Monday 8 March 2010

Perisian Anti-virus Tidak Selamat Sepenuhnya


KUALA LUMPUR, 8 Mac -- Jika anda rasa komputer anda dan datanya benar-benar selamat dengan sentiasa mengemaskini perisian anti virus, anda sebenarnya salah, kata seorang pakar virus komputer.

Ini, kata naib presiden Symantec Hosted Services Group (Asia-Pacific and Japan) Bjorn Engelhardt ialah kerana terdapat berjuta-juta virus dan spam yang dikeluar dan dimasukkan dalam internet dan adalah mustahil untuk mana-mana program anti virus mengesan dan mengawal malware yang menyebabkan gangguan kepada komputer anda dan datanya.

"Inilah sebabnya kenapa anda perlu mengawasi aliran dalam internet. Dengan menggunakan kaedah ini anda boleh mengesan sebarang kemasukan data yang tidak biasa dan mengambil tindakan segera jika anda dapati sesuatu yang luar biasa.

"Perisian anti-virus bertindak balas untuk virus dan spam yang dikenal. Apa yang kita bimbang ialah mengenai malware iaitu sesuatu yang baru...mereka dicipta dalam jumlah berjuta setiap hari. Sebagai contoh seseorang menghantar anda e-mel dengan alamat laman web dan anda klik ke atasnya.

"Walaupun komputer anda tidak rosak pada masa anda membuka laman web itu, malware akan masuk sendiri ke dalam komputer anda, mengambil semua data dan menghantar semula kepada orang yang memasukkan malware itu," katanya dalam temubual baru-baru ini.

Beliau berkata komputer yang rosak akibat virus dilihat seperti "ketinggalan zaman" dan trend sekarang ialah memasukkan malware oleh spam melalui e-mel dan "mencuri" maklumat peribadi pengguna untuk tujuan yang salah. Pasaran Asean dan China kini merupakan sasaran utama aktiviti seumpama itu.

Beliau berkata laporan analisa Symantec menjukkan pertambahan tahap spam pada Februari tahun ini sehingga 89.4 peratus, iaitu meningkat sebanyak 5.5 peratus sejak Januari.

Ketika jumlah spam meningkat pada Februari, saiz mesej spam menurun serentak dengan jumlah e-mel spam yang mengandungi lampiran.

Sepanjang tahun lepas, jumlah lampiran turun dari 10 peratus pada April 2009 kepada kurang daripada satu peratus pada Februari 2010, manakala purata saiz fail e-mel spam turun daripada 5Kb pada Oktober 2009 kepada 3.3 Kb pada Februari 2010.

Daripada melampirkan imej secara terus kepada e-mel, penghantar spam kini memilih untuk menganjurkan imej secara talian dengan menawarkan perkhidmatan percuma dan mengurangkan purata saiz fail e-mel spam, katanya.

Pada Februari tahun ini, Engelhardt berkata nisbah global spam dalam trafik e-mel daripada sumber baru dan sumber tidak baik yang tidak diketahui ialah 89.4 peratus, iaitu satu dalam 1.12 e-mel, menunjukkan kenaikan sebanyak 5.5 peratus berbanding Januari.

Nisbah global virus dari e-mel dalam aliran e-mel daripada sumber baru dan sumber jahat yang tidak diketahui sebelum ini ialah satu dalam 302.8 e-mel atau 0.33 peratus pada Februari 2010, meningkat 0.02 peratus sejak Januari.

Pada Februari, 30.5 peratus dari e-mel yang mengandungi malware mempunyai kaitan dengan laman web yang tidak baik, meningkat sebanyak 17.3 peratus sejak Januari 2010.

Beliau berkata satu kajian mengenai aktiviti keselamatan web juga menunjukkan 41.6 peratus daripada semua malware berasaskan web masih baru pada Februari, menurun sebanyak 0.1 peratus sejak Januari. Purata 4,998 laman web dikenalpasti menyembunyikan malware setiap hari dan program lain yang tidak diingini seperti spyware.

Beliau berkata Symantec meletakkan Itali sebagai negara yang paling banyak mempunyai spam dengan 93.4 peratus, diikuti Jerman (91.3 peratus), Belanda (91.2 peratus) dan Australia (89.5 peratus).

China merupakan negara yang paling banyak mencatat aktiviti virus komputer dengan satu dalam 62.4 e-mel mengandungi virus.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment