Wednesday 17 February 2010

Hishamuddin Tidak Peka Masalah Pendatang Asing-Letak Jawatan Lagi Bagus Hishamuddin

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussien yang terkejut dengan lambakan pendatang asing di negara ini, mengundang reaksi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Pakatan Rakyat terkejut bagaimana seorang menteri tidak menyedari perkara ini, walhal isu kebanjiran pendatang asing bukan isu baru.

“ Saya rasa kenapa beliau harus terkejut sebenarnya itu semua di bawah bidang kuasa dia. Dan ini menggambarkan kegagalan sistem pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kemasukan warga asing ke negara kita” katanya.

Salahuddin menyuarakan kebimbangan dengan kegagalan Kementerian Dalam Negeri menangani isu ini kerana pintu masuk negara acap kali dibolosi pendatang tanpa izin.

Malah, beliau khuatir masalah lambakan pendatang ini turut melibatkan elemen penyelewengan.

“Dengan hanya kenyataan terkejut itu tidak dapat untuk menyelesaikan masalah yang ada pada hari ini. Oleh itu apa yang saya rasa penting ialah bertindak segera dan memastikan segala prosedur, segala penguatkuasaan harus tegas dan satu yang saya bimbangkan ialah berlakunya unsur rasuah,” tambahnya lagi.

Sementara itu, mengulas isu yang sama, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jeffrey Kitingan berkata, isu pendatang asing telah lama menghantui Sabah, sejak 1970-an lagi.

Sedangkan Sabah lagi tidak terkawal, Jeffrey berkata beliau tidak terkejut sekiranya rakyat di semenanjung tanahair akan turut sama mengalami nasib saudara mereka di Malaysia Timur.

“ Saya tidak terkejut tiba-tiba di Semenanjung, Kuala Lumpur ramai rakyat asing di situ ada yang mempunyai kad pengenalan, ada yang mempunyai pas, pendatang tanpa izin pun boleh keluar masuk” kata Jeffrey.

Beliau berkata demikian ketika diminta reaksi berhubung kebanjiran pendatang asing di ibu negara ketika rakyat Malaysia pulang ke kampung sempena Tahun Baru Cina.

Jeffrey turut mengesyaki ada unsur penyelewengan dan beliau percaya ada watak-watak tertentu dalam kerajaan yang bersekongkol membawa masuk pendatang asing.

“Saya rasa ada beberapa saluran, satu daripadanya ada sindiket tertentu. Kedua melalui projek kad pengenalan yang disebutkan oleh pendatang asing yang membuat keterangan di mahkamah dan dipanggil sebagai projek kad pengenalan Mahathir.

“Melalui mungkin proses tertentu yang mungkin ada kaitan dengan pegawai-pegawai dalaman Jabatan Pendaftaran Negara dan Imigresen kerana ini boleh berlaku cepat menjelang pilihan raya,” katanya.

No comments:

Post a Comment