Sunday 3 January 2010

Harga gula naik kerana Najib takut kencing manis!

PEKAN, 3 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Malaysia sama-sama berfikir apakah perlu kerajaan terus memberikan subsidi harga gula, satu bahan makanan yang ternyata boleh mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata kerajaan membelanjakan hampir RM1 billion setiap tahun untuk subsidi harga gula, sedangkan bilangan pesakit kencing manis di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.

"Apa yang patut dilakukan kita perlu mengubah citarasa kita supaya kita kurangkan gula, saya sendiri tak guna gula kalau minum teh. Maknanya kita boleh ubah citarasa kita, tak perlu gula terlalu banyak.

"Tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 billion setahun untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Pekan, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuatkuasa 1 Januari yang turut disifatkan ramai pihak sebagai "hadiah" tahun baru kepada rakyat.

Ditanya kesan kenaikan harga barangan lain berikutan kenaikan harga gula berkenaan, Najib berkata:

"Kita akan kawal, mana (barang) (di) bawah harga kawalan tak boleh dinaikkan, kita akan pantau perkara ini.

"Kita akan kawal, ada barang komoditi yang kita kawal, ada yang terpaksa kita kaji dari semasa ke semasa, ada yang kita buat untuk kebaikan rakyat," kata Najib.

Perdana Menteri berkata rakyat juga perlu melihat secara positif kenaikan harga gula iaitu berazam mengubah citarasa mereka demi kesejahteraan kesihatan.

"Kenaikan harga kenaikan gula untuk kebaikan rakyat, insiden (statistik) kencing manis di Malaysia antara yang tertinggi di dunia," kata Najib.

Beliau menegaskan sekalipun berlaku kenaikan harga gula, harga bahan berkenaan sebenarnya masih murah di negara ini berbanding di negara Asean yang lain.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment