mengkritik tindakan penguatkuasa agama mengintip pasangan yang disyaki berkhalwat serta mengkritik penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara terbuka yang didakwanya tidak selari dengan pandangan Islam.

Penahanan Dr Mohd Asri oleh penguatkuasa agama Selangor ketika menyampaikan kuliah di sebuah rumah di Hulu Klang atas alasan mengajar tanpa tauliah baru-baru ini dilihat sebagai kemuncak kontroversi yang membelenggunya.malaysiakini

Anwar sindir Najib puji diri sendiri

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Datuk Seri Najib Razak kerana memuatkan pujian kepada diri sendiri dalam teks titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong sewaktu merasmikan sidang parlimen dua hari lalu.

“Jarang berlaku dalam ucapan titah Yang Di Pertuan Agong, perdana menteri secara peribadi memuji dirinya sendiri,” sindir Anwar tengah hari tadi sambil disambut gelak ketawa oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di dewan Rakyat.

Dalam nada yang jenaka, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menasihatkan Najib supaya memuatkan ucapan penghargaan kepada Umno BN kerana berjaya mengekalkan kuasa dalam kerajaan.

“Tanpa rasa malu Perdana Menteri memuji dirinya sendiri, selalunya diletakkan tahniah kepada kerajaan kerana menang pilihan raya, itu kebiasaannya,”

Disebabkan Speaker Dewan Datuk Donald Kiandee tidak menghalang seloroh itu, Anwar terus membaca teks titah ucapan yang dimaksudkan beliau.

“Para pemimpin hendaklah mencontohi Memanda Perdana Menteri (Najib),” kata Anwar.

Tambah Anwar lagi, sidang kali ini turut mencipta sejarah apabila Datin Seri Rosmah Mansur, iaitu isteri kepada Perdana Menteri turut dipuji secara peribadi dalam titah ucapan tersebut.

“Bukan setakat itu tuan speaker, inilah kali yang pertama dalam sejarah di mana dalam Titah Diraja, suatu pujian khusus pada insiatif yang dibuat oleh isteri perdana menteri,” sindir Anwar lagi.

“Berikutan kejayaan program Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan Permata Remaja, Ini Permata yang memang menjadi projek istimewa si isteri jelita,” kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, teguruan khusus kepada perdana menteri itu bukanlah bermakna memperkecil titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, konsep raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia bermakna kerajaan yang memerintah menyediakan titah ucapan yang kemudiannya disemak dan diperkenan oleh seorang Yang Dipertuan Agong.

Maka, kata Anwar, Najib selaku ketua kerajaan bertanggungjawab menyediakan draf ucapan titah ucapan tersebut.

Tindakan Najib itu tegasnya sekaligus boleh merosakkan imej dan tradisi raja berpelembagaan yang selama ini dilaksanakan di Parlimen.

Beliau juga menasihatkan kerajaan supaya tidak mengulangi perbuatan serupa di Dewan Rakyat yang mulia itu.

“Ini yang nak saya perbetulkan supaya pujian-pujian pada diri sendiri seperti ini tidak lagi berulang,” tegas Anwar. sumber harakahdaily.net

Saturday 13 March 2010

1Malaysia: Ada pelajar kelaparan, ikat perut

Setelah dilantik menjadi Perdana Menteri kalau tak silap saya , Dato Seri Najib telah melakukan kunjungan ke beberapa IPTA. Antaranya UM, UIA dan terkini semalam di UKM.
Setiap pertemuan itu digambarkan berlangsung dengan penuh kemesraan untuk mengetahui sendiri kehidupan dan masalah pelajar di kampus. Media menggambarkan Najib duduk semeja beramah mesra dengan pelajar dalam suasana santai dengan mengenepikan protokol.

Dalam tujuan lain untuk menggambarkan idea 1Malaysia itu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan benar-benar dizahirkan.Sepanjang pertemuan itu adakah Najib benar-benar cuba menyelami kehidupan pelajar atau sekadar untuk propaganda media dan mengaburi masyarakat di luar sana?

Adakah Najib tidak dimaklumkan bahawa terdapat pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana kos hidup di IPT yang tidak tertanggung?
Ini sebagaimana didedahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Adakah pimpinan pelajar yang pro aspirasi (pro Umno-BN) yang bersama Najib itu hanya pandai membodek dan mengampu Perdana Menteri tentang masalah sebenar yang berlaku di kampus?

Sebenarnya isu pelajar terpaksa mengikat perut bukan isu baru. Bukan sesuatu yang luar biasa apabila ramai pelajar terpaksa buat kerja sambilan di sebelah malam atau ketika tidak
ada kuliah untuk meneruskan survival kehidupan di kampus. Keadaan diburukkan dengan pembayaran pinjaman PTPN atau agensi tertentu yang tak tentu masa dan sering sangkut-
sangkut.

Apabila membuat kerja sambila sudah pasti tumpuan kepada pelajaran terjejas. Tetapi mereka tidak punya pilihan lebih-lebih lagi dalam suasana kos kehidupan dalam negara yang serba serbinya mahal.

Saya mempunyai maklumat dan bukti bahawa ada pelajar IPT yang hanya makan dua kali sehari. Namun siapa yang peduli itu semua. Apa yang lebih dirisaukan oleh kerajaan 1Malaysia ialah apabila pelajar IPT menyokong pembangkang atau menyertai program Pakatan Rakyat.

Maka semua usaha dilakukan untuk memastikan pelajar IPT kembali menyokong kerajaan 1Malaysia. Justeru itu pelbagai cara dilakukan sama ada campur tangan pilihanraya kampus
sehinggalah mengatur pelbagai program dan peraturan dengan berlindung di sebalik AUKU untuk mengikat dan menjerut pelajar.sumber harakahdaily.net

Tangguh bacaan kedua GST adalah kemenangan rakyat

PETALING JAYA, 13 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan kerajaan menangguhkan serta-merta bacaan rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk kali yang kedua di Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini adalah suatu kejayaan bersama rakyat, PAS dan Pakatan Rakyat.

“Ini suatu kejayaan bersama PAS serta Pakatan Rakyat kerana berpadu menjelaskan kepada rakyat tentang akibat perlaksanaan GST ini kepada rakyat,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika menghubungi Harakahdaily petang tadi.

Bagi beliau, perhargaan perlu dirakamkan juga kepada Lajnah Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat kerana lajnah tersebut menganjurkan suatu sidang bulat di peringkat dalaman parti sehingga PAS membuat ketetapan yang begitu jelas berhubung sistem cukai tersebut.

“Disebabkan suatu sidang meja bulat (oleh) Lajnah Pengguna di peringkat parti inilah, kita berpendirian GST ini perlu ditolak kerana urus tadbir kewangan oleh Umno/BN pincang, bukan disebabkan sistem GST itu sendiri,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah itu, membuktikan bahawa usaha-usaha bersama PAS dan Pakatan Rakyat banyak memberi impak kesedarangan dalam kalangan rakyat.

Disebabkan itu, beliau berkata, Ahmad Husni tidak perlu mencipta alasan kononnya kerajaan menangguhkan niat bacaan rang undang-undang GST untuk kali yang kedua itu demi mendapatkan lebih banyak pandangan awam daripada rakyat kebanyakan.

“Kalau nak dapat pandangan awam, tidak perlu menunggu sekarang, sepatutnya sebelum GST dibawa (ke Dewan Rakyat) untuk bacaan pertama lagi, kerajaan khususnya Husni sendiri perlu benar-benar mendapat pandangan awam yang tepat.

“Saya kira, Husni dan kerajaan mencipta alasan ini mungkin untuk menutup kelemahan dalam perancangan GST ini sendiri atau tidak pernah serius berkerja sebagai sebuah Kerajaan atau mungkin tak sanggup berdepan dengan demontrasi anti GST pada Isnin depan,” katanya.

Pun begitu, beliau berkata, penangguhan seperti yang diumumkan oleh Husni itu adalah bersifat sementara demi meredakan kebangkitan rakyat.

Sedangkan, beliau berkata, kerajaan sepatutnya membatalkan terus hasrat melaksanakan GST di Malaysia kerana sistem cukai itu ternyata membebankan rakyat.

Ekoran itu, beliau meminta seluruh kepemimpinan Pakatan Rakyat serta PAS sendiri terus memperkasakan aktiviti penerangan kepada rakyat tentang impak GST tersebut.

Ini kerana, menurut Mahfuz, kerajaan mungkin tidak melaksanakan GST dalam masa terdekat, tetapi kerajaan dijangka tetap akan melaksanakannya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

“Mungkin GST tidak dilaksanakan sekarang kerana kedudukan Umno/BN di parlimen dan negeri agak tidak kukuh, tetapi selepas PRU13 pada 2011 atau 2012 kelak, Umno/BN tetap akan melaksanakannya jika mereka kembali kuat di Parlimen dengan menipu rakyat bermula hari ini,” beliau menambah.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mohd Hatta Ramli (gambar kanan) selaku jurucakap bagi Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak dan Barangan (Protes) yang dihubungi kemudian berkata, jawatankuasanya akan membuat ketetapan malam ini sama ada untuk meneruskan atau tidak demontrasi bantah GST pada Isnin jam 9 pagi di perkarangan Parlimen.

