Thursday 31 December 2009

134 setinggan dapat lebih 5 juta ringgit.-Agihan Satu Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Dis -- Kerajaan memutuskan untuk memberi bayaran saguhati berjumlah lebih RM5 juta kepada 134 penduduk setinggan yang terjejas secara langsung dengan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (PLBE) di Pulau Pinang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata bayaran wang saguhati itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Bagi pemilik rumah di tanah berhakmilik, bayaran saguhati mereka sedang diproses dan akan dibayar dalam sedikit masa lagi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurutnya bagi yang berkenaan, bayaran itu akan dibuat bersama dengan pampasan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Ong berkata sebahagian besar penghuni yang terlibat di Kedah dan Perak telah dibayar saguhati manakala bakinya sedang diuruskan.

"Kerajaan mengambil kira kepentingan semua penghuni yang terjejas secara langsung dengan projek ini. Pandangan, rayuan dan maklum balas daripada pemimpin masyarakat dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional di Pulau Pinang telah diambil kira," katanya.

PLBE, yang menelan belanja RM12.485 bilion, dijangka siap pada penghujung 2012.

Ia sebahagian daripada pelan induk untuk memajukan sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Kerja-kerja pembinaan PLBE, yang dijalankan MMC-Gamuda JV, berjalan lancar di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment