Showing posts with label tgna. Show all posts
Showing posts with label tgna. Show all posts

Friday, 17 September 2010

Biar mapus gi lah-TG Nik Aziz

KOTA BHARU, 18 Sept: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, demokrasi di Malaysia berat sebelah dan tidak sepatutnya disokong pengamal media termasuk kaum wartawan.

Bahkan, katanya demokrasi yang berlangsung di negara ini adalah ‘mengarut’ apabila teori demokrasi itu sendiri tidak sama dengan amalan.

Justeru beliau yang juga Mursyidul Am PAS menambah, kaum wartawan tidak wajar memberi sokongan kepada Umno Barisan Nasional.

“Demokrasi di Malaysia memang langsung berat sebelah.

“Perdana Menteri Malaysia tidak datang merasmikan jalan dan Jambatan Sultan Yahya Petra, mereka tidak mengundang Menteri Besar, tahu-tahu jalan dan jambatan itu sudah pun selesai dibuka.

“Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dahulu pun, dia tidak mengundang Menteri Besar pada majlis rasmi yang diadakan. Ini demokrasi apa seperti itu, demokrasi mengarut. Belajar di universiti lain, yang buat lain.

“Oleh itu tidak patut kaum wartawan menyokong Umno, tidak patut sokong barang salah. Biar mapus gi lah. Tidak patut wartawan sokong BN,” katanya pada Majlis Dialog Menteri Besar Bersama Wartawan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Beliau berkata, sepatutnya kaum wartawan menjalankan kempen terhadap Kerajaan Persekutuan supaya turut meluluskan lesen radio dan televisyen bagi memudahkan rakyat mememahami erti demokrasi.

PAS, katanya memohon supaya diberikan lesen radio dan televisyen sejak lama dahulu tetapi hingga kini masih tidak ditunaikan.

“PAS tidak ada radio dan tv, sedangkan negara dikatakan mengamal demokrasi. Demokrasi apa macam itu.

“Tetapi kalau selagi wartawan menyokong perkara salah dilakukan Pusat itu, maka sampai bila pun rakyat dan negara tidak selamat, dan tidaklah pihak berkenaan sewenang-wenangnya menggunakan ISA terhadap pembangkang,” katanya lagi.

Beliau turut mengulas layanan diberikan kepada Utusan Malaysia.

“Akhbar harian Utusan Malaysia dianak tirikan kerajaan negeri ketika bertugas, macam mana tidak diketepikan sebab Utusan berat sebelah,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat pebezaan kandungan akhbar Sinar Harian berbanding Utusan di mana dalam Sinar menyiarkan berita orang PAS dan Umno.

Ekoran itu, beliau melihat sebahagian besar orang kampung sekarang ini jarang membaca Utusan.

“Wartawan yang benar-benar ‘wartawan’ mereka tidak perlu berpihak kepada Pusat. Sepatutnya wartawan turut mengempen sama supaya Pusat memberikan lesen radio dan tetevisyen kepada negeri Kelantan,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof dan Setiausaha Akbar, Ahmad Fadhli Shaari.harakahdaily.net

Wednesday, 2 December 2009

Dewan Ulama PAS Kelantan menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus menerajui kerajaan negeri dan mempertahankan tuntutan royalti minyak 5 peratus daripada kerajaan pusat.

Ketuanya Datuk Mohamad Daud Iraqi berkata Dewan Ulama menyambut baik saranan Mursyidul Am PAS itu agar seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama membantu mempertahankan dan menuntut hak mereka itu.

Dalam kenyataan tiga muka surat yang dibaca di rumahnya di Kubang Kerian, dekat sini, anggota Dewan Undangan Negeri Demit itu berkata buat masa ini mereka hanya mampu bermunajat dan berdoa agar dibukakan hati pihak yang terlibat sehinggalah hak rakyat bagi royalti minyak itu ditunaikan.

Penafian terhadap hak royalti, penukaran kepada wang ehsan dan penyerahan faedah petroleum itu kepada pihak lain adalah perbuatan khianat dan tidak bertamadun, katanya.

Mengenai kepimpinan Menteri Besar itu, Mohamad berkata Dewan Ulama berpendirian untuk terus menyokong beliau mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan dan parti.

"Buat masa ini Nik Aziz dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbiranya. Ketokohan dan budaya pemerintahannya seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan," katanya.

-- BERNAMA

Friday, 13 November 2009

Tok Guru Nik Aziz Batal Tunai Haji Kerana Tajaan Dipertikai


KOTA BAHARU, 13 Nov -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya menunaikan fardu haji musim ini kerana bosan dengan kerenah media, yang katanya banyak mempersoalkan permergian beliau ke tanah suci itu yang ditaja pihak tertentu.

Beliau berkata pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 Nov ini ditangguhkan kerana media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu yang didakwa mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia," katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di sini Jumaat.

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.

"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nik Aziz mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan yang Menteri Besar Kelantan dan keluarganya mendapat tajaan untuk menunaikan ibadah haji.

Laporan yang memetik sumber itu menyebut bahawa jika ada unsur rasuah dan salah laku dalam kes itu, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya.



-- BERNAMA