Bagaimana pun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai secara peribadi berkata, pendirian Protes bukannya menuntut kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST, sebaliknya membatalkan serta-merta hasrat untuk melaksanakan GST kerana ternyata membebankan rakyat itu.sumber harakahdaily.net

Tuesday 9 March 2010

Mansuh bayaran PIN MTesT- Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu Kementerian Pelajaran Malaysia (MOE) memansuhkan bayaran bagi permohonan untuk menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test – MTeST).

Menurut iklan yang dikeluarkan oleh Kementerian berkenaan sebelum ini, para pemohon dikehendaki membuat bayaran RM 6 di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mendapatkan Nombor Pengenalan Individu (PIN) sebelum dibenarkan mengisi borang permohonan secara on-line.

"DPPWP difahamkan bahawa lebih 70 ribu pemohon telah membuat permohonan secara online, namun hanya 50 ribu sahaja yang dipanggil bagi mengikuti ujian MTesT diseluruh negara pada 28 Mac nanti.

"Ini bermakna 20 ribu lagi ditolak, walaupun telah membuat bayaran dan mengisi borang permohonan online.

"Dengan itu, Kementerian berkenaan telah mengaut untung atas angin sebanyak RM 120 ribu hanya dengan menjual nombor pin sahaja," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan.

Jelasnya, bahagian pengambilan di kementerian itu ketika dihubungi memberitahu bahawa pemilihan dibuat secara rawak berdasarkan merit yang dikira secara berkomputer.

"Maknanya pemilihan calon dibuat oleh komputer bukan pegawai penilai. Walaupun hanya memohon untuk ikuti peperiksaan tetapi mereka sudah dikenakan bayaran, sedangkan tidak semua pemohon akan dipanggil bagi mengikut MTesT," tegasnya lagi.

Menurutnya lagi, keadaan tersebut berbeza dengan apa yang diamalkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di mana calon-calon kakitangan awam boleh mengisi borang online secara percuma.

Manakala SPA akan membuat pemilihan sama seperti yang dibuat oleh MOE dan hanya calon yang layak sahaja yang akan dipanggil.

Sehubungan itu beliau mahu bayaran bagi mendapatkan nombor PIN untuk membuat permohonan secara online ini dimansuhkan kerana ianya tidak releven dan mencuri wang rakyat yang begitu memerlukan pekerjaan.

"DPPWP tidak melihat keperluan untuk MOE mengenakan bayaran pada peringkat permohonan, dan perkara ini tidak sewajarnya menjadi amalan kerana jelas menindas pemohon yang belum tentu dipanggil untuk mengikuti peperiksaan tersebut", katanya.

Monday 8 March 2010

Tiga tokoh Pakatan Rakyat terima penghormatan


SHAH ALAM - Tiga tokoh diberi penghormatan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Selangor semalam iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Ketiga-tiga tokoh itu diberi penghormatan pada majlis Amanat tokoh PR dan ketiga mereka berucap menyeru supaya kesemua ahli bersatu padu walaupun berada di waktu yang sukar.

Bagaimanapun, Ni Aziz tidak dapat menghadirkan diri kerana masalah kesihatan dan beliau diwakili Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Dr Chen berkata, situasi keluar parti yang berlaku dalam PKR kini pernah berlaku dalam DAP pada tahun 1969 ketika DAP berjaya memperoleh 15 kerusi Ahli Parlimen namun empat dari Ahli Parlimen mereka telah melompat parti.

Menurutnya, DAP pada ketika itu mengalami detik hitam dan hampir-hampir sukar melawan kekuatan kerajaan yang berkuasa.

“Dulu DAP hanya bersendiri memperjuangkan hak sebagai seorang rakyat Malaysia, namun kini kita ada PR yang terdiri dari tiga parti yang kuat.

“Kita seharusnya tidak perlu goyah dengan situasi sekarang kerana PR sememangnya kuat dan bersatu padu,” katanya.

Mahfuz berkata, kesemua pemimpin PR perlu mempunyai niat yang baik dan bersikap jujur serta amanah dalam memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen.

Menurutnya, PR perlu bergerak ke hadapan dengan niat yang betul iaitu untuk memperjuangkan hak rakyat yang mahukan perubahan.

“Saya menyeru kepada sahabat PR sekalian supaya mengingati perjuangan ahli di peringkat bawah yang tidak mempunyai jawatan langsung tetapi sanggup berkorban demi parti.

