Sunday 10 January 2010

Bom gereja ganggu keharmonian rakyat Perak

IPOH, 10 Jan: Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyifatkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab melemparkan bom api ke Gereja All Saints dan Gereja Saint Louis, dekat Taiping awal pagi ini boleh mengganggu keharmonian hidup rakyat di negeri ini.

Demikian dinyatakan oleh setiausahanya, Drs Khalil Idham Lim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

“Sesungguhnya saya mengecam tindakan yang tidak bertamadun itu dan ianya bagi saya bercanggah dengan ajaran Islam dan undang-undang negara,” katanya.

Tambahnya, tidak ada mana-mana ajaran dalam Islam yang membenarkan penganutnya melakukan tindakan sedemikian kepada rumah ibadah orang lain.

Katanya, tindakan pihak yang disifatkan oleh Ketua Polis Perak sebagai dilakukan oleh individu yang nakal dan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku sekarang dan bukan dirancang oleh mana-mana organisasi itu adalah sesuatu yang dirasakan boleh mengganggu keharmonian hidup rakyat di negeri yang dicintai ini.

“Kerana itu satu siasatan yang terperinci dan menyeluruh mestilah dilakukan dengan segera oleh pihak polis bagi membawa individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dan dihukum sesuai dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” ujarnya.

Beliau menyeru kepada ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat serta semua rakyat negeri ini sentiasa berhati-hati dengan tindakan provokatif dan tindakan menangguk di air keruh dalam keadaan sekarang.

“Sehubungan itu, elakkan diri anda dari himpunan dan sebarang kegiatan yang boleh merenggang hubungan antara kaum sebaliknya perbanyakkanlah kegiatan yang boleh merapatkan hubungan antara kaum tidak mengira agama dan bangsa,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjamin keamanan dan ketenteraman yang sedia ada di negeri ini terus dikekalkan.

Tegasnya, sebarang anasir yang mengganggu dan cuba menggagalkan hasrat itu adalah anasir yang mesti diambil tindakan dan dihukum dengan secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment