Sunday, 28 February 2010

Berpindah Ke Tempat Persemadian Baru

Di Singapura, pusara lama akan digali dan dipindahkan ke kawasan baru untuk disusun bagi memberi ruang kepada pusara baru. Ianya dilakukan beberapa tahun sekali. - Foto Bernama

DI Singapura, pusara lama akan digali dan dipindahkan ke kawasan baru untuk disusun bagi memberi ruang kepada pusara baru. Usaha mengalih tanah perkuburan, dilakukan beberapa tahun sekali.

Dari tanah perkuburan Bidadari lebih 30 tahun lalu, ia berpindah ke kawasan Pusara Aman dan kini dipindahkan pula ke Pusara Abadi di kawasan Choa Chu Kang.

Perpindahan pusara ke tapak baru, mengutamakan konsep ruang yang lebih ekonomikal, memandangkan jasad yang lebih 20 tahun dikebumikan sudah mengecil daripada keadaan asal. Oleh itu susun atur di tempat baru dibuat lebih praktikal.

Berkongsi Liang Di Pusara Abadi

Daripada satu liang lahad yang memuatkan hanya satu jasad, tapak pemindahan yang baru itu memuatkan peninggalan lapan rangka mayat di dalam satu liang, yang tidak sampai 1.5 meter dalamnya.

Tetapi lain halnya pula untuk tapak perkuburan yang tiada waris. Enam belas rangka mayat dikumpul dan disemadikan bersama di dalam satu liang lahad.

Liang lahad dibuat lebih kecil dan mempunyai benteng pembahagi di tengah-tengah lot yang berukuran lebih kurang dua meter panjang dengan 0.5 meter lebar.

Proses mengorek semula liang lama mengambil masa kurang daripada dua jam dan untuk proses pengkebumian semula, masa menanti untuk semua liang-liang yang dijadualkan dibuka pada satu-satu hari, perlu dipenuhi.

Proses pengkebumian semula hanya berlangsung pada waktu tengah hari, selepas solat Zohor.

Pihak berwajib di bawah pengurusan pejabat agama Islam di republik ini bertanggungjawab menguruskan pengkebumian semula ini, dan hampir 50 kes pemindahan diuruskan setelah diiklankan melalui akhbar utama tempatan, setiap hari.

Menggali kubur lama, mengutip tulang dan mengkapan rangka mayat ini semula perlu bersaksikan waris yang telah memberikan kebenaran pada hari yang ditetapkan.

Rangka yang dikumpulkan dibawa ke tapak persemadian baru, yang terletak hanya kira-kira 1 kilometer dari perkuburan lama, Pusara Aman, dengan berkonvoikan kenderaan waris dan para pegawai pejabat agama.

Hak Waris

Proses pengkebumian semula bagaimanapun berjalan begitu pantas dan waris yang menuntut hak arwah dipindahkan, hanya berdiri di sekeliling, menyaksikan pengkebumian itu.

Ahli keluarga yang ditemui puas hati dengan pengurusan sehari suntuk itu.

"Pengurusannya agak sistematik, tempat menunggu pun selesa. Walaupun ia sehari suntuk, ia dijalankan mengikut jadual," Dahlia Monsen memberitahu penulis, yang turut menghadiri pemindahan rangka mayat arwah neneknya yang meninggal dunia pada tahun 1980.

Hasrat kerajaan memindahkan pusara lama pada mulanya diiklankan dan keluarga waris kemudian mula menghubungi pihak berkenaan serta Jabatan Agama Islam Singapura (JAIS). JAIS yang kemudian menghantar surat pemberitahuan tentang tarikh prosedur seterusnya.

Penulis yang turut menjadi waris kepada penghuni di pusara yang perlu dipindahkan melalui prosedur yang serupa, mendapat tahu tentang tarikh pemindahan seawal bulan Mei 2009.

Ia ditunda sehingga tiga bulan selepas itu untuk mengisi kelapangan semua pihak yang terlibat.

JAIS tidak mengenakan sebarang kos untuk prosedur yang dijalankan dengan teliti ini kecuali sedekah yang ingin dipanjangkan kepada pekerja pusara yang menguruskan pemindahan itu.

"Saya amat terharu bila tulang arwah ibu saya dikeluarkan semula dari liang yang agak sukar dibuka akibat akar pokok besar di tepi jalan yang menjalar di bawah tanah hingga menolak kedudukan beberapa kuburan yang sederet dengan kubur arwah ibu saya," ujar Dayang Sofia Awang Rambli yang datang dari Brunei Darussalam untuk menjadi saksi kepada pemindahan yang dilangsungkan pada pagi yang dituruni hujan rintik-rintik itu.

"Susah juga wak yang menggali semula kubur tu, kasihan saya tengokkan.

Nasib baiklah kami sampai awal jadi penggalian semula dimulakan pagi-pagi lagi selepas kami mengambil nombor di pejabat pentadbiran di kawasan Pusara Aman," kata Dayang Sofia yang ditemani adik perempuannya, anak-anak dan cucu beliau.

Kubur Bertingkat

Di Malaysia, keadaannya berbeza.

Tanah perkuburan belum sampai ke tahap untuk dipindahkan ke tapak baru tetapi sekiranya terdapat sebarang kekurangan ruang untuk menyempurnakan persemadian jenazah di satu-satu kawasan, tanah perkuburan bertingkat menjadi alternatif.

Ini sudahpun dilakukan di Pulau Pinang.

Menurut seorang pegawai di sebuah unit yang ditempatkan di pejabat Mufti Selangor, tapak kubur lama ditambak dengan tanah setinggi 0.9 meter terlebih dahulu sebelum jenazah baru dikebumikan di bahagian atas lot yang dikongsi bersama jenazah yang dikebumikan sebelumnya.

Apabila ditanya tentang keadaan ruang untuk tanah perkuburan di negeri Selangor masih mencukupi atau tidak, jawapan yang diberi:

"Tanah masih ada. Ruang masih mencukupi setakat ini. Masih belum ada keperluan untuk sebarang kehendak pembangunan dipenuhi. Bagaimanapun, Selangor turut akan mengaplikasikan konsep tanah kubur bertingkat, apabila perlu." - BERNAMA

Saturday, 27 February 2010

1 Malaysia arak tanpa dokumen haram-Dengan dokumen Halal!

Seorang pegawai polis mengatur minuman keras yang telah dirampas ketika sidang akhbar mengenai Penyeludupan Minuman Keras Tanpa Dokumen yang Sah di Markas Operasi Gerakan Marin di Pelabuhan Klang, hari ini. Pihaknya menahan bot barter trade dari Indonesia itu semasa melakukan rondaan di perairan Pelabuhan Selatan pada pukul 5.30 petang semalam. Hasil pemeriksaan, anggota-anggotanya telah menemui 423 kotak berisi minuman keras itu yang disorokkan di bawah guni-guni berisi pakaian terpakai di dalam bot itu yang menuju ke Dumai, Indonesia. - Foto BERNAMA

Friday, 26 February 2010

GERAK Gesa Menteri UMNO Sabit Kes Rasuah Letak Jawatan

Fazallah Pit

SHAH ALAM 27 FEB: Menteri Informasi, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang mengemukakan saranan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim melepas jawatan Ketua Pembangkang, sepatutnya lebih dulu mendesak menteri yang pernah disabitkan atas kesalahan rasuah dan pecah amanah, supaya meletak jawatan.

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) yang membidas Rais kerana mencadangkan Anwar Ibrahim supaya melepas jawatan semata-mata kerana terlibat dalam perbicaraan konspirasi kedua sedangkan mahkamah belum membuat sabitan.

Menyifatkan cadangan itu berniat jahat dan bertujuan mengalihkan kebimbangan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap isu integriti institusi kehakiman, Gerak menganggap kenyataan Rais itu semata-mata bermotif politik..

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah GERAK, hari ini, mereka menyeru Rais supaya melaungkan nada sama terhadap ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya melakukan perkara sama.

"Mereka yang sabit kesalahan oleh Jawatankuasa Disiplin atas kesalahan rasuah politik dalam Perhimpunan Agung UMNO, selain terpalit dengan kontroversi melibatkan projek mega seperti isu PKFZ dan isu moral, sepatutnya turut berbuat demikian.

"GERAK berpendirian, seseorang itu tidak bersalah dan dilihat sebagai tidak bersalah selagi mahkamah tidak memutuskannya sebagai bersalah," kata kenyataan itu.

Mengikut kenyataan berkenaan, GERAK berharap semua pihak menghormati hak seseorang warganegara untuk mendapatkan pengadilan melalui proses mahkamah yang bebas dari campur tangan mana-mana pihak.

"Tindakan mengaibkan maruah dan peribadi seseorang amat bertentangan dengan nilai Integriti," kata kenyataan itu lagi.

GERAK turut mendesak kerajaan supaya menumpukan usaha memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan negara luar terhadap kebebasan dan keadilan proses perundangan negara.TVSelangor.