“Ada yang sanggup menoreh getah untuk membina Markaz Pas walaupun rata-rata mereka hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang,” katanya.

Perisian Anti-virus Tidak Selamat Sepenuhnya


KUALA LUMPUR, 8 Mac -- Jika anda rasa komputer anda dan datanya benar-benar selamat dengan sentiasa mengemaskini perisian anti virus, anda sebenarnya salah, kata seorang pakar virus komputer.

Ini, kata naib presiden Symantec Hosted Services Group (Asia-Pacific and Japan) Bjorn Engelhardt ialah kerana terdapat berjuta-juta virus dan spam yang dikeluar dan dimasukkan dalam internet dan adalah mustahil untuk mana-mana program anti virus mengesan dan mengawal malware yang menyebabkan gangguan kepada komputer anda dan datanya.

"Inilah sebabnya kenapa anda perlu mengawasi aliran dalam internet. Dengan menggunakan kaedah ini anda boleh mengesan sebarang kemasukan data yang tidak biasa dan mengambil tindakan segera jika anda dapati sesuatu yang luar biasa.

"Perisian anti-virus bertindak balas untuk virus dan spam yang dikenal. Apa yang kita bimbang ialah mengenai malware iaitu sesuatu yang baru...mereka dicipta dalam jumlah berjuta setiap hari. Sebagai contoh seseorang menghantar anda e-mel dengan alamat laman web dan anda klik ke atasnya.

"Walaupun komputer anda tidak rosak pada masa anda membuka laman web itu, malware akan masuk sendiri ke dalam komputer anda, mengambil semua data dan menghantar semula kepada orang yang memasukkan malware itu," katanya dalam temubual baru-baru ini.

Beliau berkata komputer yang rosak akibat virus dilihat seperti "ketinggalan zaman" dan trend sekarang ialah memasukkan malware oleh spam melalui e-mel dan "mencuri" maklumat peribadi pengguna untuk tujuan yang salah. Pasaran Asean dan China kini merupakan sasaran utama aktiviti seumpama itu.

Beliau berkata laporan analisa Symantec menjukkan pertambahan tahap spam pada Februari tahun ini sehingga 89.4 peratus, iaitu meningkat sebanyak 5.5 peratus sejak Januari.

Ketika jumlah spam meningkat pada Februari, saiz mesej spam menurun serentak dengan jumlah e-mel spam yang mengandungi lampiran.

Sepanjang tahun lepas, jumlah lampiran turun dari 10 peratus pada April 2009 kepada kurang daripada satu peratus pada Februari 2010, manakala purata saiz fail e-mel spam turun daripada 5Kb pada Oktober 2009 kepada 3.3 Kb pada Februari 2010.

Daripada melampirkan imej secara terus kepada e-mel, penghantar spam kini memilih untuk menganjurkan imej secara talian dengan menawarkan perkhidmatan percuma dan mengurangkan purata saiz fail e-mel spam, katanya.

Pada Februari tahun ini, Engelhardt berkata nisbah global spam dalam trafik e-mel daripada sumber baru dan sumber tidak baik yang tidak diketahui ialah 89.4 peratus, iaitu satu dalam 1.12 e-mel, menunjukkan kenaikan sebanyak 5.5 peratus berbanding Januari.

Nisbah global virus dari e-mel dalam aliran e-mel daripada sumber baru dan sumber jahat yang tidak diketahui sebelum ini ialah satu dalam 302.8 e-mel atau 0.33 peratus pada Februari 2010, meningkat 0.02 peratus sejak Januari.

Pada Februari, 30.5 peratus dari e-mel yang mengandungi malware mempunyai kaitan dengan laman web yang tidak baik, meningkat sebanyak 17.3 peratus sejak Januari 2010.

Beliau berkata satu kajian mengenai aktiviti keselamatan web juga menunjukkan 41.6 peratus daripada semua malware berasaskan web masih baru pada Februari, menurun sebanyak 0.1 peratus sejak Januari. Purata 4,998 laman web dikenalpasti menyembunyikan malware setiap hari dan program lain yang tidak diingini seperti spyware.

Beliau berkata Symantec meletakkan Itali sebagai negara yang paling banyak mempunyai spam dengan 93.4 peratus, diikuti Jerman (91.3 peratus), Belanda (91.2 peratus) dan Australia (89.5 peratus).

China merupakan negara yang paling banyak mencatat aktiviti virus komputer dengan satu dalam 62.4 e-mel mengandungi virus.

