Monday 30 August 2010

Merdekakan Diri Kita:Tandatangan online sokong hapus saman ekor

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap anak-anak muda seluruh negara dapat bersama menurunkan tandatangan secara online sebagai tanda sokongan menghapuskan saman ekor yang dilihat tidak mendidik pemandu sebaliknya memeras wang rakyat dengan cara halus.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini lanjutan daripada pelancaran Kempen Sejuta Tandatangan Bantah Saman Ekor yang dilancarkan pada 23 Ogos lepas di Bazaar Ramadhan Pasar Keramat.

Tambahnya, tandatangan bolehlah diturunkan di alamat http://www.petitiononline.com/saman/petition.html mulai sekarang dan akan berakhir pada 31 Oktober nanti.

Katanya, walaupun kempen itu sedang rancak gerak kerjanya di peringkat parlimen yang diuruskan oleh setiausaha DPP kawasan-kawasan, namun DPPP merasakan perlunya satu alternatif yang lain iaitu dengan melalui dunia siber yang semakin popular terutamanya di kalangan masyarakat bandar dan ibu kota.

“Kempen begini dirasakan perlu oleh DPPP dalam usaha untuk menarik masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda untuk menyatakan sokongan supaya dapat bersama-sama DPPP bagi menyatakan sikap terhadap kerajaan Malaysia agar memansuhkan terus saman ekor, bukannya menangguhkannya,” ujarnya.

DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena melalui Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang begitu komited dalam menentang saman ekor.

Katanya, kempen itu dijalankan ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan ekoran mempunyai saman ekor.

Tambahan pula, ujarnya dengan rintihan rakyat tentang saman ekor yang jelas membebankan, maka DPPP mengambil ketetapan untuk mengumpul tandatangan membantah saman ekor dan sedang digerakkan ke seluruh negara yang mana kemudiannya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tanda bantahan.

sumber harakahdaily.net

Friday 27 August 2010

Umno tentang Majlis Fatwa-YB Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

"Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka," kata Mahfuz.

Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam.

Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya.

"Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno," jelasnya.

Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk.

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu," jelasnya.

Bangkit Isu Kaum Untuk Tutup Hilang Ekuiti Melayu

GEORGETOWN, 27 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu perkauman dan agama adalah cubaan menutup skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, kata Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian sebagai mengulas isu perkauman yang cuba dihangatkan Umno pada pada waktu ini.

"Mereka mengapi-apikan pelbagai isu perkauman supaya menutup skandal RM52 bilion.

"Dari RM54 bilion yang diberikan kepada Bumiputera sekarang hanya tinggal RM2 bilion sahaja," ujarnya semalam selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Itulah sebabnya mereka mainkan isu-isu berkaitan agama dan perkauman ini, supaya isu sebenar boleh ditutup."

Sambil mendakwa Umno mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera, Setiausaha Agong DAP itu turut mempersoal keengganan Umno BN untuk menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat punca ekuiti Bumiputera tinggal RM2 bilion sahaja.

"Siapa yang kebas RM52 bilion saham Bumiputera ini, tentulah Umno BN.

"Adakah disebabkan itu, mereka tidak mahu menubuhkan suatu siasatan suruhanjaya di raja," soal beliau di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, Petaling Jaya.

Sehubungan itu, beliau menganggap DAP, PAS dan PKR atas muafakat Pakatan Rakyat wajar bersatu untuk menentang permainan politik Barisan Nasional itu.

"Kita boleh bersatu melawan kemungkaran yang dicerminkan oleh Barisan Nasional, baik Umno, MCA atau MIC," katanya lagi.

Sidang media tersebut turut disertai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sebelum pada itu, beliau turut mengaku bahawa beberapa pemimpin DAP memang mempunyai perbezaan pendirian berhubung cadangan PAS melaksanakan hudud.

Namun, katanya itu hanya perkara kecil dan Pakatan lebih mengutamakan agenda menentang kemungkaran yang dilakukan dalam Umno BN dari mempopularkan idealogi kepartian masing-masing.

29 Mac lalu, Guan Eng di Dewan Rakyat mempersoal integriti Umno BN ekoran kehilangan RM52 bilion itu.

Persoalan itu lanjutan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mendedahkan bahawa ekuiti Bumiputera hanya tinggal RM2 bilion sahaja.

Menurut Guan Eng juga, ekuiti Bumiputera mampu meningkat sebanyak 45 peratus melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekiranya Umno tidak mengkhianati amanah rakyat, khususnya orang-orang Melayu.

Wednesday 25 August 2010

Orang politik kena bijak- elakkan ucapan syok sendiri.

Penceramah kita mesti bijak.Elakkan pihak musuh menggunakan ucapan kita untuk memecahbelah perpaduan Pakatan Rakyat.

Sebagai ahli parti kita kena tahu tanggungjawab.Bukannya seronok sendiri,kemudian orang lain yang menyelesaikan masalah kita.

Kita kena pandai politik.Kita kena pandai berpolitik .Cuba elakkan fitnah kemudian hari.UMNO suka kalau kita yang memberi mereka peluru.

Sebagai ahli kita mesti bertanya kepada pimpinan betul atau tidak tindakan kita.Kadang-kadang tindakan politik tidak ada dalam kitab kuning.Justeru itu kita mesti mengikuti program parti untuk kita tahu perkembangan semasa.

Jangan biarkan diri kita dalam kelompok yang melambatkan kita untuk ke Putra Jaya dalam PRU 13.

Monday 23 August 2010

Khatib Tidak Keseorangan - Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, khatib yang dikaitkan dengan doa supaya Lim Guan Eng diberikan hidayah tidak keseorangan dalam menghadapi siasatan apa yang disifatkan sebagai ‘undang-undang baru Umno’.

Sehubungan itu, beliau meminta polis menyiasat sama majlis solat hajat dan bacaan Surah Yaasin di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Bharu bagi kemenangan P Kamalanathan dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mahu polis dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang membuat siasatan sepenuhnya berhubung dakwaan penggunaan nama (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah Jumaat.

"Oleh kerana Umno histeria sangat apabila doa untuk Guan Eng dibacakan dalam khutbah, polis dengan pantasnya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat pembacaan doa itu.

"Kalau baca doa untuk Guan Eng dalam masjid menjadi satu kesalahan di sisi Najib sehingga polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat, sepatutnya polis menyiasat sama majlis solat hajat dan bacaan Surah Yaasin di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Bharu bagi kemenangan Kamalanathan," kata beliau yang menyifatkan histeria Umno itu semata-mata berpunca dari ketandusan modal politik dan tidak ada kena mengena dengan Islam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan, sejak bilakah Najib dan Umno membuat undang-undang yang meletakkan usaha mendoakan mana-mana orang bukan Islam diberikan hidayah memeluk agama Islam sebagai satu kesalahan?

"Apa yang dilakukan hanyalah memohon doa agar Guan Eng diberikan hidayah dan tidak ada kena mengena dengan fitnah dan pembohongan Umno kononnya nama Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Mizan Zainal Abidin).

"Adakah Umno sudah mengada-adakan undang-undang baru menggantikan undang-undang Allah sehingga usaha mendoakan mana-mana orang bukan Islam diberikan hidayah memeluk agama Islam menjadi satu kesalahan di dalam undang-undang baru Umno itu?" Mahfuz mempersoalkan.

Bagi beliau, adalah sesuatu yang natural bagi mana-mana orang Islam untuk mengharapkan orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.

"Mengharap dan berdoa sepatutnya tidak menjadi satu kesalahan kerana ia bukan paksaan. Soal sama ada orang yang didoakan hendak memeluk Islam atau tidak, itu hak dia.

"Tetapi nampaknya Umno meletakkan usaha itu sebagai satu kesalahan. Nampaknya yang dihalalkan oleh Allah sudah menjadi haram di sisi Umno," kata Mahfuz.

Khatib yang menjadi mangsa ‘undang-undang baru Umno’ itu, Ustaz Zakaria Ahmad dilaporkan mengakui ada melafazkan doa untuk Guan Eng tetapi menegaskan tidak pernah mendoakan keselamatannya sebaliknya memohon supaya Guan Eng diberikan hidayah memeluk agama Islam.

Beliau memberitahu, pihak polis telah menghubunginya dan memintanya hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Zakaria berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama memberi keterangan kepada polis kerana percaya tidak ada apa yang perlu disembunyikan.sumber harakahdaily.net

Friday 20 August 2010

Tenang dengan api perkauman UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua lapisan rakyat dalam negara ini agar dapat bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.

“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, lewat hari ini.

Justeru, menurutnya, permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini adalah merupakan satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara kini.

Beliau berkata, keadaan itu tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan.

Kegagalan itulah juga, ujarnya yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC.

Menurutnya, orang Melayu dalam negara ini juga tidak boleh lagi terus percaya bahawa Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara ini ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra.

Katanya, ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara ini, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN.

“Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN di kala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Thursday 19 August 2010

Zahid Hamidi Kemukakan Bukti Lim Guan Eng Nama Disebut Dalam Khutbah Jumaat.

PETALING JAYA, 19 Ogos: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengaku bahawa beliau sendiri tidak mengetahui yang namanya disebut dalam doa dan khutbah Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Saya tidak sedar dan tidak mengetahui wujudnya penggunaan nama saya dalam khutbah kedua (sebelum) solat Jumaat sebagaimana didakwa, maka sudah tentu nama saya tidak harus (atau) tidak boleh digunakan," ujarnya petang tadi pada majlis berbuka puasa bersama wartawan media-media alternatif di sebuah restoran di sini, malam ini.

Baginya, dakwaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang bermotif politik provokasi.

"Saya pun hairan bagaimana hanya masjid tertentu di Kepala Batas dan Tasek Gelugur saja yang berlaku demikian," soalnya sambil tidak menolak kemungkinan isu tersebut sebagai provokasi pihak tertentu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan Abdul Malik Kassim, Exco kerajaan negeri untuk menyiasat isu yang ditiupkan oleh Ahmad Zahid dan Umno itu.

"Saya pun baru tahu, saya sudah menghubungi YB Abdul Malik dan saya diberitahu bahawa memang tidak tahu perkara seperti yang didakwa Datuk Zahid Hamidi," ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sehubungan itu, beliau mencabar Ahmad Zahid mengemukakan bukti ekoran dakwaan berunsur provokasi itu.

Beliau turut menasihatkan Ahmad Zahid kembali bertaubat sempena kemuliaan bulan Ramadhan ini sekiranya dakwaannya itu adalah tidak benar.

Terdahulu, Bernama melaporkan Umno negeri memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang pada bacaan doa dan khutbah Jumaat bagi menggantikan penggunaan nama Tuanku Mizan.

Ahmad Zahid sendiri menuduh, penggunaan nama Guan Eng itu dikesan di beberapa masjid tertentu sejak beberapa minggu lepas.

Dijangkakan Guan Eng bakal menghadapi pelbagai cabaran lagi ekoran komitmennya mahu melihat rakyat tanpa berbilang kaum menikmati hidup yang lebih baik berbanding era Umno BN memerintah Pulau Pinang. sumber harakahdaily.net

Saman ekor untuk kutip 'duit raya'- Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Kedegilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu meneruskan saman ekor sempena perayaan tahun ini biarpun mendapat bantahan rakyat dilihat cubaan memungut 'duit raya' dari rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan berkata, alasan Ketua Polis Negara bahawa saman ekor untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah bukan satu alasan yang tepat.

Ini kerana menurutnya, sejak saman ekor diperkenalkan, kadar kemalangan jalan raya terutama di musim perayaan sentiasa meningkat dan jikapun menurun hanya pada skala kecil.

"Saman ekor tidak banyak kesan positif pun. Secara logiknya, pemandu tidak akan slow (perlahan) pun sebab tak tahu dia akan disaman ke tidak.

"Lain lah kalau pemandu itu tengok ada sekatan polis di hadapan, baru la mereka perlahankan kenderaan, bila perlahan baru lah boleh elak kemalangan," katanya kepada Harakahdaily.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam mengumumkan PDRM akan tetap meneruskan saman ekor dalam Ops Sikap 22 sepena Aidil Fitri bermula 1 September ini.

Beliau memberi alasan, perlaksanaan itu adalah bagi mendidik pengguna dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sempena musim perayaan ini.

Pemuda PAS membantah tindakan saman ekor kerana mendakwa ianya tidak menepati prinsip keadilan dan ketelusan.

Ini kerana mangsa yang disaman tidak dibuktikan bersalah di mahkamah namun mereka dipaksa membayar sejumlah wang kepada PDRM.

"Sebab itu saya kata saman ekor ini hanya mahu kutip duit raya dari rakyat," katanya lagi.

Selain menempatkan sekatan jalan raya di kawasan beresiko kemalangan, Nasruddin juga turut mencadangkan agar kaedah lain yang lebih berkesan selain saman ekor difikirkan.

"Sudah sampai masanya kita bawa penyelidik, pakar dan aktivis masyarakat duduk semeja, beri pandangan untuk selesaikan masalah kadar kemalangan ini," katanya.

Dewan Pemuda PAS juga semalam mengumumkan akan melancarkan kempen sejuta tandatangan bagi membantah saman ekor.

Ianya akan dibuat di Bazar Ramadhan Keramat pada 23 Ogos ini bermula jam 5.00 petang.

Kempen itu akan digerakkan ke seluruh negara dan akan diserahkan kepada kerajaan khususnya PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ianya juga bersifat membantu Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan mensasarkan golongan muda.

Tuesday 17 August 2010

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Gara-gara bertindak ganas mencederakan orang awam, polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) disaman RM2 juta oleh seorang r

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Gara-gara bertindak ganas mencederakan orang awam, polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) disaman RM2 juta oleh seorang rakyat Malaysia.

Bercakap di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Aleyasak Hamid @ Hassan, 34 tahun mengaku bahawa tempurung lututnya musnah ekoran dipijak oleh anggota polis pada perhimpunan sempena Kempen Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 10 November tiga tahun lalu.

"Apabila saya jatuh, dalam lima hingga enam orang polis datang menyerang saya dan memijak lutut saya sehingga pecah.

"Saya buat semua ini sebab nak tuntut keadilan atas kezaliman ini kerana selama ini saya ingat polis jaga keamanan rakyat biasa seperti saya," ujarnya sambil menyuarakan rasa tidak selamat berada di tanah air.

Katanya, polis terbabit langsung tidak bersimpati atas kecederaan yang dialaminya pada ketika itu walaupun beliau berkali-kali meminta perikemanusiaan mereka yang terbabit.

"Bila saya minta tolong polis untuk angkat saya, polis cakap: mengapa kamu bodoh dan datang ke sini? Kamu babi yang banyak menyusahkan orang," jelasnya lagi dalam nada yang kecewa.

Tidak cukup dengan itu, pihak polis menurut dakwaannya turut menyepak bahagian tempurung lutut yang telahpun cedera apabila beliau berkali-kali meminta bantu polis.

Disebabkan kecederaan itu, beliau mengaku hilang upaya hampir tiga tahun di samping kehilangan kerjaya sebagai ahli perniagaan kecil-kecilan pada ketika itu.

Tambahnya lagi, kecederaan tersebut turut memaksanya untuk menghabiskan sejumlah wang tertentu setiap minggu untuk perubatan klinikal serta terapi kaki kirinya itu.

Ditanya tentang sumber pendapatannya sekarang, beliau berkata, beliau membantu isterinya mengadakan kelas tambahan kecil-kecilan demi menyara hidup tiga anaknya yang masih kecil.

Peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri dan Siti Murnie Anuar pada kenyataan yang sama berkata, polis dan FRU sepatutnya tidak bertindak kasar pada perhimpunan rakyat.

Partisipasi tidak langsung rakyat pada perhimpunan tersebut, menurut beliau, sepatutnya tidak boleh mendorong polis untuk mencederakan tempurung lutut anak guamannya itu.

Disebabkan itu, beliau berkata, jumlah tuntutan saman RM2 juta itu adalah munasabah bagi menampung kos perubatan, kos teladan, kos kecederaan dan sebagainya yang dialami oleh anak guamannya.

Demi mendapatkan keadilan bagi anak guamannya, beliau yang juga anggota Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur (PBGKL) mengumumkan bahawa ACP Kamal Pasha Jamal (Ketua Polis Daerah Dang Wangi), Datuk Sabtu Osman (Ketua Polis Kuala Lumpur), Tan Sri Musa Hassan (Ketua Polis Negara) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Thursday 12 August 2010

Tanah: Zambry utama kroni, hak rakyat dinafi

IPOH, 12 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang sekali lagi membuat laporan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pemimpin Umno peringkat bahagian.

Lih Kang mendedahkan bahawa sebidang tanah yang sedang diusahakan oleh para penternak ikan hiasan dan petani telah diluluskan kepada sebuah syarikat milik seorang pemimpin Umno berkenaan.

Menurut beliau, jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri telah mengatakan bahawa sebidang tanah seluas 50 ekar yang terletak di Kampung Sungai Itek, Gopeng, telah diberikan kepada sebuah syarikat yang bernama Safura House of Diamond Sdn Bhd.

Tujuan kelulusan tanah tersebut adalah untuk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).

(Gambar: Lih Kang menunjukkan laporan kepada SPRM.)

“Setelah meneliti laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kami dapati satu fakta yang amat mengejutkan, iaitu salah seorang pemegang saham merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Gopeng,” ujarnya.

Katanya, pengusaha-pengusaha di tanah tersebut telah membuat banyak kali cubaan untuk memohon tanah, namun semua permohonan mereka ditolak tanpa diberi sebab.

Kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Zambry Abd Kadir, ujarnya tidak memberikan tanah kepada para petani tetapi memberi kepada pemaju adalah suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Apatah lagi, kerajaan negeri memberikan tanah tersebut kepada kroninya. Ini adalah satu kes rasuah (salahguna kuasa) yang jelas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Pengerusi Majlis Pimpanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri mengecam sekeras-kerasnya kerakusan kerajaan itu.

Beliau berkata, sekiranya perbuatan itu tidak dihentikan, ramai lagi rakyat akan menderita kerana mereka akan diusir keluar dari tanah yang sedang mereka usahakan sekarang.

Lih Kang juga menyeru SPRM agar mengambil tindakan yang tegas terhadap orang yang bertanggungjawab atas kes itu.

“Ini adalah kes salah kuasa yang kedua selepas berlakunya skandal penyelewengan tanah di Kampung Sungai Itek juga, di mana Ketua Umno Bahagian Umno Gopeng telah diberikan kuota 10 lot tanah kampung tersusun,” katanya lagi.

Ini, ujarnya menunjukkan bahawa Umno Barisan Nasional telah mereput hingga ke terasnya, sehingga pimpinan-pimpinan peringkat bahagian pun sudah rakus dan rasuah.

Untuk mencegah kejadian itu daripada berlaku lagi, beliau menggesa agar Zambry dibekukan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Tanah sepanjang siasatan kes itu dijalankan di samping membatalkan kelulusan Safura House dan memberikan tanah kepada para petani.

Di samping itu, katanya wakil rakyat Pakatan Rakyat dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa tanah supaya satu sistem check and balance akan wujud.

Selain itu, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang merupakan satu-satunya Exco bukan Umno perlu menjelaskan kenapa beliau tidak menghalang kes itu daripada berlaku.harakahdaily.net

Sunday 8 August 2010

Mahfuz:Rakyat perlu bangkit murnikan demokrasi

SHAH ALAM, 8 Ogos: Rakyat diseru bangkit menjana keazaman tinggi dalam usaha menjayakan impian pemerkasaan dan memurnikan sistem demokrasi di Malaysia.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, usaha keras perlu dipergiatkan bagi menggabung impian lantas menterjemahkannya menjadi nyata setelah berbuat demikian bermula 1990 di Kelantan.

Menurutnya, dengan keyakinan tinggi itu rakyat negara ini dapat menyaksikan kejayaan besar bakal berlaku dalam pilihan raya ke-13 nanti dengan perubahan dari BN ke PR.

Mahfuz berucap demikian dalam Majlis Pelancaran Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram) yang didakan malam tadi di Stadium Melawati, dekat sini.

Lebih 70 pemimpin dan wakil rakyat dari semua parti dalam PR berhimpun dalam satu majlis makan malam dalam usaha mengumpul RM20 juta sebagai proses ke Putrajaya.

Turut berucap adalah Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali, AJK Kebangsaan DAP, Datuk Ngeh Khoo Ham, Penasihat Tiram, Datuk Paduka Husam Musa dan Pengarah program, Ir Haji Izham Hashim.

Mahfuz menambah, keazaman yang disusuli dengan tindakan pelbagai usaha termasuk menyuntik pendidikan bangkitkan kesedaran rakyat merupakan senjata paling kuat.

"Rakyat negara ini yang cintakan demokrasi tidak selamanya hanya mampu berimpi, berangan dan bermimpi sahaja sebaliknya mereka berazam kukuh untuk sama-sama merubah keadaan bobrok pemerintahan BN.

"Tahniah kepada penubuhan Tiram kerana berusaha membebaskan rakyat dari terus berada dalam bahaya kemalangan politik berlaku dalam negara ini,” tegasnya.

Dr Syed Husin pula berkata, penubuhan Tiram ini menghantar isyarat yang sangat digeruni oleh BN kerana jelas usaha jahat mereka selama ini gagal.

Menurutnya, BN menggunakan berbagai media untuk menggambarkan PR berada di dalam keadaan bergaduh, berpecah dan tidak boleh memerintah.

"BN dan Perdana Menteri Najib sangat bimbang dengan isyarat terbaru ini yang menunjukkan PR kekal kuat, kukuh dan berupaya menjatuhkan mereka di dalam pilihan raya depan.

"Memang di sana ada perbezaan khususnya antara PAS dan DAP namun terdapat persamaan yang lebih banyak khususnya di dalam memperjuangkan keadilan dan kebenaran dalam berbagai isu,” tegasnya.

Datuk Ngeh pula memperjelaskan implikasi buruk bila BN menyekat dan menghalang proses demokrasi berjalan licin dalam negara menyebabkan kurangnya pelaburan luar negara dan dalam negeri.

Paling nyata, jelasnya, jumlah pelaburan menjunam pada tahun ini dari RM23 bilion ke angka hanya RM4 bilion sahaja.

Sementara itu, objektif Tiram ditubuhkan untuk mengumpul dana bagi tujuan membiayai usaha-usaha membentuk kesedaran dan mendidik anggota masyarakat tentang semua tanggungjawab mereka.

Antaranya, rakyat dalam sebuah negara demokratik wajar mengetahui aspek perlembagaan, sistem pilihan raya dan pemerintahan negara.

Selain itu, Tiram juga melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dan mempromosikan sistem demokrasi sihat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Lembaga Pemegang Amanah Tiram terdiri dari pada Husam, Datuk Kamarudin Jaffar sebagai Pengerusi, Ir Izham, Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek, Alex Ong Kian Yen dan Asmawi Mohamad sebagai ahli.

Dalam majlis malam tadi, Tiram telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa demokrasi hitam BN, antaranya, mangsa Memali, keluarga Kugan dan Siva.

Selain itu, lelongan tiga potret Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat termasuk kartun Zunar menyaksikan saingan hebat daripada pembida.harakahdaily.net

Thursday 5 August 2010

Negeri Tak Beraja Timbul Isu Kahwin Muda dan Sekolah Hamil!

Negeri tak beraja timbul isu kahwin awal dan sekolah untuk budak hamil.Yang timbul pula Ketua Menteri yang tidak boleh bertanding jadi Timbalan Presiden UMNO.

Susah jika kita berketua menteri orang yang terlibat rasuah politik ini?Fikir dia macam budak sekolah darjah satu.Budak-budak dulu main pondok-pondok dan kahwin olok-olok.Tak timbul pula hamil luar nikah dan kahwin awal.

Sepatutnya Ketua Menteri tak beraja itu fikir panjang-panjang.Rakyat mengikut agama pemerintah.Lihatlah Raja Melaka yang menganut agama Islam,habis seluruh rakyat baginda ikut agama Raja mereka.

Lihat UMNO yang memerintah negeri dan negara .Apa yang mereka buat dengan anak-anak muda ini.Semuanya program bercampur-gaul.Tanpa batas aurat dan jantina.Pesta-pesta menjadi satu budaya.

Tok Ketua Menteri itu perlu lihat Sejarah Melaka,paling kurang Hukum Kanun Melaka.Tak pula kita jumpa kena buat Sekolah Menengah Budak Hamil Ali Rostam.

Wednesday 4 August 2010

Siapa yang kejam dan zalim,mereka atau UMNO?

Siapa punya kerja ini? Mereka yang kejam atau UMNO yang kejam?

Sepanduk yang dipasang diperkarangan Bangunan SUK.

Sejarah akan membuktikan bahawa UMNO yang zalim,merampas kerajaan rakyat melalui pintu belakang.

Nanti jika anak cucu kencing di kubur pemimpin mereka,mereka tidak perlu marah.?

Tuesday 3 August 2010

Adun BN Perak bacul, tak berani berbahas-Speaker Sivakumar

Apa yang telah berlaku dalam Dewan Negeri Perak hari ini, 3 Ogos amat mengecewakan. Ahli-ahli Dewan Negeri Perak BN sanggup membunuh demokrasi semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik mereka. Kemuliaan Dewan Negeri Perak telah dicompang-camping sekali lagi dalam persidangan Dewan Negeri hari ini. Mereka ini merupakan golongan yang paling tidak bertamadun. Tindakan mereka harus dikecam untuk menghidupkan kembali demokrasi di Negeri Perak.

Persidangan Dewan Negeri Perak lebih sesuai dipanggil Persidangan Polis Diraja Malaysia. Lebih ramai polis berkerumun di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan dibandingkan dengan wakil-wakil rakyat. Nampak jelas bahawa pihak kerajaan cuba menggunakan polis yang begitu ramai untuk menggertak pihak pembangkang secara tidak langsung. Tidak ada sebab kenapa beratus-ratus anggota polis ditugaskan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada hari ini. Kenapa masa dan tenaga polis dikerah untuk tujuan politik BN? Kehadiran polis yang begitu ramai sendiri telah mengancam amalan demokrasi yang sihat di Negeri Perak. Tambahan pula, orang awam tidak dibenarkan hadir sebagai pemerhati persidangan Dewan Negeri.


Pihak media tidak diberi ruang di dalam dewan untuk membuat liputan. Mereka ditempatkan di sebuah bilik ‘akuarium’ yang kalis bunyi. Kebebasan akhbar telah dinodai oleh kerajaan BN yang zalim. Pihak media tidak diberi penghormatan yang sewajarnya. Mereka dilayan dengan buruk dan tidak dibenarkan membuat laporan yang sebenar. Dalam kata lain, kerajaan BN mempunyai niat buruk menyekat atau mengambus berita sebenar supaya tidak sampai kepada rakyat jelata. Tindakan ini membuktikan bahawa kerajaan BN takut kepada kuasa rakyat yang bakal menjatuhkan kerajaan itu di Negeri Perak dalam PRU ke 13.


Terbukti Datuk R.Ganesan adalah kuda tunggangan BN yang sanggup menggadai maruah legislatif kerana akur seratus peratus arahan pihak eksekutif. Beliau bertindak secara kelam kabut dan membuat kenyataan-kenyataan yang tidak rasional apabila menerima arahan komplot daripada ketua eksekutif. Terbukti Datuk R.Ganesan tunduk kepada kemahuan dan manupulasi politik kerajaan BN. Jari telunjuk ketua eksekutif dianggap sebagai cokmar oleh Datuk R.Ganesan yang terang-terang jahil dalam Perintah-perintah Tetap dan Konvensyen Dewan Negeri.


Satu Rang Undang-undang yang bertajuk Enakmen Perbekalan Tambahan 2010 telah dibentangkan di Dewan Negeri hari ini. Peruntukan tambahan yang dipohon oleh kerajaan ialah sebanyak RM80 juta. Jumlah ini adalah terlalu besar dan memerlukan pertimbangan yang sewajarnya. Tetapi, Datuk R.Ganesan telah mengumumkan bahawa persidangan hanya selama satu hari sahaja. Perkara ini amat ganjil sekali dan menimbulkan rasa kesangsian dan kecurigaan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri PR. Kenapakah rang undang-undang itu perlu diluluskan secara ekspres? Kenapakah persidangan Dewan Negeri tidak dilanjutkan selama 4 atau 5 hari mengikut konvensyen.



Ketua pembangkang hanya diberi 15 minit untuk membahaskan rang undang-undang tersebut. Semua Ahli-ahli Dewan yang lain hanya dibenarkan untuk berucap selama 10 minit sahaja. Ini merupakan satu penghinaan kepada Dewan Negeri Perak yang mulia. Ahli-ahli Dewan Negeri BN di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terbukti bacul kerana tidak berani berbahas dengan Ahli-ahli Dewan Negeri PR di bawah pimpinan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin.


Kerajaan BN menggunakan Datuk R. Ganesan, seorang boneka eksekutif untuk mencari jalan pintas meluluskan wang RM80 juta tanpa perbahasan dan prosiding yang sebenar. Walaupun Datuk Seri Zambry dan konco-konconya dicabar berulangkali untuk mengadakan perdebatan selama sekurang-kurangnya 4 hari, tetapi mereka tidak berani menyahut cabaran itu. “Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah” dalam keadaan dewan yang kalut, Ahli-ahli Dewan Negeri PR terpaksa meninggalkan dewan kerana penyalahgunaan kuasa oleh Datuk R.Ganesan yang menghalau keluar Datuk Seri Nizar dari Dewan.

Umno bertahan dengan tentera upahan-Tok Guru Hj Hadi

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana 'tentera upahan' yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa.

Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.

36 telah ditangkap polis di majlis memperingati ISA di seluruh negara termasuk di Kota Bharu manakala 16 di perhimpunan Felcra di Pasir Salak.

"Umno sekarang hidup dengan tentera upahan. Mungkin kenyataan saya ini kasar sedikit tetapi itulah realitinya. Bukan aqidah atau ideologinya yang memenangkan Umno tetapi jentera kerajaan," kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun, beliau yakin, masyarakat tidak akan boleh ditipu Umno untuk selama-lamanya.

"Apa yang perlu adalah kita sabar dalam perjuangan disertakan dengan kerja kuat. Sejarah pilihan raya khasnya pilihan raya kecil di negara ini membuktikan PAS akan menang di kawasan yang kita kuat dan banyak cawangan," katanya lagi.

Beliau memberikan contoh kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kerana kerja kuat dan cawangan PAS yang banyak di situ.

"Oleh itu, sebagai persiapan saya menyeru supaya PAS memperbanyakkan cawangan di seluruh negara. Kenapa Kelantan dan Kedah kita menang? Kerana di sana banyak cawangan PAS," kata beliau dalam pertemuan itu.

Abdul Hadi menolak teori yang mengatakan pencapaian PAS akan merosot dalam pilihanraya umum ke 13 selepas berjaya besar dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

"Saya tidak percaya kepada teori sebegini termasuk ramalan sotong. Saya yakin kalau kita kerja keras dan betul strateginya kita akan menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengikut sejarahnya, kejayaan PAS akan turun naik dalam pilihanraya umum di mana pencapaian PAS akan jatuh dalam pilihan raya yang melibatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana BN sentiasa menggunakannya untuk kepentingan parti yang memerintah itu.

Dalam pertemuan itu juga Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini memberikan peluang kepada PAS pula untuk mentadbir negara bagi menggantikan Umno yang sudah diberi peluang lebih 50 tahun.

"Melayu dan Islam tetap menjadi teras politik di negara ini. Sudah lebih 50 tahun Umno diberi peluang untuk mentadbir dengan konsep ketuanan Melayu berlandaskan sekularisme barat dan Islam hanya hadir tanpa kuasa.

"Saya rasa sudah tiba masanya Melayu kembali kepada Islam dan memilih PAS untuk menggantikan Umno bagi mentadbir negara ini," kata Abdul Hadi.

Beliau juga berkata, kerajaan BN sekarang sengaja memberikan subsidi kepada rakyat dalam keadaan yang sangat sedikit.

"Subsidi ini sekadar untuk membolehkan rakyat hidup tetapi rakyat tidak boleh berlari. Ia sengaja dibuat untuk mengawal rakyat," kata beliau dalam pertemuan itu.

Demokrasi dibunuh UMNO-Nizar

IPOH, 3 Ogos: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyifatkan kerajaan negeri yang diterajui Umno BN telah membunuh demokrasi apabila pelbagai tindakan bertentangan dengan peraturan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) dilakukan mereka.

Ianya termasuklah tempoh persidangan yang hanya sehari bagi meluluskan Enakmen Perbekalan Tambahan RM80 juta dengan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat membahaskannya selama 15 minit.

Menurut Nizar yang juga Adun Pasir Panjang, keadaan itu sangat berbeza dengan amalan Pakatan Pakyat sewaktu memerintah negeri, malah juga turut berbeza sewaktu zaman Tan Sri Tajol Rosli menjadi Menteri Besar.

"Semasa Datuk Ngeh (Adun Sitiawan) menjadi ketua pembangkang, dia diberikan waktu tiga jam tanpa diganggu oleh menteri besar masa itu, Tajol Rosli," katanya seperti dilapor Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

Nizar berkata demikian pada sidang media Pakatan Rakyat selepas beliau dihalau keluar dan digantung dari menghadiri persidangan hari ini.

Selain itu katanya, tindakan Speaker BN, Datuk Ganesan menggantungnya tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan juga adalah bertentangan dengan amalan biasa.

"Kami mengambil keputusan hari ini untuk bersidang, tetapi bila melihat tindakan Ganesan menyalahgunakan kuasanya untuk gantung seorang Adun tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, itu sudah salah guna kuasa.

"Ganesan cuma boleh arah saya keluar dewan, dan ini kuasa dia, tetapi bukan gantung saya," Nizar dipetik sebagai berkata.

Selain tidak diberi peluang dan masa yang cukup untuk berbahas, Pakatan Rakyat juga hari ini dihilangkan suara oleh BN apabila mikrofon mereka ditutup apabila mahu mengemukakan peraturan mesyuarat.

Beberapa Adun Pakatan Rakyat bangun bagi membantah beberapa tindakan Ganesan, namun bantahan mereka tidak didengar kerana ada pihak menutup mikrofon mereka.

"Kami hilang suara hari ini kerana pembesar suara ditutup. Tindakan kami adalah untuk menyelamatkandemokrasi di Perak.

"Kita mengatakanoleh kerana mereka buat kerja haram, maka dewan tidak berfungsi lagi," katanya.

Terdahulu persidangan Dun Perak hari ini sekali lagi kecoh apabila Nizar yang juga Menteri Besar Pakatan Rakyat, dihalau keluar oleh Ganesan dan digantung satu hari.

Tindakan itu, ekoran Nizar enggan duduk dari memberi ucapan mewakili Pakatan Rakyat setelah diarah oleh Ganesan.