Showing posts with label ustas idris. Show all posts
Showing posts with label ustas idris. Show all posts

Thursday, 24 June 2010

Najib Takut Dengan Kartun Zunar-Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kasihan melihat Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang ketakutan melihat penerbitan kartun-kartun karya kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan dan merampas buku kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun. Syarikat Penerbitan Kinibooks yang juga anak syarikat Malaysiakini yang menerbitkan buku berkenaan berhadapan dengan ancaman hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini Zunar juga dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan permit penerbitan Gedung kartun, tetapi pihak KDN menolak.

Pemimpin Umno-BN yang menguasai Kerajaan tidak dapat menerima secara terbuka kritikan, sindiran dan satira yang dikemukakan dalam edisi kartun-kartun ini. Mereka terdesak untuk menafikan pandangan rakyat terhadap kezaliman, penyelewengan dan keangkuhan mereka.

PAS menyokong usaha Zunar dan Malaysiakini dalam memberikan gambaran alternatif kepada rakyat tentang Kerajaan yang selalunya digambarnya dengan imej positif sahaja melalui rangkaian media mereka.

Rakyat perlu tahu apa yang Kerajaan sembunyikan dari mereka. Zunar yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan diakui ramai pihak sebagai pengkartun yang mempunyai daya kreativiti satira yang luar biasa dan mampu mengoyahkan kedudukan dan imej Najib.

Kes Kapal Selam, Dasar-dasar Najib, Pergaduhan Pemimpin Umno-BN, Kezaliman mereka, rasuah dan sebagainya adalah antara perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh Najib tetapi mudah diterjemahkan dalam bentuk kartun oleh Zunar.

Beliau juga antara pengkartun yang berjaya menelanjangkan kebobrokan Mahathir dan Pak Lah serta Menteri-menteri mereka seperti Rafidah, Samy Vellu dan sebagainya sebelum ini dalam bentuk kartun.

Kartun adalah antara karya seni yang menarik, mudah diterima dan difahami oleh pelbagai lapisan rakyat, khususnya golongan muda. Di negara-negara luar, kartun-kartun satira sebegini bebas di diterbit dan disiarkan sama ada dipihak Kerajaan atau pembangkang.

PAS melihat tindakan KDN ini membuktikan bahawa Najib, dan pemimpin Umno-BN cukup terasa dengan penangan kartun Zunar dan kawan-kawannya.

Ruangan kartun Senyum Kambing dalam Utusan serta kartun-kartun lain diakhbar milik Umno-BN pun tak mampu menyaingi apa yang dihasilkan oleh Zunar. Dan jelas, KDN dipergunakan bagi menyekat pengaruh kartun-kartun satira demi untuk menyelamatkan Imej Najib dan Umno-BN yang kini dianggap sebagai pelawak sahaja.

PAS akan terus menyokong usaha Zunar dan rakan-rakan pengkartunnya. PAS berharap agar KDN bersikap terbuka dan realitik serta tidak tunduk pada tekanan pemimpin politik dalam BN dalam bertindak.

Thursday, 25 March 2010

Gejala buang bayi: Perlu pada kaedah pencegahan

Parti Islam Semalaysia (PAS) memandang berat gejala pembuangan bayi di negara ini. Perbuatan durjana yang lebih teruk daripada zaman jahiliah sebelum baginda dibangkitkan menjadi Rasul.

Gejala ini amat memalukan negara, kebetulan majoriti yang terlibat ialah orang melayu Islam. Fenomena yang berlaku menunjukkan gejala yang tidak bermoral ini semakin parah dan menggambarkan kegagalan kerajaan yang ada pada hari ini gagal untuk mendidik rakyat menjadi manusia yang berguna dan tahu tentang nilai hidup mereka.

Peristiwa ini amat memalukan Islam kerana orang Melayu mewakili penduduk yang beragama Islam. Secara tidak langsung akan merosakkan imej Islam di pandangan orang bukan Islam di negara ini.

PAS melihat bahawa kerajaan Umno/BN pada hari ini tidak serius dalam menanggani masalah ini. Ia bukan mencari jalan untuk menutup punca supaya gejala ini tidak berlaku. Ia lebih kepada program yang bersifat menyapu sampah di bawah karpet.

Program yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah akhlak lebih beroreintasikan perniagaan sesama kroni. Sebab itu projek Rakan Muda dan PLKN semuanya oreintasi untuk mengkayakan kroni sahaja.

Akhirnya matlamat tidak tercapai, sebaliknya wang negara lesap begitu sahaja walau terpaksa membelanjakan wang berbilion ringgit.

Sepatutnya dalam menanggani masalah pembuagan bayi ia mesti bertindak sebagai mana kaedah Islam iaitu “Saddu Zara’ik” menutup pintu kerosakan. Kerajaan sepatutnya mengawal pusat hiburan, memperkatatkan peraturan iklan yang menghairahkan, mewajibkan pelajar Islam memakai tudung, mengawal pergaulan bebas, kempen menutup aurat, kempen jauhi zina.

Selain daripada mendidik dan mengawal maka kaedah yang paling berkesan ialah mesti kembali kepada hukum yang Allah kenakan kerana hukum Allah mempunyai roh iaitu “nakala minallah” yang Allah akan melontarkan kegerunan untuk pelaku maksiat menjauhkan perbuatan zina. Sudah banyak cadangan yang kerajaan cadangkan, kita tidak dengar satu pun cadangan untuk kembali kepada apa yang diajar oleh ajaran Islam.