-- BERNAMA

Wednesday 3 March 2010

Tunjukkan Bukti Anak Orang Besar Juga Ke luar bandar-


KUALA LUMPUR - Berkhidmat antara tiga hingga lima tahun di kawasan luar bandar bukanlah satu masalah bagi 160,000 guru yang merupakan anggota Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

“Anggota kami bersedia untuk berkhidmat di mana-mana saja pada bila-bila masa,” kata Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng di sini, semalam..

Katanya, pendirian NUTP adalah guru-guru sepatutnya memberikan tumpuan kepada pelajar dan bersedia mengorbankan kepentingan peribadi demi menjayakan matlamat itu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, bahawa kerajaan merancang mewajibkan guru-guru berkhidmat antara tiga hingga lima tahun dalam kerjaya perguruan mereka selama 30 tahun di kawasan luar bandar.

"Kerajaan sudah pun menyediakan elaun kesukaran antara RM500 hingga RM1,500 untuk guru-guru di kawasan pedalaman.

"Saya berharap lebih banyak insentif disediakan untuk menjadikannya menarik supaya guru-guru memilih ditempatkan di luar bandar," kata Yim Pheng.

Satu perkara yang memerlukan perhatian segera adalah menyediakan kuarters yang lebih selamat bagi guru-guru terutama wanita bujang.

Yim Pheng berkata, NUTP menerima beberapa aduan bahawa ada kuarters guru tidak berpagar dan masalah lampu, yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Ketika ini, guru pelatih dimestikan menandatangani perjanjian bersetuju dipindahkan ke kawasan luar bandar ketika diperlukan.

Bagaimanapun, ini sukar dikuatkuasakan kerana banyak rayuan oleh guru-guru.

Yim Pheng menasihatkan mereka yang mahu menyertai kerjaya perguruan berfikir dua kali sebelum memohon jawatan itu jika mereka merasakan tidak dapat berkhidmat di kawasan luar bandar.

“Kami mengharapkan semua guru bersedia berkhidmat di luar bandar bertepatan dengan polisi antarabangsa bagi menyediakan pendidikan untuk semua,” katanya. - Bernama

Tuesday 2 March 2010

Guru Di Malaysia Belum Sedia Ajar Pendidikan Seks

KUALA LUMPUR: Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Katanya, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa guru-guru takut mereka mungkin di saman oleh ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

Malaysia adalah sebuah negara dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang menjadikan pengajarannya lebih mencabar, katanya.

NUTP merupakan kesatuan guru yang terbesar di negara ini mewakili 160,000 guru, iaitu kira-kira separuh kerjaya perguruan. Lok berkata, kesatuan itu berharap Kementerian Pelajaran berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai baik buruk usaha itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ketika ini, subjek itu diajar secara sambil lalu dari sekolah rendah hingga sekolah menengah tanpa kursus yang dirangka dengan sempurna.

Pendidikan seks menjadi satu isu yang sangat penting sejak kebelakangan ini di Malaysia berikutan peningkatan kes ibu-ibu muda yang tidak berkahwin, kebanyakannya pelajar.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru menunjukkan kumpulan itu menyokong usaha itu tetapi tidak pasti bentuk dan kandungan kursus itu.

Seorang pelajar, Jayaraman, 17, berkata: " Saya menyokong penuh tetapi saya tidak pasti apa dan bagaimana guru-guru akan mengajar kerana kita ada lebih ramai pelajar perempuan daripada lelaki dalam kelas dan kebanyakan guru adalah wanita".

Abdul Raof Bidin, 38, yang mempunyai dua anak yang bersekolah, merasakan adalah perlu untuk mengajar subjek itu, tetapi ia perlu ditangani secara berhati-hati kerana ia mudah disalahtafsirkan dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak disampaikan dengan betul.

Sementara itu, M. Arumugam, 44, berkata, adalah lebih baik jika profesional dalam bidang perubatan seperti jururawat dan doktor menyampaikan subjek itu kepada pelajar.

"Mungkin Kementerian Pelajaran boleh berunding dengan Kementerian Kesihatan dan mendapatkan beberapa kerjasama di mana anggotanya dapat memberikan guru-guru latihan ketika waktu kerja," katanya.

Betty Lee, 50, seorang guru dengan 24 tahun pengalaman, merasakan subjek itu lebih baik dilaksanakan oleh guru-guru yang merupakan ibu dan tahu mengendalikan subjek yang kompleks itu.

"Bukan semua guru boleh mengajar subjek itu, dan kementerian perlu teliti dalam memilih calon yang sesuai untuk kerja itu," katanya. - BERNAMA