Monday, 1 February 2010

Alahai UMNO macam baru merdeka sahaja Tanah Melayu!

Empat beradik malang yang tidak pernah bersekolah kerana kesempitan hidup keluarga mereka dan tidak mempunyai sijil kelahiran, memulakan persekolahan mereka hari ini.

Mohd Fais Abdullah, 12, Muhammad Fahmi, 10, dan Farranadwa, 9, kini belajar dalam tahun enam, empat dan tiga di Sekolah Kebangsaan Sikamat (SKS) di Seremban.

Manakala abang mereka, Muhammad Hafis, 13, belajar di tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd Redza, Sikamat.

Empat beradik itu tinggal bersama emak saudara mereka, Maswira Muhamed Ali, 51, yang merupakan ibu tunggal di Rumah Rakyat Sikamat.

Walaupun mereka berempat sudah ketinggalan jauh kerana sepatutnya mereka sudah mula bersekolah ketika berusia tujuh tahun, tetapi nyata mereka amat gembira.

Mohd Fais berkata dia gembira dapat bersekolah dan belajar bersama-sama abang dan adiknya yang lain.

"Saya rasa seronok dapat belajar dan di sekolah juga ramai kawan-kawan," katanya ketika ditemui apabila Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Datuk Abdullah Mohammad melawat mereka di SKS hari ini.

Turut hadir guru besar SKS Kamaruddin Abu Hassan dan Maswira.

Ikut kelas peralihan, pemulihan, tuisyen

Perasaan gembira memulakan persekolahan hari ini juga terpancar di wajah kedua-dua adiknya, Muhammad Fahmi dan Farranadwa.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau gembira kerana mendapati anak-anak ini ceria dan yang mengagumkan beliau ialah mereka yakin untuk menjalani alam persekolahan.

"Walaupun anak-anak ini dikekalkan di kelas mengikut umur mereka tapi kita akan pastikan mereka mengikuti kelas peralihan, pemulihan dan tuisyen untuk membantu mereka cepat belajar. Walaupun anak-anak ini tertinggal jauh tapi dengan sistem dan kaedah yang kita ada, saya percaya anak-anak ini akan cepat belajar.

"Saya telah meminta pihak sekolah menubuhkan satu jawatankuasa memantau dan memastikan pencapaian anak-anak ini. Saya juga minta pihak sekolah menyediakan laporan setiap minggu mengenai prestasi dan pencapaian mereka," katanya.

Maswira pula bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga hasrat empat anak saudaranya untuk bersekolah akhirnya tercapai.

Ditanya mengenai ibu bapa anak saudaranya itu, Maswira hanya berkata ibu bapa anak audaranya itu tidak bertanggungjawab.

- Bernama

CUEPACS Mahu Jumpa JPA Bincang Isu Persaraan Pilihan

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan persaraan pilihan penjawat awam.

Presiden CUEPACS Omar Osman berkata perbincangan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut JPA berhubung perkara itu setelah banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai peraturan baru itu yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam.

Beliau berkata CUEPACS juga terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajaknya berbincang mengenainya.

"Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (CUEPACS) tidak tahu tentangnya ... ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Jan lepas mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya.

Omar berkata bayaran 20 peratus atau RM10,000 daripada ganjaran benar-benar tidak mencukupi untuk penjawat awam bersara pilihan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu pencen mereka.

"Dulu kita tidak ada masalah kerana ganjaran diberi cukup dan dapat menampung sehingga boleh terima pencen...tapi sekarang, tak ada maknanya bersara pilihan sekarang kalau dapat RM10,000 sahaja," katanya.

Menurutnya beliau tidak mahu, akibat daripada peraturan itu, penjawat awam terutamanya dari kumpulan sederhana dan bawahan membuat pinjaman daripada Ah Long untuk menampung kehidupan.

Beliau berkata kerajaan harus memahami masalah penjawat awam kerana kebanyakan mereka yang memohon berhenti awal bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi akibat beberapa kesulitan kehidupan.

"Jika kerajaan beri 50 peratus daripada ganjaran, eloklah sikit, contohnya kalau ganjaran sebenar RM80,000 maka dapatlah dia RM40,000. Beri RM10,000 nak buat apa, satu jam sahaja boleh habis. Oleh itu, kita minta kerajaan kaji semula semula perkara ini," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, 27 January 2010

Sekolah Menengah Di Bawah Muhyiddin Yasin Pun Boleh Jadi Gelanggang "samseng"

Empat Pelajar Ceroboh, Serang Pelajar Sekolah Lain

KUALA LUMPUR: Hanya kerana salah faham, empat pelajar sekolah menengah bertindak nekad menceroboh sekolah menengah lain di Selayang untuk membelasah seorang pelajar tingkatan lima di kantin sekolah itu hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada waktu rehat itu, empat pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Selayang menceroboh SMK Taman Selayang kerana tidak berpuas hati dengan seorang pelajar sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, mangsa didatangi keempat-empat pelajar terbabit ketika berada di kantin sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka.

"Pergaduhan bertambah panas apabila mereka mula membaling kerusi, tong sampah, pasu bunga serta batu dan akibatnya, beberapa pelajar di sekolah itu turut masuk campur serta membaling objek.

"Objek-objek itu terkena dan mencederakan beberapa pelajar yang terlibat dan juga yang menjadi mangsa keadaan sebelum dileraikan oleh guru-guru sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, seramai 20 pelajar yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk diambil keterangan dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis. - BERNAMA