Friday 15 January 2010

Bahaya Jantung Terhenti Tiba-tiba-

Oleh Ummi Nadiah Rosli

KUALA LUMPUR, 15 Jan -- Para peminat bola sepak Liga Portugis di Guimar�es teruja apabila kelab bola sepak Lisbon, Benfica, mendahului lawannya Vitoria S.C 1-0.

Dalam perlawanan yang juga disiarkan secara langsung di televisyen pada 25 Jan, 2004, pemain Benfica, Miklos Feher menerima kad kuning semasa waktu kecederaan.

Semasa semua kamera menumpukan perhatian kepada pemain Hungary ini di padang dengan tiba-tiba beliau menunduk ke depan, wajahnya berkernyut kerana kesakitan dan beliau terus rebah di atas padang.

Perlawanan itu terhenti dengan rakan-rakan Feher meluru ke arahnya untuk membantu dan kakitangan perubatan juga mula mengerumuni striker itu dan melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR). Rakan-rakannya di padang itu begitu terkejut. Tidak lama kemudian diumumkan bahawa Feher, pada usia 24 tahun, mati kerana 'cardiac arrhythmia', iaitu fungsi jantung terhenti dengan tiba-tiba (SCA).

Kematian mengejut Feher, yang sebelum itu kelihatan begitu sihat bukan kes terpencil. SCA berlaku apabila jantung terhenti tiba-tiba, dan merupakan antara punca kematian paling lazim di negara-negara maju.

Ia merupakan satu masalah perubatan dengan 350,000 kematian setiap tahun di Eropah dan menjejaskan lebih 400,000 orang di Amerika Syarikat, dan mewakili 63 peratus daripada kesemua kematian yang berkaitan dengan jantung di Amerika Syarikat.

Dan menurut Dr Razali Omar - Pengarah Unit Elektrofisiologi & Perentakan, Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, SCA membawa ancaman besar kepada semua.

BUKAN SERANGAN JANTUNG

Di sebalik tanggapan lazim, Dr Omar menunjukkan perbezaan penting antara SCA dan penyakit kardiovaskular lain.

"SCA BUKAN serangan jantung, yang dilihat sebagai masalah saluran darah tersumbat yang seterusnya menghalang aliran darah ke seluruh badan. Kekurangan darah menyebabkan otot jantung dan tisu granulasi (scar tissue) mengalami kerosakan kekal.

"Arrhythmia di sebaliknya berlaku kerana kepincangan sistem elektrik jantung. Jantung mempunyai sistem elektrik yang terbina di dalamnya, dan jika jantung itu tidak dikenakan kejutan elektrik dalam tempoh beberapa minit, kematian akan berlaku, dan hanya 10 hingga 20 peratus daripada mereka yang mengalami SCA terselamat," katanya.

Beliau menambah kata dalam sebuah jantung yang sihat perentak (pace-maker) semulajadi menyebabkan denyutan jantung, kemudian impuls elektrik melalui laluan tertentu dalam jantung, dan seterusnya menyebabkan jantung mengecut secara berkala untuk mengepam darah.

SCA berlaku apabila isyarat elektrik yang mengawal denyutan jantung terlewat atau terhalang.

IRITMA

Kegagalan fungsi jantung lazimnya berlaku kerana otot jantung rosak atau sudah regang, yang seringkali menjejaskan fungsi sistem elektrik yang mengawal pemasaan biasa denyutan jantung.

Apabila tubuh menyedari yang jantung gagal mengepam jumlah darah normal, jantung akan cuba percepat aktiviti mengepam untuk memampas kekurangan yang berlaku. Otot jantung yang rosak boleh menyebabkan denyutan jantung bertambah perlahan (bradycaria) atau bertambah cepat (tachycardia) atau tidak lagi secara berkala. Oleh itu, bukanlah luarbiasa untuk melihat pesakit jantung untuk mengalami SCA.

Lagipun, punca paling lazim serangan jantung dalam bentuk 'arrhythmia' dikenali sebagai 'ventricular fibrillation' (VF). Dalam VF, isyarat elektrik yang mengawal fungsi pam jantung bertambah cepat dan tidak lagi terkawal. Oleh sebab itu, ruang di bahagian bawah jantung iaitu ventrikel, mula bergegar (fibrilisasi) di sebalik mengecut.

Ini menyebabkan darah tidak lagi dapat dipam ke seluruh tubuh, yang memutuskan bekalan oksigen ke otak dan menyebabkan orang yang terbabit tidak sedarkan diri. Selagi tidak dikenakan kejutan segera untuk mengembalikan ritma berkala (menggunakan mesin yang dikenali sebagai defibrillator), kematian boleh berlaku dalam beberapa minit.

PEMBUNUH SENYAP

Bukan seperti kebanyakan masalah jantung yang boleh dikenalpasti melalui simptom-simptom lazim, SCA merupakan pembunuh senyap. Saringan fizikal atau kecergasan lazimnya tidak dapat mengesan ciri-ciri yang boleh menyebabkan SCA, oleh itu ia juga boleh berlaku kepada individu yang sihat dan aktif tanpa sebarang rekod penyakit jantung.

Tetapi Dr Omar menjelaskan bahawa SCA bukanlah kejadian rambang dan kebanyakan mangsa tidak menunjukkan komplikasi berhubung kesihatan atau jantung mereka, walaupun mereka mungkin tidak mengetahuinya.

Beliau berkata apa-apa masalah jantung yang menjejaskan sistem elektrik jantung boleh menyebabkan 'arrhythmia'. Ini termasuk tabiat merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan, penggunaan dadah tertentu dan sehinggakan tekanan emosi.

"Sebanyak 80 peratus daripada pesakit arteri koronari (keadaan di mana arteri yang membekalkan darah bertambah sempit atau tersumbat), 15 peratus daripada mereka dengan otot jantung berpenyakit dan 5 peratus daripada mereka dengan penyakit sel jantung menghadapi risiko tinggi terhadap penyakit ini. Sebanyak 75 peratus daripada mereka yang mati kerana SCA menunjukkan tanda-tanda serangan jantung pernah berlaku sebelumnya."

Dan tanpa sebarang amaran awal, 95 peratus daripada kesemua mangsa SCA akan mati di tempat kejadian, dan di Amerika Syarikat lebih 70 peratus daripada mangsa VF mati sebelum sempat sampai di hospital.

KEJUTAN PENYELAMAT

Melihatkan ketiadaan simptom, pencegahan merupakan pilihan berkesan dalam mengurangkan statistik bagi kematian SCA.

Terdapat beberapa pilihan, kata Dr Omar, antaranya ialah 'automatic external defibrillator (AED)' yang merupakan sebuah peranti elektronik bimbit yang menghentikan 'arrhythmia' dengan mengejutkan jantung. Ada negara yang menyediakan AED bagi kegunaan awam, khasnya di tempat-tempat awam seperti taman, sekolah dan pusat sukan.

Cardioverter defibrillators (ICD) yang boleh diimplan, sangat berkesan dalam mencegah SCD bagi mereka yang berisiko tinggi. ICD yang ditempatkan di bawah kulit, memantau jantung untuk mengesan apa-apa ritma luar biasa dan menyampaikan kejutan elektrik untuk mengembalikan ritma jantung. Ia juga boleh berfungsi sebagai perentak jika jantung berdenyut terlalu perlahan.

Bagi kegagalan jantung kongestif yang disebabkan oleh komplikasi berkaitan otot jantung, terapi penyerantakan semula kardiak digunakan. Terapi ini menggunakan sebuah perentak khusus untuk menyelaras semula fungsi ventrikel kiri dan kanan pesakit yang mengalami kegagalan jantung.

PERLU BELAJAR CPR

Setiap saat penuh bermakna bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami SCA.

Sementara lebih 70 peratus daripada semua mangsa serangan jantung diselamatkan oleh 'defibrillator', Dr Omar menasihatkan supaya setiap orang belajar CPR yang boleh membantu jika tiada defibrilator berdekatan.

"Sudah pasti, CPR boleh menyelamatkan nyawa, dan penting untuk mengekalkan integriti otak bagi mangsa-mangsa SCA. Tidak kira anda pelajar sekolah atau warga emas, CPR harus dipelajari oleh semua. SCA boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja."

Dengan demografi pesakit pada Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan menunjukkan bahawa usia minimum bagi kegagalan jantung di negara ini ialah 18 tahun dan yang tertua ialah 100 tahun, adalah wajar kita memberi perhatian kepada masalah ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment