Monday, 4 January 2010

Satu Contoh Diskriminasi-Murid SK Petaling Jaya Belajar Dalam Kabin Buruk, Panas


Petaling Jaya terpaksa belajar dalam kabin.

PETALING JAYA: Malang nasib murid-murid kelas peralihan dan pemulihan Sekolah Kebangsaan (SK) Petaling Jaya di sini yang terpaksa belajar dalam kabin panas serta uzur sebaik memulakan sesi persekolahan hari ini.

Lebih menyedihkan keadaan itu seolah-olah menggambarkan bahawa mereka sememangnya kelompok yang tidak dipedulikan apabila kabin-kabin yang disediakan bagi menggantikan bilangan kelas yang tidak mencukupi sangat daif dan tidak layak dijadikan tempat belajar.

Kira-kira 12 murid terpaksa berpanas, berhimpit-himpit dalam `kotak besar' yang tidak kondusif sedangkan mereka adalah golongan yang perlu diberi perhatian lebih dalam pembelajaran. Menurut seorang guru sekolah tersebut yang enggan dikenali, keadaan dalam kabin itu sememangnya tidak sesuai untuk sesi pembelajaran tetapi mereka tiada pilihan lain.

"Kami terpaksa meletakkan murid-murid di situ kerana bilangan mereka tidak ramai, tetapi bukanlah sepanjang sesi mereka belajar dalam kabin itu.

"Sebagai contoh pelajar yang lemah dalam Matematik akan dikumpulkan dan ditempatkan di situ, selebihnya mereka akan berada dalam kelas biasa," katanya.

Sementara itu, Zuraini Samsuddin, 33, yang menghantar anak ke sekolah tersebut ketika ditemui mStar Online memberitahu, dia sedih dengan keadaan kabin dan sekolah itu yang tidak teratur sehinggakan menyebabkan warganya tidak selesa.

"Ada rakan saya yang anaknya pernah ditempatkan di kelas itu dan mengadu tidak selesa kerana panas dan membantutkan minat mereka untuk terus belajar," katanya.

Seorang bapa, Tarmizi Ahmad, 37, pula memberitahu, dia tidak bersetuju dengan cara pihak sekolah meletakkan murid di dalam kabin itu dan berharap mereka mencari alternatif lain untuk menempatkan murid terbabit.

"Kami memahami keadaan sekolah yang sedang dinaik taraf dan akan memakan masa, tetapi lakukan sesuatu supaya mereka semua berasa selesa," katanya.

Sementara itu, guru besar sekolah tersebut, Norhayati Bakri berkata, mereka menyedari keadaan yang tidak teratur dalam sekolah dan sedang berusaha memperbaiki keadaannya.

"Seperti yang dapat anda lihat, kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan. Memang kita akui keadaan tidak selesa untuk para murid, saya berharap kerja-kerja pengubahsuaian ini akan selesai dengan cepat," katanya.

Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Tumi Julianto, 45, pihaknya sendiri tidak berpuas hati dengan keadaan itu dan berjanji akan berbincang lanjut dengan guru besar bagi menyelesaikan masalah itu.

"Pihak kontraktor sebelum ini berjanji untuk memberikan kabin yang lebih besar sementara bangunan baru siap, tetapi mereka tidak menepati janji," katanya ketika dihubungi.

Tumi berkata, pihak sekolah dan PIBG telah berbincang dengan kontraktor untuk menukar kabin tersebut namun usaha itu gagal.

"Saya sedar kabin itu memang tidak selesa, kami berjanji akan mencari jalan keluar untuk menggantikan kabin itu sementara bangunan baru siap," katanya.

Beliau memberitahu, blok baru sekolah itu dijangka siap pada awal 2011.mStar.online-4.jan

Lebihan guru- mana peranan Menteri Pelajaran!



SHAH ALAM – Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi menyifatkan kenyataan Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Aminah Ayob mengenai isu lebihan guru mengelirukan.

Katanya, kekeliruan itu timbul apabila Dr Aminah menggunakan data pengambilan pelajar baru UPSI semester satu Julai 2009 sebagai pengambilan pelajar mengikut unjuran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

“Sebenarnya isu yang saya bangkitkan ialah masalah mereka yang telah tamat pengajian tetapi belum mendapat tempat mengajar di mana-mana sekolah.

“Ini kerana berlaku lebihan pengambilan pelajar oleh IPTA (institusi pengajian tinggi awam) pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media menerusi blognya.

Menurutnya, kenyataan Aminah yang turut mempertikaikan jumlah yang diunjurkan oleh KPM terlalu kecil dan tidak munasabah.

“Ingin saya jelaskan bukan UPSI sahaja yang menawarkan program Sarjana Muda Pendidikan malah IPTA lain termasuk mereka mengambilnya di universiti swasta dan luar negara turut menawarkan kursus yang sama.

“Ini menyebabkan berlakunya lebihan penawaran guru apabila ianya tidak diselaraskan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, terdapat IPTA mendakwa, unjuran tersebut tidak ekonomikal sebab itu mereka menawarkan juga kepada pelajar-pelajar lain yang memohon untuk mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan.

“Alasannya supaya mereka yang tidak mendapat tempat boleh bersaing di pasaran terbuka. Kesemua faktor ini menjadi penyumbang kepada isu lebihan penawaran guru untuk sekolah menengah.

”Kabinet telah memutuskan latihan guru untuk sekolah rendah dikendalikan oleh KPM melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), manakala IPTA dan UPSI melatih bakal guru sekolah menengah.

“Pelajar tajaan KPM yang lulus temu duga melalui proses Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) mendapat penempatan untuk mengajar manakala mereka yang tidak melepasi proses ini perlu bersaing di pasaran terbuka,katanya.Beliau berkata, tidak timbul soal para graduan pendidikan IPTA di anak tirikan dan tidak bermotivasi. Mereka perlu cekal dan bersedia untuk bersaing di pasaran terbuka dan di sektor swasta.

Katanya, sebagai Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, beliau bertanggungjawab untuk menjelaskan isu dibangkitkan Aminah menerusi kiriman e-mel yang telah disiarkan oleh Buletin Utama pada 1 Januari 2010 mengenai pengambilan guru-guru lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada IPTA termasuk daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penggunaan kalimah Allah perlu dikaji agar tidak disalah erti -Tuan Ibrahim Tuan Man



BATU GAJAH - Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan, Herald-The Catholic Weekly menimbulkan pelbagai reaksi semua pihak sama ada pemimpin parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun dalam al-Quran ada menyebut penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam tetapi dalam konteks penciptaan dan bukan ketuhanan.

Menurutnya, dalam konteks penciptaan memang Allah SWT ada menyebut bahawa penganut agama lain mengakui Allah SWT jualah yang menciptakan langit dan bumi.

“Tapi isu yang berlaku sekarang ini dari sudut pemahamannya cukup berbeza sama sekali malah kita semua khuatir bagaimanakah kalimah Allah itu ditafsirkan oleh pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan ceramah umum di Kampung Seri Jaya, semalam.

Ibrahim berkata, banyak tanda tanya yang timbul malah rakyat turut mempersoalkan mengapa baru hari ini mahu dipohon menggunakan perkataan tersebut.

“Kita amat bimbang apakah terdapat tujuan lain oleh pihak berkenaan memohon untuk menggunakan kalimah Allah SWT. Kita bimbang sekiranya penggunaan itu untuk mempersendakan dan mempermainkan nama Allah SWT serta diletakkan di merata tempat yang tidak sepatutnya,” katanya.

“Kita juga tidak mahu ia mengelirukan orang Islam khususnya mereka yang baru memeluk Islam, yang tidak kuat iman dan jiwanya dengan Islam akhirnya akan menganggap bahawa di mana-mana pun sama.

“Inilah yang kita amat khuatir sedangkan konsep Allah dalam Islam adalah konsep tauhid dan bukan triniti malah berbeza sama sekali seperti yang diamalkan oleh agama lain. Alah dalam konteks Islam satu kalimah yang sangat suci,” katanya.

Katanya, Pas mendesak agar satu rayuan dibuat bagi meredakan segera permasalahan yang timbul ini.

“Kita mencadangkan agar Majlis Raja-Raja Melayu untuk campur tangan kerana ia melibatkan polemik yang akan menular.

“Saya turut menyeru agar semua ahli Pas hadapi dalam keadaan tenang dan jangan timbul polemik serta ikut arahan pimpinan malah yakin isu ini akan selesai dan tidak mahu orang lain mengambil kesempatan terhadapnya bagi menimbulkan isu lain,” katanya.
sinar