Wednesday 23 December 2009

Ketuanan Melayu - Pemuda Pas Perak cabar Pemuda UMNO debat



IPOH – Dewan Pemuda Pas Perak mencabar Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri berdebat mengenai isu Ketuanan Melayu yang diuar-uarkan mereka.

Setiausahanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, cadangan itu bagi membuktikan siapa yang menggadai bangsa Melayu selama ini.

Menurutnya, debat itu perlu diadakan jika UMNO ikhlas dan berani hendak menyelamatkan bangsa Melayu.

“Dewan Pemuda Pas yang memperjuangkan syariat Islam sudah pasti meletakkan Islam sebagai asas penyatuan dan memastikan orang Islam untuk patuh menjadi hamba kepada Allah.

“Kami tidak hendak lagi mendengar retorik daripada UMNO yang mengatakan mahu membela dan menjaga bangsa Melayu, tetapi dalam masa sama UMNO yang menggadaikan bangsa Melayu sehingga menyebabkan bangsa sendiri mundur serta menjadikan mereka alat politik bagi menyokong kepentingan parti,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Dr Raja Ahmad berkata, mengapa perlu menyalahkan bangsa lain atas kemusnahan dilakukan UMNO dan jika benar parti itu membela bangsa Melayu, kenapa kerajaan Kelantan majoritinya Melayu tidak diberikan hak royalti minyak yang sepatutnya.

“Apakah yang UMNO hendak buktikan hak rakyat Kelantan dengan wang ehsan. Kami akan menunggu persetujuan dan menyerahkan penetapan tarikh, masa dan tempat bila-bila masa daripada Pemuda UMNO.

“Jika benar mereka ini memperjuangkan Ketuanan Melayu, kita mengundang secara terhormat untuk menerima pelawaan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment