Saturday 19 June 2010

Dasar 50 % pemilikan demi keadilan - Exco Kedah

ALOR SETAR, 18 Jun: Langkah kerajaan negeri Kedah menetapkan 50 peratus pemilikan bumiputra untuk tanah rezab Melayu yang ditukar syarat kepada pegangan bebas adalah demi keadilan kerana ia sememangnya tanah orang Melayu.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, kerajaan negeri perlu memperbetulkan dasar kerajaan negeri Kedah di bawah BN sebelum ini yang hanya memperuntukkan 30 peratus pemilikan kepada Bumiputra kerana ia tidak adil kepada pemilik asal tanah itu.

Phalrolrazi menjelaskan isu yang sedang dimainkan oleh Gerakan dan MCA di Kedah berdasarkan rasa tidak puashati segolongan pemaju hartanah di Kedah sekarang.

Pemaju ini tidak berpuashati dengan dasar kerajaan negeri yang menetapkan 50 peratus pemilikan tanah rezab Melayu yang ditukar syarat kepada pegangan bebas untuk bumiputra.

Mereka berpendapat, tindakan ini tidak memberikan keadilan kepada bukan bumiputra yang mahu membeli rumah dan menyukarkan mereka untuk menjual rumah yang mereka buat.

Untuk menukar syarat tanah dari rezab Melayu kepada pegangan bebas, pihak pemaju perlu mendapatkan kelulusan exco kerajaan negeri. Melalui mekanisma inilah peraturan ini dikuatkuasakan.

"Apa yang berlaku dahulu tidak begitu dan perlu diperbetulkan. Inilah gunanya kerajaan yang adil," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, ketika masa BN, walaupun ditetapkan 30 peratus pemilikan untuk orang Melayu, jumlah itu tidak dicapai kerana sikap sesetengah pemaju yang tamak.

Mereka hanya membina rumah yang bernilai tinggi dan tidak mampu dibeli oleh orang Melayu di negeri itu.

"Apabila tidak boleh dijual, mereka datang lagi kepada kerajaan negeri dan minta di'lepas'kan dari memenuhi syarat itu. Ia di'lepas'kan kerajaan negeri melalui bayaran tertentu.

"Akibatnya, banyak kawasan perumahan di Alor Setar menjadi kawasan elit sesuatu kaum sahaja apabila kaum lain tidak mampu membelinya. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita tidak boleh biarkan perkara ini. Dasar perlu dibuat dan dikuatkuasakan," kata beliau.

Ekoran itu, dasar dibuat, untuk tanah rezab Melayu, ia mestilah dijual kepada bumiputra sekurang-kurangnya 50 peratus selepas ditukar syarat kepada pegangan bebas.

"Dasar ini untuk tanah rezab Melayu sahaja. Ia bukan untuk semua jenis tanah,"kata beliau.

Harakahdaily difahamkan, hanya 12 peratus sahaja tanah di Kedah berstatus rezab Melayu.

Melalui dasar ini, pemaju yang ingin menukarkan tanah rezab Melayu kepada pegangan bebas perlu mematuhi dasar ini.

Untuk membolehkan rumah dibeli oleh orang Melayu pula, pemaju perlu membuat pelbagai jenis rumah dalam kawasan yang dimajukan bukannya jenis berharga mahal sahaja.

"Dengan cara ini kita berharap tidak akan ada lagi kawasan perumahan di Kedah hanya untuk kaum tertentu sahaja. Ia akan menjadi gabungan antara kaum dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sesetengah kawasan perumahan akan menjadi kawasan elit kerana biasanya tanah asal kawasan itu bukannya tanah rezab Melayu tetapi tanah pegangan bebas.

Kerajaan negeri tidak pernah mensyaratkan tanah pegangan bebas untuk memenuhi apa-apa kouta.

Walaupun dasar ini sudah lama ditetapkan, namun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan lagi kerana ramai yang tidak faham dasar ini di samping ada pihak yang cuba mengelirukan orang ramai.

Antaranya kempen yang dibuat oleh sesetengah pemaju perumahan dan disokong oleh parti politik tertentu yang menentang dasar ini kononnya kerajaan negeri bersifat perkauman.

"Apa yang kita buat bukan perkauman, kita memberikan keadilan kepada pemilik asal tanah ini," kata Phahrolrazi.sumber harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment