Wednesday 6 January 2010

Lebihan Guru Tidak Berasas-Naib Canselor UPSI



IPOH - Isu penempatan graduan lepasan Sarjana Muda Pendidikan dari universiti tempatan di sekolah seluruh negara hanya berdasarkan kekosongan dan pengkhususan diambil graduan berkenaan yang mewujudkan lebihan guru adalah tidak berasas sama sekali, kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Aminah Ayob.

Menurutnya, UPSI dan fakulti pendidikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) setiap tahun berbincang dengan pihak Kementerian Pelajaran untuk memutuskan bersama bilangan calon yang dibenarkan diambil bagi setiap mata pelajaran sekolah menengah sebelum membuat pengambilan pelajar ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

“Kami akan diberikan unjuran pengambilan untuk setiap mata pelajaran oleh kementerian, walaupun kadang-kadang unjuran yang diberikan itu kelihatan tidak munasabah dan meragukan dari segi keperluan guru pada masa hadapan, bayangkan, negara kita hanya memerlukan 100 hingga 150 guru matematik menjelang tahun 2013.

“Mengikut statistik pengambilan pelajar pendidikan di UPSI bagi sidang akademik 2009/2010 dari mesyuarat dengan kementerian yang diaturkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, UPSI hanya dibenarkan mengambil bilangan pelajar yang sangat kecil iaitu 150 calon Bahasa Melayu, 60 (TESL), 70 (Pendidikan Jasmani dan Kesihatan), 90 (Pendidikan Khas), 65 (Biologi), 40 (Fizik), 45 (Kimia), 100 (Matematik), 60 (Sains), 15 (Muzik), 65 (Kemahiran Hidup), 70 (Pendidikan Moral), 40 (Kaunseling), 175 (Sejarah), 35 (Perakaunan), 100 (Geografi), manakala Teknologi Maklumat, Grafik serta Multimedia tidak ada calon,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai penempatan graduan lepasan Sarjana Muda Pendidikan dari universiti tempatan di sekolah seluruh negara yang dikatakan berlaku lebihan menyebabkan kumpulan itu tidak dapat menempatkan diri di mana-mana sekolah kerajaan.

Dr Aminah berkata, jumlah ambilan itu sangat kecil untuk memenuhi keperluan guru Kementerian Pelajaran menjelang tahun 2013, tetapi pihaknya sentiasa akur dengan arahan kementerian itu.

Menurutnya, tidak timbul persoalan lebihan guru untuk penempatan di sekolah dan graduan mengambil bidang mereka bukan berdasarkan keperluan kementerian seperti yang diperkatakan.

“Kabinet sebelum ini juga memutuskan latihan guru untuk sekolah rendah diambil alih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), manakala untuk sekolah menengah oleh universiti khususnya UPSI.

“Sepatutnya tidak timbul persoalan oleh Timbalan Menteri Pelajaran bahawa graduan pendidikan lepasan IPTA melebih penawaran dan guru yang dilatih oleh IPTA adalah untuk swasta, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap kementerian lebih jujur dan adil dalam melantik guru dari UPSI dan IPTA lain, bukan disebabkan pemecahan kepada dua kementerian maka graduan IPTA dipinggirkan.

“Pendirian Kementerian Pelajaran ini akan memberi kesan emosi yang serius kepada pelajar yang mengikuti pengajian pendidikan di seluruh IPTA, sekali gus melunturkan motivasi pelajar berhasrat menjadi guru serta berkhidmat kepada anak bangsa.

“UPSI kini mempunyai lebih 12,000 pelajar ijazah Sarjana Muda yang mengikuti pengajian selama empat tahun semata-mata untuk berkhidmat sebagai guru di seluruh negara dengan membawa visi dan misi Kementerian Pelajaran untuk melahirkan generasi unggul bersama guru lepasan IPGM,” katanya. sinar harian

No comments:

Post a Comment