Kecoh

TAIPING – Mahkamah Sesyen di sini kecoh apabila seorang lelaki berusia 40an menjerit dan melakukan provokasi ke arah wartawan dan jurukamera yang membuat liputan ketika tertuduh, RC Muniandy, 47, diiring masuk ke mahkamah, semalam.

Lelaki berkenaan dipercayai berbuat demikian bagi mengelak petugas media merakam gambar tertuduh.

Dia kemudiannya dibawa polis keluar dari kawasan mahkamah bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini.

Hakim Azuar Che Yusof menetapkan 30 April depan untuk perbicaraan kes tertuduh, seorang peniaga alat ganti kenderaan atas 45 tuduhan menerima barang curi melibatkan enjin atau casis kenderaan atau sengaja menyembunyikan harta.

Tertuduh kelihatan tenang di kandang ketika pertuduhan dibaca oleh penterjemah dalam Bahasa Tamil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah yang mencadangkan kepada mahkamah, wang jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan meminta tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya.

Menurutnya, bagi pertuduhan pertama, tertuduh boleh dikenakan maksimum 20 tahun penjara dan didenda di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang dilakukan dalam satu siri transaksi.

Sebelum ini, kes ini telah mendapat liputan luas media kerana melibatkan kepentingan awam.

Kesalahan yang dilakukan harus memberi impak kepada tertuduh supaya tidak melarikan diri dan memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Jika dilihat dari pertuduhan, ketika serbuan sehingga selesai serbuan dilakukan di pelbagai tarikh, tertuduh tidak pernah menyerah diri.

Tertuduh hanya menyerah diri pada 13 Mac lalu dan tertuduh berpotensi untuk melakukan perbuatan sedemikian.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam S Singaravadivel memohon mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan kerana tertuduh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan dengan pilihan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang juga bapa kepada tiga orang anak yang masih belajar juga mempunyai 40 pekerja, selain aset dibekukan termasuk wang dalam bank tidak mampu untuk membayar wang jaminan seperti yang dicadangkan.

Singaravadivel memohon mahkamah berbuat demikian kerana tertuduh telah memberikan kerjasama kepada polis dengan menyerah diri di Balai Polis Brickfields secara sukarela.

Azuar telah menetapkan denda dengan penjamin sebanyak RM200,000.

Untuk rekod, sebanyak 45 barang kes daripada 44 kenderaan yang dilaporkan hilang sejak 1996 dan yang terkini pada 2012.