Monday 8 March 2010

Tiga tokoh Pakatan Rakyat terima penghormatan


SHAH ALAM - Tiga tokoh diberi penghormatan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Selangor semalam iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Ketiga-tiga tokoh itu diberi penghormatan pada majlis Amanat tokoh PR dan ketiga mereka berucap menyeru supaya kesemua ahli bersatu padu walaupun berada di waktu yang sukar.

Bagaimanapun, Ni Aziz tidak dapat menghadirkan diri kerana masalah kesihatan dan beliau diwakili Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Dr Chen berkata, situasi keluar parti yang berlaku dalam PKR kini pernah berlaku dalam DAP pada tahun 1969 ketika DAP berjaya memperoleh 15 kerusi Ahli Parlimen namun empat dari Ahli Parlimen mereka telah melompat parti.

Menurutnya, DAP pada ketika itu mengalami detik hitam dan hampir-hampir sukar melawan kekuatan kerajaan yang berkuasa.

“Dulu DAP hanya bersendiri memperjuangkan hak sebagai seorang rakyat Malaysia, namun kini kita ada PR yang terdiri dari tiga parti yang kuat.

“Kita seharusnya tidak perlu goyah dengan situasi sekarang kerana PR sememangnya kuat dan bersatu padu,” katanya.

Mahfuz berkata, kesemua pemimpin PR perlu mempunyai niat yang baik dan bersikap jujur serta amanah dalam memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen.

Menurutnya, PR perlu bergerak ke hadapan dengan niat yang betul iaitu untuk memperjuangkan hak rakyat yang mahukan perubahan.

“Saya menyeru kepada sahabat PR sekalian supaya mengingati perjuangan ahli di peringkat bawah yang tidak mempunyai jawatan langsung tetapi sanggup berkorban demi parti.

“Ada yang sanggup menoreh getah untuk membina Markaz Pas walaupun rata-rata mereka hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang,” katanya.

No comments:

Post a Comment