Wednesday 3 March 2010

Tunjukkan Bukti Anak Orang Besar Juga Ke luar bandar-


KUALA LUMPUR - Berkhidmat antara tiga hingga lima tahun di kawasan luar bandar bukanlah satu masalah bagi 160,000 guru yang merupakan anggota Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

“Anggota kami bersedia untuk berkhidmat di mana-mana saja pada bila-bila masa,” kata Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng di sini, semalam..

Katanya, pendirian NUTP adalah guru-guru sepatutnya memberikan tumpuan kepada pelajar dan bersedia mengorbankan kepentingan peribadi demi menjayakan matlamat itu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, bahawa kerajaan merancang mewajibkan guru-guru berkhidmat antara tiga hingga lima tahun dalam kerjaya perguruan mereka selama 30 tahun di kawasan luar bandar.

"Kerajaan sudah pun menyediakan elaun kesukaran antara RM500 hingga RM1,500 untuk guru-guru di kawasan pedalaman.

"Saya berharap lebih banyak insentif disediakan untuk menjadikannya menarik supaya guru-guru memilih ditempatkan di luar bandar," kata Yim Pheng.

Satu perkara yang memerlukan perhatian segera adalah menyediakan kuarters yang lebih selamat bagi guru-guru terutama wanita bujang.

Yim Pheng berkata, NUTP menerima beberapa aduan bahawa ada kuarters guru tidak berpagar dan masalah lampu, yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Ketika ini, guru pelatih dimestikan menandatangani perjanjian bersetuju dipindahkan ke kawasan luar bandar ketika diperlukan.

Bagaimanapun, ini sukar dikuatkuasakan kerana banyak rayuan oleh guru-guru.

Yim Pheng menasihatkan mereka yang mahu menyertai kerjaya perguruan berfikir dua kali sebelum memohon jawatan itu jika mereka merasakan tidak dapat berkhidmat di kawasan luar bandar.

“Kami mengharapkan semua guru bersedia berkhidmat di luar bandar bertepatan dengan polisi antarabangsa bagi menyediakan pendidikan untuk semua,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment