Thursday 19 August 2010

Saman ekor untuk kutip 'duit raya'- Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Kedegilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu meneruskan saman ekor sempena perayaan tahun ini biarpun mendapat bantahan rakyat dilihat cubaan memungut 'duit raya' dari rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan berkata, alasan Ketua Polis Negara bahawa saman ekor untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah bukan satu alasan yang tepat.

Ini kerana menurutnya, sejak saman ekor diperkenalkan, kadar kemalangan jalan raya terutama di musim perayaan sentiasa meningkat dan jikapun menurun hanya pada skala kecil.

"Saman ekor tidak banyak kesan positif pun. Secara logiknya, pemandu tidak akan slow (perlahan) pun sebab tak tahu dia akan disaman ke tidak.

"Lain lah kalau pemandu itu tengok ada sekatan polis di hadapan, baru la mereka perlahankan kenderaan, bila perlahan baru lah boleh elak kemalangan," katanya kepada Harakahdaily.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam mengumumkan PDRM akan tetap meneruskan saman ekor dalam Ops Sikap 22 sepena Aidil Fitri bermula 1 September ini.

Beliau memberi alasan, perlaksanaan itu adalah bagi mendidik pengguna dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sempena musim perayaan ini.

Pemuda PAS membantah tindakan saman ekor kerana mendakwa ianya tidak menepati prinsip keadilan dan ketelusan.

Ini kerana mangsa yang disaman tidak dibuktikan bersalah di mahkamah namun mereka dipaksa membayar sejumlah wang kepada PDRM.

"Sebab itu saya kata saman ekor ini hanya mahu kutip duit raya dari rakyat," katanya lagi.

Selain menempatkan sekatan jalan raya di kawasan beresiko kemalangan, Nasruddin juga turut mencadangkan agar kaedah lain yang lebih berkesan selain saman ekor difikirkan.

"Sudah sampai masanya kita bawa penyelidik, pakar dan aktivis masyarakat duduk semeja, beri pandangan untuk selesaikan masalah kadar kemalangan ini," katanya.

Dewan Pemuda PAS juga semalam mengumumkan akan melancarkan kempen sejuta tandatangan bagi membantah saman ekor.

Ianya akan dibuat di Bazar Ramadhan Keramat pada 23 Ogos ini bermula jam 5.00 petang.

Kempen itu akan digerakkan ke seluruh negara dan akan diserahkan kepada kerajaan khususnya PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ianya juga bersifat membantu Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan mensasarkan golongan muda.

No comments:

Post a Comment