Tuesday, 3 August 2010

Umno bertahan dengan tentera upahan-Tok Guru Hj Hadi

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana 'tentera upahan' yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa.

Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.

36 telah ditangkap polis di majlis memperingati ISA di seluruh negara termasuk di Kota Bharu manakala 16 di perhimpunan Felcra di Pasir Salak.

"Umno sekarang hidup dengan tentera upahan. Mungkin kenyataan saya ini kasar sedikit tetapi itulah realitinya. Bukan aqidah atau ideologinya yang memenangkan Umno tetapi jentera kerajaan," kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun, beliau yakin, masyarakat tidak akan boleh ditipu Umno untuk selama-lamanya.

"Apa yang perlu adalah kita sabar dalam perjuangan disertakan dengan kerja kuat. Sejarah pilihan raya khasnya pilihan raya kecil di negara ini membuktikan PAS akan menang di kawasan yang kita kuat dan banyak cawangan," katanya lagi.

Beliau memberikan contoh kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kerana kerja kuat dan cawangan PAS yang banyak di situ.

"Oleh itu, sebagai persiapan saya menyeru supaya PAS memperbanyakkan cawangan di seluruh negara. Kenapa Kelantan dan Kedah kita menang? Kerana di sana banyak cawangan PAS," kata beliau dalam pertemuan itu.

Abdul Hadi menolak teori yang mengatakan pencapaian PAS akan merosot dalam pilihanraya umum ke 13 selepas berjaya besar dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

"Saya tidak percaya kepada teori sebegini termasuk ramalan sotong. Saya yakin kalau kita kerja keras dan betul strateginya kita akan menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengikut sejarahnya, kejayaan PAS akan turun naik dalam pilihanraya umum di mana pencapaian PAS akan jatuh dalam pilihan raya yang melibatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana BN sentiasa menggunakannya untuk kepentingan parti yang memerintah itu.

Dalam pertemuan itu juga Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini memberikan peluang kepada PAS pula untuk mentadbir negara bagi menggantikan Umno yang sudah diberi peluang lebih 50 tahun.

"Melayu dan Islam tetap menjadi teras politik di negara ini. Sudah lebih 50 tahun Umno diberi peluang untuk mentadbir dengan konsep ketuanan Melayu berlandaskan sekularisme barat dan Islam hanya hadir tanpa kuasa.

"Saya rasa sudah tiba masanya Melayu kembali kepada Islam dan memilih PAS untuk menggantikan Umno bagi mentadbir negara ini," kata Abdul Hadi.

Beliau juga berkata, kerajaan BN sekarang sengaja memberikan subsidi kepada rakyat dalam keadaan yang sangat sedikit.

"Subsidi ini sekadar untuk membolehkan rakyat hidup tetapi rakyat tidak boleh berlari. Ia sengaja dibuat untuk mengawal rakyat," kata beliau dalam pertemuan itu.

Demokrasi dibunuh UMNO-Nizar

IPOH, 3 Ogos: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyifatkan kerajaan negeri yang diterajui Umno BN telah membunuh demokrasi apabila pelbagai tindakan bertentangan dengan peraturan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) dilakukan mereka.

Ianya termasuklah tempoh persidangan yang hanya sehari bagi meluluskan Enakmen Perbekalan Tambahan RM80 juta dengan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat membahaskannya selama 15 minit.

Menurut Nizar yang juga Adun Pasir Panjang, keadaan itu sangat berbeza dengan amalan Pakatan Pakyat sewaktu memerintah negeri, malah juga turut berbeza sewaktu zaman Tan Sri Tajol Rosli menjadi Menteri Besar.

"Semasa Datuk Ngeh (Adun Sitiawan) menjadi ketua pembangkang, dia diberikan waktu tiga jam tanpa diganggu oleh menteri besar masa itu, Tajol Rosli," katanya seperti dilapor Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

Nizar berkata demikian pada sidang media Pakatan Rakyat selepas beliau dihalau keluar dan digantung dari menghadiri persidangan hari ini.

Selain itu katanya, tindakan Speaker BN, Datuk Ganesan menggantungnya tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan juga adalah bertentangan dengan amalan biasa.

"Kami mengambil keputusan hari ini untuk bersidang, tetapi bila melihat tindakan Ganesan menyalahgunakan kuasanya untuk gantung seorang Adun tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, itu sudah salah guna kuasa.

"Ganesan cuma boleh arah saya keluar dewan, dan ini kuasa dia, tetapi bukan gantung saya," Nizar dipetik sebagai berkata.

Selain tidak diberi peluang dan masa yang cukup untuk berbahas, Pakatan Rakyat juga hari ini dihilangkan suara oleh BN apabila mikrofon mereka ditutup apabila mahu mengemukakan peraturan mesyuarat.

Beberapa Adun Pakatan Rakyat bangun bagi membantah beberapa tindakan Ganesan, namun bantahan mereka tidak didengar kerana ada pihak menutup mikrofon mereka.

"Kami hilang suara hari ini kerana pembesar suara ditutup. Tindakan kami adalah untuk menyelamatkandemokrasi di Perak.

"Kita mengatakanoleh kerana mereka buat kerja haram, maka dewan tidak berfungsi lagi," katanya.

Terdahulu persidangan Dun Perak hari ini sekali lagi kecoh apabila Nizar yang juga Menteri Besar Pakatan Rakyat, dihalau keluar oleh Ganesan dan digantung satu hari.

Tindakan itu, ekoran Nizar enggan duduk dari memberi ucapan mewakili Pakatan Rakyat setelah diarah oleh Ganesan.

Saturday, 31 July 2010

Nizar lalu jalan berlumpur ke tempat ceramah

PASIR SALAK, 1 Ogos: Seperti suasana pada awal negara menyambut kemerdekaan dahulu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin terpaksa melalui jalan semak dan berlumpur untuk sampai ke pentas ceramah.

Bukannya jalan yang sedia ada tidak baik, namun setelah negara begitu aman selepas lebih 50 tahun merdeka, beliau terpaksa menghadapinya untuk berceramah di majlis Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Changkat Lada, dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, terpaksa berbuat demikian demi keselamatan dan menjayakan program malam tadi setelah polis dan anggota unit simpanan persekutuan (FRU) menyekat laluan masuk ke tempat program.

Akibat melalui jalan tersebut, kasut dan pakaian Nizar basah dan berlumuran lumpur.

"Alhamdulillah, Datuk Seri Nizar dapat bersama kita walaupun terpaksa lalu jalan berselut dan berlumpur," umum pengerusi majlis disambut laungan takbir para hadirin.

Semasa Nizar sedang berucap pula, FRU yang pada asalnya membuat sekatan di jalan masuk, mula bergerak ke pintu depan tapak program untuk masuk ke kawasan ceramah yang dibuat atas tanah persendirian.

Ekoran itu, palang untuk masuk ke tapak program ditutup dan dikunci oleh tuan tanah dan penyokong.

Anngota FRU, bagaimanapun mahu masuk ke kawasan ceramah walaupun tuan tanah meletakkan poster "Hak Milik Persendirian, Dilarang Menceroboh", namun dibenteng lebih 100 penyokong.

Mereka berada di situ sehingga ceramah Nizar selesai kira-kira sejam setengah kemudian.

Terdahulu, Nizar sewaktu memulakan ucapan turut secara sinis membidas tindakan anggota keselamatan itu.

"Malam ini 847 anggota polis, special branch (SB) dan FRU ada bersama kita.

"Selamat datang untuk dengar ceramah dan menjaga keselamatan kami," katanya disambut tepukan oleh lebih 500 hadirin yang hadir.

Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di sini akan berlangsung sehingga lewat malam ini.

Pagi ini, majlis pelancaran akan disempurnakan Nizar, kemudian beberapa kertas kerja akan dibentang sebelun majlis penutup akan disempurnakan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Kemuncak program adalah pada malam ini apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berceramah di sini.sumber harakahdaily.net