PUTRAJAYA, 19 Julai — Rata-rata kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Loke Yim Pheng berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.
Langkah itu penting bagi mengukur serta menilai tahap pelajaran yang diterima oleh pelajar dan mengelak mereka dan guru hilang tumpuan, katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat itu yang dihadiri hampir 140 wakil golongan pendidik dan kesatuan guru termasuk dari Sabah dan Sarawak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Mohd Sabri Mohd Arshad juga bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.
Katanya ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata.
“Penilaian berdasarkan pensil dan kertas semata-mata. Jika kita lihat di negara lain, seperti New Zealand, tidak ada peperiksaan berpusat.
“Langkah ini (mansuh) baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu,” katanya.
Beliau berkata beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan.
“Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya.
“Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga yang mahu para pelajar serba boleh turut akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insane bertaraf dunia,” katanya.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah Sarawak William Ghani Bina turut bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat tidak membebankan tugas guru.
“Kalau boleh, guru-guru sekarang digantikan dengan guru-guru terlatih. Tidak ada lagi guru sandaran atau guru sandaran tidak terlatih.
“Langkah ini akan mengawal mutu pendidikan dengan lebih baik berikutan kapasiti sesebuah kelas akan menjadi kecil. Sekarang, kelas terlalu besar, dan tidak ada hubungan antara pelajar dan guru,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya P. Pharmal Lingam pula tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu kerana mendakwa tidak ada kayu pengukur untuk membuat penilaian terhadap guru dan murid.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pelbagai pandangan diterima daripada perbincangan yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu.
Bagaimanapun, katanya, tiada keputusan dibuat pada mesyuarat itu kerana ia bertujuan mendapatkan pandangan untuk dianalisis.
“Kita menggunakan empat jenis input untuk mendapatkan pandangan iaitu melalui pengumpulan berita daripada media, pandangan orang ramai melalui e-mel dan surat.
“Selain itu, melakukan kajian di sekolah dengan mengedar soalan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan guru, dan input daripada dua perbincangan meja bulat ini,” katanya.
Beliau berkata laporan akhir akan siap pada akhir bulan Ogos ini selepas semua input diteliti sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin. — Bernama
No comments:
Post a Comment